Oleh: Dr Abdullah Hamzah
Surah al Nisa ayat 85 dan 86
Mafhum : Sesiapa yang memberikan
syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan
sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian
(dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.(85). Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan
hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang
lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya
Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.(86).
PENGAJARAN
1. Allah
menyatakan bahawa sesiapa melakukan ‘Syafa’ah’ iaitu membantu atau memberi
ruang kepada seseorang untuk merealisasikan kebaikan atau perkara yang
mendatangkan faedah yang baik kepada manusia, pastinya Allah akan memberi
ganjaran pahala kepadanya sebagaimana kebaikan yang dilakukan oleh orang lain
itu. Lafaz ‘Nasiib’ adalah pasti mendapat ganjaran yang besar. Ini bermaksud
sesiapa yang mempermudahkan atau membantu sesuatu yang baik dapat dilaksanakan
ia akan mendapat pahala ganjaran disisi Allah.
2. Begitu
juga sebaliknya sesiapa yang memberi ‘syafa’ah siayyi’ah’ iaitu membantu atau
mempermudahkan sesuatu perkara buruk atau kemungkaran Allah akan bagi ‘kiflun’
balasan setimpal dengan keburukan yang telah dilakukan. ‘Kifl’ di sini lebih
sedikit dan lebih ringan dari perkataan ‘nasiib’ yang menggambarkan yang
banyak. Di sini Allah ingin menggambarkan bahawa dia maha pemurah dan pengasih
kepada sesiapa yang membantu ‘syafa’ah hasanah’ akan mendapat ganjaran besar
pahala, tetapi mereka yang membantu’syafa’ah sayyi’ah’ hanya dibalas setimpal
dengan kejahatan.
3. Sesungguhnya
Allah maha berkuasa memberi makan ‘muqiita’ kepada semua makhluk. Semua rezeki
makhluk tidak mengira yang taat atau yang engkar semuanya di tangan Allah. Orang beriman perlu berusaha membantu dan
memenuhi keperluan saudaranya dalam kehidupan seharian. Cuma bantuan kearah
kebaikan akan mendapat ganjaran pahala yang besar dan bantuan kearah keburukan
juga akan mendapat balasan yang setimpal.
4. Kemudian
Allah mengajar tentang adab berkomunikasi dan mengucap selamat. Dalam Islam
ucapan selamat apabila berjumpa ialah ‘Assalamu alaikum’ itu yang paling
ringkas. Ianya bermaksud Keselamatan atau kesejahteraan untuk kamu. Kata-kata
dan doa yang baik ini wajib dijawab sekurang-kurangnya dengan jawapan yang setara
‘Wa alaikumussalam’ yang bermaksud kesejahteraan juga kepada kamu. Allah
menggalakkan bahawa salam itu dijawab dengan lebih baik lagi seperti dengan
tambahan ‘warahmatullahi wa barakaatuh’ yang bermaksud rahmat Allah kepada kamu
dan juga keberkatannya. Memberi salam adalah sunat manakala menjawab salam
adalah wajib.
5. Berdasarkan
al-Sunnah, orang perlu memulakan salam ialah orang yang datang kepada tuan
rumah, orang berkenderaan kepada orang sedang berjalan, orang yang berjalan
kepada orang yang duduk, orang yang sedikit kepada yang ramai, orang yang lebih
muda kepada yang lebih tua. Seorang lelaki dilarang memberi salam kepada
perempuan muda ‘ajnabi’ (orang luar yang tidak dikenali) kerana ialah boleh
menimbulkan fitnah.
6. Di
dalam tafsir al-Munir menukilkan bahawa al-Suyuti menyebut bahawa tidak wajib
menjawab salam orang kafir tetapi jika hendak dijawab salam ialah dengan
mengatakan ‘wa alaikum’ yang bermaksud begitu juga kepada mu. Jika orang kafir
dilihat sengaja mempermainkan salam ianya tidak perlu dijawab tetapi jika kita
pasti mereka ikhlas memberi salam dan jelas perkataannya adalah
‘assalamualaikum’ maka di sini kita wajib menjawab dengan ‘wa alaikumussalam’
berdasarkan keadilan dan ihsan yang telah diajar oleh Islam sebagaimana
diterangkan oleh ayat 86 surah al-Nisa di atas. Cuma sebahagian ulamak
mengatakan bahawa tidak perlu dipanjangkan kepada ungkapan ‘warahmatullahi
wabarakaatuh’ yang bermaksud rahmat Allah untuk kamu dan keberkatannya kerana
ia hanya untuk umat Islam.
7. Sebahagian
besar ulamak memberi kelonggaran kepada bukan Islam yang tinggal bersama umat
Islam untuk diberi salam kepada mereka mudah mudahan ucapan salam itu akan
lebih menjinakkan mereka kepada Islam Pandangan ini juga diriwayatkan oleh
al-Nukha’ei. Kesimpulannya ialah sebahagian ulamak mengharuskan memberi salam
kepada non muslim dan dan juga menjawabnya. (Tafsir al-Munir 5/187).
PERBINCANGAN
1. Bincangkan
konsep ‘Syafa’ah hasanah’ dan ‘Syafa’ah Sayyi’ah’ dalam konteks amalan
masyarakat Islam di Malaysia.
2. Bincangkan
konsep salam dalam hubungan dengan non muslim di Malaysia dan kepentingannya
dalam dakwah.
Artikel ini adalah bahan Program SUBURI JIWA 22 Julai 2014
1 comment:
terima kasih ats perkongsian yg mantap ini
Post a Comment