“Baba!
tengok orang itu sembahyang, laju betul
macam tak baca apa-apa pun” Komen anak saya ketika melihat seorang makmum
yang masbuk ketika kami solat zohor di sebuah masjid.
“Mungkin dia nak cepat kot. lagi pun masih
ada tama’ninah lagi tu kira ada selang masa sekejap pada setiap pergerakan
solat, Solat dia masih dikira sah lagi lah” Saya menerangkan kepada anak saya.
“Tapi rugilah orang itu tak baca apa-apa.
Tu ha! dia tak baca pun doa antara dua sujud. Sekejap je dia duduk . Ruginya
dia tak minta apa-apa dengan Allah” . Anak saya masih tidak puas hati melihat
si masbuk tadi.
Memang kanak-kanak sentiasa memerhatikan
tingkah laku dan pergerakan orang dewasa untuk ditirunya dalam kehidupan
seharian. Kanak-kanak juga tidak malu-malu untuk mengkritik dan mengulas secara
jujur sesuatu yang dilihat.
Anak saya mengulas tentang ruginya tidak
membaca doa antara dua sujud kerana sudah kebiasaanya membaca doa ini dengan
baik dan sempurna. Doa antara dua sujud ini walaupun sunat untuk dibaca dan
kalau tidak dibaca pun solat tetap sah Namun seseorang itu rugi apabila ia
dengan sengaja meninggalkan doa ini kerana ia amat baik untuk kita semua.
Doa ini ialah:
“Rabbighfirli, warhamni, wajburni, warfa’ni, warzuqni, wahdini, wa’aafini
wa’fuanni.
Tuhanku! Ampunilah aku, rahmatilah
aku, tutuplah segala kekuranganku, angkatlah kedudukanku, berilah rezeki
kepadaku, berilah petunjuk kepada ku, berilah kesihatan kepada ku dan maafkanlah
aku.
Mungkin ramai juga yang
merujuk kepada pelbagai sumber fikah dan mendapati susunan doa ini ada sedikit
kelainan dari sudut susunan dan bilangan perkataan. Jumlah yang masyhur ialah
tujuh ungkapan tetapi yang menjadi kebiasaan masyarakat kita di malaysia adalah
lapan ungkapan. Pada hakikatnya adalah sama kerana terdapat dua ungkapanyang
memberi makna yang sama iaitu ‘ighfirli’ dan ‘wa;fuanni’ yang bermaksud ampun
dan maaf..
Antara cara untuk memudahkan
seseorang itu solat dengan khusyuk ialah memahami dan menghayati makna bacaan
solat termasuklah doa antara dua sujud ini. Seseorang itu perlu memahami setiap
patah perkataan doa yang dibaca dan dihayati dengan mendalam agar meberi kesan
hubungan dengan Allah taala.
Ungkapan ‘Rabbighfirli’
yang bermaksud Ya tuhan ampunkan semua dosa ku samaada dosa kecil atau besar.
Doa ini perlu dibaca dengan penuh
perasaan, rendah diri dan merasai kehambaan dan kehinaan kita di hadapan Allah.
Perlu ada rasa bersalah dan bimbang tidak diampunkan dosa. Dalam saat yang
singkat ini sebaiknya diingati segala dosa kita yang telah kita lakukan samada dosa besar atau kecil. Inilah cara
yang terbaik untuk menundukkan ego kita dihadapan Allah seterusnya dapat meraih
simpati Allah terhadap keadaan kita.
Seterusnya ungkapan ‘warhamni’
adalah merupakan kesinambungan kepada ungkapan sebelumnya. ‘Warhamni’
bermaksud rahmatilah aku atau kasihanilah aku ia adalah doa agar diberi sesuatu
yang baik yang telah dimintan. Ungkapan ampunilah aku yang sebelumnya bertujuan
untuk membuang dan membersihkan diri dari segala dosa yang menjadi bencana dan
beban kepada diri. Justeru uangkapan warhamni adalah pelengkap
kepada ungkapan rabbighfirli.
Ungkapan seterusnya ialah ‘wajburni’
yang diterjemahkan dengan pelbagai makna. Ada yang memberi makna ‘sempurnakan’,
‘lengkapkan’, perbaikilah dan tutuplah keaiban atau kecacatan yang dimiliki. .Makna
asalnya ialah tampu, tampal atau balut. Manusia pada lumrahnya adalah tidak
sempurna dan terdapat banyak kekurangan. Segala kekurangan ini perlulah
dibantu, dibaiki, ditampu agar ia pulih dan menjadi sempurna. Justeru
makna-makna yang telah diberikan terhadap makna wajburni adalah betul. Cuma ianya perlu difahami dengan mendalam agar
dapat merasakan kekurangan diri dihadapan Allah taala dan memohon agar dibantu
oleh Allah taala untuk mengatasi segala kekurangan dan kelemahan kita.
‘Warfa’ni’ adalah
permohonan kita agar Allah Taala mengangkat mertabat kita menjadi orang yang
bertaqawa dan mulia di sini Allah Taala bukan hanya mulia di sini manusia
semata-mata. Manakala ungkapan ‘warzuqni’ adalah permohonan agar
Allah memberi rezeki yang diperlukan oleh jasad kita seperti makanan, minuman, pakaian
dan tempat tinggal. Begitu juga dengan rezeki yang boleh memperkuatkan agama
kita dan membina hubungan dengan Allah Taala iaitu ilmu, iman dan amal soleh.
Rezeki disini bukan bermaksud harta dan kesenangan dunia.
‘Wahdini’ adalah memohon petunjuk dan bimbingan dari
Allah taala dalam menjalani kehidupan seharian
agar sentiasa berada di jalan yang betul. Semua keputusan yang dibuat
mendapat keredhaan Allah begitujuga
dengan tingkah lau dan aktiviti kehidupan seharian. ‘wa‘aafini’
adalah permohonan kepada Allah agar dianugerahkan kesihatan dan terhindar dari
penyakit yang boleh menjejaskan ibadat dan hubungan kita dengan Allah.
Manakala ungkapan yang
terakhir ialah ‘wa’fuanni’ yang terjemahkan sebagai maafkan aku
ialah merupakan pengulangan makna yang hampir sama dengan ungkapan yang pertama
iaitu ‘rabbighfirli’ yang diterjemahkan sebagai ampunkan aku. Di
sini seolah terdapat pertindingan makna diantara kedua ungkapan. Justeru itu
jika merujuk kepada sumber-sumber utama islam ungkapan ‘wa’fuanni’ ini tidak
disebut. Walaupun begitu pengulangan ini tidak menjadi permasalahan bahkan
mungkin lebih baik menunjukkan seni komunikasi kita dengan Allah Taala.
Apa yang menjadi perhatian
kita disini ialah setiap orang islam
yang ingin menunaikan solat dengan sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah
dan Rasul perlu menghayati segala doa ini dengan mendalam terutama ketika
solat. Ini adalah merupakan antara syarat untuk seseorang itu khusyuk dalam
solat. Jika seseroang itu menghayati semua ungkapan dalam doa ini satu persatu
akan menghasilkan solat amat tertib dan teratur jauh sekali gopoh gapah dalam
solat.
Doa ini jika dibaca dengan
penghayatan setiap kali solat, akan mendidik jiwa kita khusyuk, rendah diri
dihadapan Allah Taala seterusnya akan membina takwa dalam diri seterusnya akan
terpancar melalui akhlak dan penampilan dalam kehidupan seharian. Tetapi
malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Marilah kita sama-sama berusaha
untuk menghayati doa antara dua sujud ini dalam setiap kali solat mudah-mudahan
kita akan tergolong dalam golongan mereka yang akan mendapat rahmat taala dalam
kehidupan kita seharian.
Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri 13
No comments:
Post a Comment