Oleh : Dr Abdullah Hamzah
“Ustaz! kenapa agama Islam menuntut penganutnya beribadat pada sebanyak
lima kali sehari? Banyak tu.. Banyak lagi kerja lain yang perlu dilakukan. Tidakkah
ia mengganggu urusan kerja seharian? Agama kami tidak begitu. Kami hanya
dituntut untuk mengadap tuhan hanya sekali seminggu.”
Itu adalah salah satu soalan yang pernah diluahkan oleh salah seorang
pelajar bukan Islam kepada saya ketika saya bertugas di sebuah sekolah di Sabah
dahulu. Begitu juga seorang pelajar muslim yang mengadu pada saya masalah yang
dihadapi bila memohon kerja di sebuah pasaraya.
“Pengurus saya tidak benarkan saya solat walaupun sekejap. Katanya, balik rumah nanti kamu solatlah sebanyak mana
kamu mahu! Kamu orang Islam banyak sangat solat bukanya banyak faedah pun yang
kamu dapat”.
Inilah antara persoalan yang perlu kita fahami tentang fungsi solat
dalam kehidupan kita sebagai umat Islam. Allah Taala telah menjadikan ibadah
solat kepada orang beriman sebagai kewajipan dan ia perlu dilaksanakan pada
waktu-waktu yang telah di tetapkan samada waktu pagi, petang, siang dan malam. Solat ini
dilakukan berulang-ulang sebanyak lima kali sehari adalah diibaratkan sebagai
mandian secara rohani bagi membersihkan diri dari kelalaian hati dan dari kekhilafan
atau dosa yang telah dilakukan sepanjang hari.
Rasulullah telah menggambarkan fungsi solat yang berulang-ulang ini di
dalam sabdanya : “Lihatlah! kalaulah di hadapan rumah kamu ada sebatang sungai
dan seseorang mandi di dalamnya sekerap lima
kali sehari. Adakah masih ada kotoran di badannya? sahabat menjawab : “tidak”.
Rasulullah menerangkan : “Begitu jugalah solat lima waktu. Allah akan membersihkan dosa manusia dengan
kerapnya solat tersebut” (Muttafaqun Alaih)
Allah telah mencipta manusia sebagai makhluk yang ajaib. Terdapat
padanya sifat kerohanian malaikat, nafsu syahwat haiwan dan juga keganasan
binatang buas. Lazimnya, nafsu syahwat lebih menguasai manusia menyebabkan
manusia terjebak dalam melakukan kesalahan dan maksiat. Namun, itu bukanlah
sesuatu yang mengaibkan jika manusia melakukan kesalahan dan dosa kerana ianya sudah lumrah manusia melakukan
kesalahan dan kesilapan. Sebagaimana sabda Rasulullah : “Setiap anak Adam
sentiasa melakukan dosa. Sebaik-baik mereka yang berdosa ialah mereka yang
bertaubat”. (Riwayat Ahmad)
Solat lima waktu sehari semalam memberi peluang seseorang untuk
mengembalikan dirinya kepada keadaan bersih selepas melakukan dosa, ia juga
berfungsi mengejutkan sesiapa yang sudah alpa. Solat membawa manusia kembali
kepada tuhannya dan memadamkan gelora nafsu kerakusan syahwat kepada dunia
melupakan Allah dan hari Akhirat.
Gambaran ini telah telah diterangkan oleh Rasulullah : “Allah telah
menugaskan malaikat untuk menyeru setiap kali tiba waktu solat : Wahai anak
adam (manusia) bangunlah segera hadapilah api yang telah kamu nyalakan dan padamkanlah api tersebut.”(Riwayat
al-Tabraniy)
Dosa adalah ibarat api yang marak menyala membakar rakus hati dan jiwa
manusia menyebabkan manusia menjadikannya engkar dari memperhambakan diri kepada Allah dan RasulNya.
Maka solat ini diibaratkan sebagai pili bomba yang boleh digunakan untuk
memadamkan api yang marak membakar, menghilangkan asap dan membersihkan saki
baki kebakaran. Solat itu akan membersihkan manusia dari kesan hangus terbakar.
Keadaan ini telah diterangkan oleh Ibn Mas’ud melalui hadis yang telah diriwayatkan : “Kamu
semua sedang terbakar semakin hangus kemudian apabila kamu solat subuh kamu
telah membersihkannya. Namun ia terbakar kembali sehiggalah kamu solat zohor
hingga kamu telah membersihkannya. Kemudian ia terbakar lagi sehingga kamu
solat asar dan kamu telah membersihkannya. Kemudian ia terbakar lagi sehingga
kamu solat maghrib lalu kamu membersihkannya semula. Selepas itu ia terbakar
lagi sehingga kamu solat isyak kamu telah membersihkannya. Kemudian kamu tidur
lalu aktiviti kamu tidak direkod oleh malaikat sehinggalah kamu bangun
kembali.” (Riwayat al-Tabraniy).
Rasulullah menggambaran keadaan ini kepada para sahabat dengan pelbagai
gambaran menunjukkan bahawa ibadat solat ini membersihkan dosa-dosa yang
mengotorkan manusia pada setiap pagi dan petang. Salman al-Farisiy menceritakan
bahawa satu ketika Rasulullah memegang ranting kayu yang masih melekat padanya
daun-daun kering lalu ia menggoncangkannya dan berkata : “Wahai Salman
mengapa kamu tidak bertanya kenapa aku buat begini? lantas aku mengajukan
soalan : Kenapa kamu buat begitu wahai Rasulullah? Baginda bersabda : Seseorang
muslim, apabila ia berwudhuk dengan sempurna kemudian ia solat lima waktu akan
berguguranlan dosa-dosa sebagaimana bergugurannya daun kering ini. Kemudian
baginda membaca Firman Allah ayat 114 Surah Hud mafhumnya : “
Dirikanlah sembahyang (Wahai Muhammad, Engkau dan
umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang
berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan
(terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. perintah-perintah Allah. Itu adalah menjadi peringatan bagi orang-orang
yang mahu beringat.
Ibadat solat ini bukan hanya sekadar
membersihkan jiwa manusia dari sebarang
kotoran, menghapuskan dosa-dosa dan merungkaikan kesilapan-kesilapan lampau,
bahkan ia juga mempunyai peranan lain yang lebih istimewa. Solat yang dilakukan berulang-ulang sebanyak
lima kali sehari semalam itu adalah merupakan detik-detik istimewa yang memberi
peluang kepada manusia membebaskan diri setiap hari dari kedudukannya yang hina. Solat mengangkat kedudukan manusia yang
pada asalnya dijadikan daripada tanah dan lumpur tanah hitam (al-hama’),
penuh dengan sifat hasad dengki dan persengketaan kepada kedudukan yang lebih
tinggi di sisi Allah Taala tuhan yang telah pencipta manusia itu sendiri.
Solat berperanan memenuhi keperluan rohani
manusia yang tidak sama dengan makhluk lain. Manusia adalah makhluk yang
istimewa yang dibekalkan dengan ‘roh’
sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Hijr ayat 29: "Kemudian apabila Aku sempurnakan
kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku....” Roh inilah yang merupakan komponen kompleks
yang ada pada manusia. Ia mempunyai keperluannya tersendiri sebagaimana tubuh
badan kita yang memerlukan makanan dan minuman untuk kelangsungan hidup. Sifat
rohaniah ini tidak boleh dilayani hanya dengan pengisian ilmu pengetahuan,
kehalusan bahasa sastera ataupun dengan teori pemikiran falsafah. Ia hanya
dapat dipenuhi dengan mengenal Allah Taala dan membina hubungan erat denganNya.
Solat yang dilakukan sebanyak lima waktu sehari
semalam inilah merupakan keperluan yang diibaratkan sebagai makanan harian yang
amat penting bagi roh. Roh memerlukan makanan ini sebagaimana perut kita memerlukannya
diisi dengan sajian harian. Munajat atau dialog manusia dengan Allah dalam
setiap kali solat adalah merupakan ibarat pengisian semula tenaga atau ‘cas’
bagi bateri yang lemah. “Cas’ ini akan menyinari hati, melapangkan dada dan
menuntun tangan manusia dari bumi ke
langit mengadap Allah Taala tanpa sebarang
halangan mahupun sekatan. Solat meletakkan manusia dalam situasi yang
istimewa di hadapan Allah Taala tanpa dibatasi sebarang tabir. Manusia boleh
berdialong dengan Allah tanpa penterjemah, mengadu, berbisik, memujuk rayu,
memohon apa saja tanpa rasa segan silu. Solat ini meletakkan manusia di hadapan
Allah yang maha agung, mengadu pada yang
maha hebat, meminta pada yang maha kaya yang memiliki segala-galanya.
Eratnya hubungan manusia dengan pencipta ketika
menunaikan solat itu digambarkan oleh Rasulullah S.A.W : “Apabila seseorang
memulakan solat ia Allah telah menghadap
mukanya kepadanya. Allah tidak akan memalingkan mukanya sehinggalah seseorang
itu selesai solat atau menuturkan perakara yang buruk” (Riwayat Ibn Majah).
Di sini kita melihat betapa istimewanya
solat dalam kehidupan seseorang muslim. Allah dengan sifat kasih dan pemurahnya
telah membuat satu kaedah bagaimana hambanya boleh mengadapnya setiap masa dan
setiap ketika. Malah setiap muslim itu wajib mengadap penciptanya sebanyak lima
kali sehari sekaligus pada masa yang sama membersihkan diri dari segala kotoran
zahir dan batin. Inilah keistimewaan Islam yang tidak di fahami oleh mereka
yang kufur dengan Allah dan masih tidak di hayati oleh sebahagian besar masyarakat
Islam.
Masih ramai lagi di kalangan kita umat
Islam yang mengabaikan solat lima waktu. Lantaran itu tidak hairanlah kita
melihat ramai mereka yang kaya harta dan pangkat namun miskin jiwanya. Ini kerana roh mereka mendapat
sajian yang cukup setiap hari. Ingatlah bahawa roh kita memerlukan santapan
berat sebanyak lima kali sehari secara wajib tidak sepertimana jasad kita yang
hanya memerlukan sajian berat sebanyak tiga kali sehari ataupun kurang!
Insya Allah, dengan mengambil berat
santapan rohani sebanyak lima kali sehari disamping memperbanyakkan santapan
ringan solat-solat sunat akan menjadikan roh kita sentiasa segar dan cergas lagi bertenaga untuk menjalankan tugas
seharian kita sebagaimana yang dituntut oleh Allah sebagai khalifah Allah di
atas muka bumi ini. Mudah-mudahan kita semua akan mendapat rahmat kebahagiaan
dalam kehidupan kita dunia dan akhirat.
Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman Siri 5.
Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman Siri 5.
No comments:
Post a Comment