Sunday, July 19, 2020

SUBURI JIWA :Ayat 85 dan 86 Surah al Nisa

Oleh: Dr Abdullah Hamzah
Surah al Nisa ayat 85 dan 86


Mafhum : Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.(85). Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.(86).


PENGAJARAN
1. Allah menyatakan bahawa sesiapa melakukan ‘Syafa’ah’ iaitu membantu atau memberi ruang kepada seseorang untuk merealisasikan kebaikan atau perkara yang mendatangkan faedah yang baik kepada manusia, pastinya Allah akan memberi ganjaran pahala kepadanya sebagaimana kebaikan yang dilakukan oleh orang lain itu. Lafaz ‘Nasiib’ adalah pasti mendapat ganjaran yang besar. Ini bermaksud sesiapa yang mempermudahkan atau membantu sesuatu yang baik dapat dilaksanakan ia akan mendapat pahala ganjaran disisi Allah.

2. Begitu juga sebaliknya sesiapa yang memberi ‘syafa’ah siayyi’ah’ iaitu membantu atau mempermudahkan sesuatu perkara buruk atau kemungkaran Allah akan bagi ‘kiflun’ balasan setimpal dengan keburukan yang telah dilakukan. ‘Kifl’ di sini lebih sedikit dan lebih ringan dari perkataan ‘nasiib’ yang menggambarkan yang banyak. Di sini Allah ingin menggambarkan bahawa dia maha pemurah dan pengasih kepada sesiapa yang membantu ‘syafa’ah hasanah’ akan mendapat ganjaran besar pahala, tetapi mereka yang membantu’syafa’ah sayyi’ah’ hanya dibalas setimpal dengan kejahatan.

3. Sesungguhnya Allah maha berkuasa memberi makan ‘muqiita’ kepada semua makhluk. Semua rezeki makhluk tidak mengira yang taat atau yang engkar semuanya di tangan Allah.  Orang beriman perlu berusaha membantu dan memenuhi keperluan saudaranya dalam kehidupan seharian. Cuma bantuan kearah kebaikan akan mendapat ganjaran pahala yang besar dan bantuan kearah keburukan juga akan mendapat balasan yang setimpal.

4. Kemudian Allah mengajar tentang adab berkomunikasi dan mengucap selamat. Dalam Islam ucapan selamat apabila berjumpa ialah ‘Assalamu alaikum’ itu yang paling ringkas. Ianya bermaksud Keselamatan atau kesejahteraan untuk kamu. Kata-kata dan doa yang baik ini wajib dijawab sekurang-kurangnya dengan jawapan yang setara ‘Wa alaikumussalam’ yang bermaksud kesejahteraan juga kepada kamu. Allah menggalakkan bahawa salam itu dijawab dengan lebih baik lagi seperti dengan tambahan ‘warahmatullahi wa barakaatuh’ yang bermaksud rahmat Allah kepada kamu dan juga keberkatannya. Memberi salam adalah sunat manakala menjawab salam adalah wajib.

5. Berdasarkan al-Sunnah, orang perlu memulakan salam ialah orang yang datang kepada tuan rumah, orang berkenderaan kepada orang sedang berjalan, orang yang berjalan kepada orang yang duduk, orang yang sedikit kepada yang ramai, orang yang lebih muda kepada yang lebih tua. Seorang lelaki dilarang memberi salam kepada perempuan muda ‘ajnabi’ (orang luar yang tidak dikenali) kerana ialah boleh menimbulkan fitnah.


6. Di dalam tafsir al-Munir menukilkan bahawa al-Suyuti menyebut bahawa tidak wajib menjawab salam orang kafir tetapi jika hendak dijawab salam ialah dengan mengatakan ‘wa alaikum’ yang bermaksud begitu juga kepada mu. Jika orang kafir dilihat sengaja mempermainkan salam ianya tidak perlu dijawab tetapi jika kita pasti mereka ikhlas memberi salam dan jelas perkataannya adalah ‘assalamualaikum’ maka di sini kita wajib menjawab dengan ‘wa alaikumussalam’ berdasarkan keadilan dan ihsan yang telah diajar oleh Islam sebagaimana diterangkan oleh ayat 86 surah al-Nisa di atas. Cuma sebahagian ulamak mengatakan bahawa tidak perlu dipanjangkan kepada ungkapan ‘warahmatullahi wabarakaatuh’ yang bermaksud rahmat Allah untuk kamu dan keberkatannya kerana ia hanya untuk umat Islam.

7. Sebahagian besar ulamak memberi kelonggaran kepada bukan Islam yang tinggal bersama umat Islam untuk diberi salam kepada mereka mudah mudahan ucapan salam itu akan lebih menjinakkan mereka kepada Islam Pandangan ini juga diriwayatkan oleh al-Nukha’ei. Kesimpulannya ialah sebahagian ulamak mengharuskan memberi salam kepada non muslim dan dan juga menjawabnya. (Tafsir al-Munir 5/187).

PERBINCANGAN
1. Bincangkan konsep ‘Syafa’ah hasanah’ dan ‘Syafa’ah Sayyi’ah’ dalam konteks amalan masyarakat Islam di Malaysia.
2. Bincangkan konsep salam dalam hubungan dengan non muslim di Malaysia dan kepentingannya dalam dakwah.


Artikel ini adalah bahan  Program SUBURI JIWA 22 Julai 2014

1 comment:

lifa said...

terima kasih ats perkongsian yg mantap ini