“Erin!, Awak dah solat zohor ke?” Tasha
bertanya kepada kawan baiknya Erin ketika menziarahinya di hospital.
“Belum lagi. Aku tak larat sangat ni, kepala aku menyucuk-nyucuk, langsung tak
boleh angkat, nak berdiri pun tak boleh”.
Erin menjawab sambil memicit-micit kepalanya.
“Sekarang ni dah nak masuk maktu asar, kamu
mesti solat Erin!”
“Ah Tasha! aku tak larat sangat ni, nak
berdiri nanti jatuh. Allah maha mengetahui dan maha pengampun. Dia tahu keadaan
aku dan kenapa aku tak solat. Nanti bila dah sihat nanti aku gantilah”.
“ Erin! bukan begitulah. solat ni mesti
dilakukan dalam apa jua keadaan walaupun sakit. Allah maha pengampun dan
pengasih tidak bermakna kita tak perlu solat jika sakit. Tapi Allah telah
memberi kelonggaran kepada orang sakit untuk solat mengikut kemampuan pesakit
tersebut. Jom aku ambilkan air, dan bantu kamu berwuduk”.
Mungkin inilah senario yang berlaku dalam
kalangan masyarakat kita. Ramai yang tidak menunaikan solat jika jatuh sakit. Sedangkan
ketika sihat pun berat untuk menunaikan solat apatah lagi ketika sakit. Keadaan ini berlaku mungkin
kerana kejahilan tentang konsep solat itu sendiri dan menganggap Allah yang
maha mengetahui dan maha pengampun akan memaafkan mereka yang tidak solat
kerana sakit.
Islam adalah agama yang mudah dan serasi
dengan kemampuan manusia dan situasi
yang dihadapi olehnya. Cuma ia mestilah berdasarkan panduan yang telah
terkandung dalam al-Quran dan juga apa yang telah diterangkan oleh Rasulullah
S.A.W. Solat adalah ibadah fardu dan
merupakan rukun Islam yang kedua selepas syahadah perlu dilakukan oleh setiap
muslim selagi ia masih sedar dan waras walaupun ketika sakit tenat. Tetapi
perlakuan dan pergerakan solat itu telah dipermudahkan mengikut keadaan pesakit
itu berdasarkan kemampuannya.
Allah telah berfirman di dalam surah
al-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: ...maka
hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk,
dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada
Dalam keadaan tenang dan sihat) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna
sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang
Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya.
Rasulullah
juga bersabda: “Tiga golongan yang tidak dicatat amalannya, Seseorang yang
tidur sehingga ia sedar, kanak-kanak sehinggalah ia baligh dan seorang yang
hilang akal ia kembali waras”. Hadis riwayat Imam Ahmad.
Ini membuktikan bahawa ibadat solat ini tiada pengecualian bagi
seseroang muslim selagi ia masih sedar. Cuma bagi mereka yang tertidur atau
terlajak tidur sehingga terlepas waktu solat ia perlu menunaikan solat yang
telah terlepas tersebut secara tunai bukannya qadak. Ini bermaksud bahawa
seseorang itu tidak berdosa kerana solat selepas luput waktunya dengan syarat
tidurnya amat nyenyak dan langsung tidak sedar.
Solat ketika sakit telah diterangkan dengan jelas oleh Rasulullah
S.A.W di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain bahawa katanya: “Aku
mempunyai penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah bagaimana
menunaikan solat” Rasulullah bersabda : “Solatlah dengan cara berdiri,
jika kamu tidak mampu solat dalam keadaan duduk, jika tidak mampu sembahyang
dalam keadaan mengiring” Hadis riwayat al-Jamaah.
Terdapat hadis yang menerangkan secara terperinci keadaan solat
ketika sakit sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ali R.A mengatakan bahawa
Rasulullah telah bersabda: “Orang yang sakit perlu solat berdiri jika mampu,
jika tidak, ia boleh solat dalam keadaan duduk, jika ia tidak mampu sujud ia
bolehlah mengisyaratkan dengan kepalanya dengan melakukan sujudnya itu lebih
rendah dari isyarat rukuknya. Jika si pesakit tidak mampu untuk solat dalam
keadaan duduk ia boleh solat dengan mengiring atau solat menelentang kaki
menghala ke arah kiblat” Riwayat al-Darqutniy.
Walaupun hadis ini di sebut oleh imam al-Nawawi sebagai hadis lemah
tetapi ia boleh diguna pakai sebagai panduan untuk solat kerana ia tidak
bercanggah dengan prinsip Islam itu mudah.
Persoalannya sekarang ialah bagaimana gambaran sebenar kedudukan
dan pergerakan solat mengikut ketika sakit tersebut. Cara solat ketika sakit
boleh dipecahkan kepada beberapa keadaan sepertimana berikut:
a. Solat dalam keadaan duduk
Jika pesakit tidak mampu berdiri lama atau langsung tak mampu
berdiri.Pesakit boleh memilih untuk duduk sebagaima kedudukan tahiyyat awwal
atau dalam keadaan bersila mengadap kiblat.Semua pergerakan solat dilakukan
dalam keadaan duduk termasuk rukuk dan sujud. Sujud dilakukan dengan
menundukkan kepala ke hadapan setakat yang mampu manakala rukuk pula adalah
menundukkan kepada sedikit separuh daripada kadar sujud.
b. Solat dalam keadaan duduk di atas kursi
Jika pesakit tidak mampu untuk duduk dalam keadaan tahiyyat awwal
ataupun bersila kerana sakit lutut dan sebagainya, pesakit boleh solat sambil
duduk di atas kursi. Pergerakan solat sama sebagai solat sambil duduk.
c. Terlentang kaki mengadap kiblat
Pesakit yang tidak mampu untuk berdiri atau duduk, solat boleh
dilakukan dengan cara terlentang dengan kaki mengadap ke arah kiblat. Sebaik-baiknya
kepala dialas dengan bantal yang agak tinggi sedikit agar muka boleh mengadap
kehadapan. Semua pergerakan solat dilakukan ketika terlentang dengan mengunakan
isyarat kepala dan tangan. Kepala ditundukkan kehadapan setakat yang mampu
manakala rukuk dilakukan dengan menundukkan sedikit kepala kurang sedikit dari
kadar sujud. Pergerakan lain seperti kedudukan tahiyyat diniatkan sendiri oleh
pesakit sambil membaca bacaan tahiyyat.
d. Keadaan mengiring
Jika pesakit tidak boleh berdiri atau duduk tetapi masih terdapat
sedikit tenaga, solat boleh dilakukan dengan cara baring mengiring. Pesakit
berbaring mengiring di atas rusuk sebelah kanan dengan dada dan muka mengadap
arah kiblat. Pesakit memulakan solat dengan takbir dan membaca bacaan solat
secara biasa, cuma ketika rukuk dan sujud pesakit boleh mengisyaratkan dengan
gerakan kepala jika mampu.
e. Guna isyarat mata.
Bagi pesakit yang langsung tidak boleh bergerak tetapi masih sedar
boleh melakukan solat dengan menggunakan isyarat mata bagi menggambarkan
pergerakan-pergerakan solat dari mula sehingga selesai.
Keadaan solat diatas boleh dilakukan secara bersendirian oleh
pesakit. Tetapi jika pesakit dalam keadaan tenat dan amat lemah, biasanya ia
tidak mampu untuk menumpukan perhatian secara kekal untuk solat dari awal
hingga selesai. Dalam hal ini adalah amat perlu jika ada sesiapa yang
membimbing pesakit untuk solat dari awal hingga akhir dengan membaca bersama-sama
bermula dari takbir, surah alfatihah dan seterusnya sehingga akhir dengan membisikkan
ketelingannya agar ia dapat mengikutinya dengan tenang. Kita juga boleh
membisikkan ketelinganya memberitahu kedudukan solat agar pesakit dapat mengetahui
pergerakan solat secara teratur.
Apa yang perlu kita ingat ialah solat wajib dilakukan di dalam
waktunya yang telah ditetapkan. Tidak ada kelonggaran meninggalkan solat
walaupan dalam apa juga keadaan sekali pun. Jika kita sakit, kita wajib
menunaikan solat mengikut kemampuan kita. Mintalah daripada mereka yang menemani kita untuk membantu kita solat
bermula dari menyediakan air wuduk,
membantu kita berwuduk seterusnya meyediakan tempat solat dan memperbetulkan
kedudukan untuk solat.
Solat perlu dilakukan dengan mengadap ke arah kiblat. Tetapi jika
keadaan tidak mengizinkan pesakit mengadap kiblat seperti kedudukan katil di
hospital yang tidak mengadap kiblat atau pesakit tidak mampu untuk bergerak
ataupun pergerakan pesakit boleh membahayakan, solatlah dalam kedudukan sedia
ada tanpa perlu mengadap kearah kiblat.
Apa yang perlu kita lakukan sebagai orang yang masih mendapat
nikmat kesihatan jika berpeluang
menemani pesakit, kita perlu
memperingatinya tentang solat. Jika ia tidak mampu untuk melakukannya sendirian
untuk melaksanakan kewajipan ini bantulah ia
bermula dari rwuduk seterusnya
membimbingnya untuk solat dari awal sehingga selesai. Itulah tanggungjawab
kita!
Bagi tujuan memberi gambaran yang lebih jelas kepada pembaca. Adalah
lebih baik dibuat gambar atau ilustrasi tentang kedudukan dan pergerakan solat
ketika sakit ini. Saya mencadangkan agar ianya dilukis semula berpandukan buku
INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT oleh Ustaz Ismail Kamus dari muka surat 103 hingga
109.
Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman Siri 4.
No comments:
Post a Comment