Seorang sahabat meminta nasihat saya
tentang kebuntuannya memilih bakal isteri. Terdapat beberapa pilihan yang telah
diperkenalkan kepadanya. Semuanya baik dan berkenan di hati menyebabkan dia
tidak dapat membuat keputusan yang mana satu akan dipilih untuk menjadi teman
hidupnya. Penulis juga satu ketika dahulu pernah buntu ketika menerima dua
tawaran melanjutkan pelajaran. Universiti mana yang terbaik, bidang mana yang
paling sesuai dan boleh menjamin masa depan yang cemerlang.
Setiap hari kita semua menghadapai situasi yang memerlukan kita membuat
keputusan samada ia untuk urusan peribadi atau urusan kerja. Keputusan ini
sudah tentu mempunyai implikasi tersendiri samada baik atau buruk. Malah
keputusan yang dibuat mempengaruhi dan memberi impak yang besar pada kehidupan
kita terutama jika ianya bersangkut paut dengan kehidupan akhirat yang jauh dari
jangkauan pengetahuan manusia . Hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui tentang
masa depan baik ataupun buruk. Lebih-lebih lagi persoalan baik dan buruk ini
tidak sama pada penilaian manusia dengan penilaian Allah Taala. Baik pada Allah
biasanya tidak dilihat baik oleh manusia dan sebaliknya buruk bagi Allah
dilihat baik oleh manusia. Oleh itu kita sebagai orang beriman perlu wujud
dalam diri pergantungan pada Allah Taala setiap detik dalam kehidupan dan ini
lah manifestasi kehambaan dan pengharapan pada Allah.
Memilih calon isteri, membeli rumah, membeli kenderaan, memilih kerjaya
dan apa saja kebuntuan untuk membuat keputusan untuk memilih ada cara
penyelesaiannya dalam Islam. Di dalam syariat, terdapat solat yang dinamakan
solat Istikharah iaitu solat memohon petunjuk untuk membuat pilihan. Solat ini
adalah merupakan salah satu manifestasi kebergantungan pada Allah dalam membuat
keputusan. Solat ini diiringi dengan doa
memohon petunjuk dari Allah. Allah yang maha mengetahui dan maha bijaksana
adalah tempat untuk mengadu dan memohon petunjuk.
Solat Istikharah ini telah diajar oleh Rasulullah sebagaimana dalam
hadis dari Jabir R.A katanya: Rasulullah pernah mengajar kami cara
beristikharah memohon petunjuk Allah dalam membuat pilihan sebagaimana baginda
mengajar kami sesuatu surah dalam al-Quran. Sabdanya: “Apabila kamu gusar
dan ragu terhadap sesuatu perkara hendaklah kamu solat sunat dua rakaat dan
kemudian berdoa : Ya Allah sesungguhnya aku..... sehingga akhir ( Hadis
Riwayat Bukhari)
Bagaiamanakah cara melakukan solat sunat istikharah?
1. Berwudhuk dengan sempurna sebagaimana wuduk untuk solat fardhu dan
sunat yang lain.
2. Berniat tekad dihati untuk melakukan solat Istikharah.
3. Solat sunat dua rakaat, pada rakaat pertama selepas membaca surah
al-Fatihah disunatkan membaca surah al-Kaafirun (qul yaa ayyuhal kaafiruun..)
Manakala pada rakaat kedua membaca surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad..)
selepas membaca surah al-Fatihah.
4. Akhiri solat dengan salam. Selepas solat mengangkat tangan berdoa
kepada Allah dengan penuh penghayatan dan pengharapan pada Allah.
5. Mulakan doa dengan memuji-muji Allah Taala dengan keesaan dan
kebesarannya kemudian berselawat kepada nabi S.A.W. Selawat yang paling baik
ialah selawat Ibrahimiyyah sebagaimana yang selalu dibaca ketika tahyat akhir.
6. Kemudian bacalah doa istikharah yang telah diriwayatkan dari
Rasulullah
Mafhumnya : Ya Allah, sesungguhnya
aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu,
dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau
berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku
tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau
mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang
dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku
atau baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka tetapkanlah ia
bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam
menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam
agama, kehidupan dan akhir urusanku atau baik dalam waktu yang dekat mahupun
yang akan datang - maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku
darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu
berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.
7. Kemudian kembali membaca
selawat kepada nabi sebagaimana permulaan tadi dan sebaiknya selawat Ibrahimiyyah.
8. Selesai berdoa dengan penuh pengharapan dan berserah pada Allah
Taala ikutlah segala kecenderungan hati selepas itu. Insya Allah apa saja
keputusan selepas itu akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah Taala.
Di samping melaksanakan solat istikharah dan berdoa kepada Allah memohon
petunjuknya dalam menentu dan memilih sesuatu perkara, Islam juga menganjurkan
kita agar merujuk perkara yang mejadi kebuntuan itu dengan meminta nasihat
mereka yang berpengalaman dan amanah. Ini kerana, mereka mampu memberi nasihat yang
bermanfaat dalam membuat keputusan yang tepat. Gabungan antara dua cara ini
akan menjadikan keputusan yang diambil akan mendapat rahmat dan keberkatan
Allah Taala.
Terdapat beberapa perkara yang perlu dititik beratkan oleh kita sebgai
muslim berkaitan dengan solat dan doa istikharah ini.
1 Biasakan diri kita dengan melakukan solat istikharah dan berdoa dalam setiap perkara yang perlu dibuat pilihan samada perkara itu kecil ataupun besar.
2. Yakinlah bahawa Allah akan menetapkan sesuatu yang terbaik untuk kita. Bulatkan hati ketika berdoa, hayati mafhum doa guna menyemarakkan lagi kebergantungan dan pengharapan pada Allah.
3. Doa istikharah ini perlu dilakukan selepas solat sunat yang diniatkan khas untuk istikharah bukannya selepas solat lain samaada fardhu ataupun solat sunat yang lain.
4. Bagi perempuan yang dalam keadaan haid bolehlah berdoa istikharah sahaja tanpa solat.
5. Doa istikharah perlu dibaca dengan sempurna dan lengkap. Jika ianya tidak di hafal, anda boleh membacanya melalui kertas, buku atau telefon pintar.
6. Selepas solat sunat istikharah, berserahlah pada Allah, insya Allah keputusan yang dipilih selepas itu akan mendapat rahmat dan keberkatan Allah. tidak perlu menunggu petunjuk lain seperti mimpi dan sebagainya. Memadailah dengan rasa gerak hati sebagai keputusan yang telah dipilih.
7. Jika hati sudah cenderung kepada sesuatu pilihan dan keputusan sudah dibuat, solat dan doa istikharah tidak lagi galakkan.
8. Istikharah dilakukan pada perkara yang harus, bukannya perkara yang sudah tetap wajib atau haram. Perkara yang wajib tidak perlu dilakukan istikharah kerana ianya wajib dilakukan begitu juga dengan perkara yang haram. Ianya wajib ditinggalkan.
Istikharah ini perlu menjadi rutin kehidupan seorang muslim jika buntu
untuk membuat keputusan. Mohonlah petunjuk pada Allah tuhan yang maha
mengetahui dan maha bijaksana. Allah lah tempat untuk mengadu dan tempat untuk
memohon segala-galanya. Allah Maha mendengar lagi maha pengasih mendengar
rintihan dan bisikan hambanya dan pastinya Allah tidak akan mengecewakan
hambanya yang berdoa. Ada kata-kata ulamak menyebut bahawa seseorang itu tidak
akan kecewa jika ianya beristikharah pada Allah walau apa pun terjadi. Ia akan
redha dengan ketentuan Allah dan itulah yang paling baik buat dirinya!
Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman Siri 25
1 comment:
👍👍
Post a Comment