Monday, July 20, 2020

SYOK SOLAT: FESYEN WANITA MESRA SOLAT

Oleh: Dr Abdullah bin Hamzah

Solat merupakan tanda cinta dan kasih pada Allah. Alhamdulillah, kita melihat solat sudah menjadi perkara yang semakin dititik beratkan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Masjid, surau atau ruang khas solat sentiasa menjadi tumpuan dan amat sesak di masa-masa tertentu terutama ketika waktu maghrib yang masanya amat pendek! Kita melihat kaum lelaki lebih mudah untuk menunaikan solat kerana batasan aurat mereka yang ringkas. Semua pakaian lelaki boleh dibawa bersolat asalkan ianya bersih dari najis atau kotoran.

Namun bagi wanita, Solat di lihat agak  sedikit menjadi kekangan lantaran batasan aurat mereka yang meliputi seluruh badan melainkan muka dan dua tangan sahaja. Oleh kerana kebanyakan fesyen pakaian  wanita moden ini tidak menepati sepenuhnya batasan aurat muslimah menyebabkan perlaksanaan solat juga terjejas. Fesyen pakaian menjadi alasan untuk tidak solat atau melewatkan solat sehingga pulang kerumah dan memakai telekung solat yang sempurna.

Ramai juga wanita yang perihatin tentang solat sentiasa membawa pakaian solat kemana-mana sahaja bagi memudahkan solat. Masjid dan surau juga ada menyediakan pakaian solat wanita tetapi kadang-kadang ianya merimaskan lantaran baunya yang kurang menyenangkan kerana penggunanya silih berganti atau tidak dibersihkan dengan sempurna.

Bagaimanakah jika anda melihat wanita muslimah yang bersolat tanpa memakai telekung solat? Adakah anda juga akan memandang  muslimat tersebut dengan pandangan yang sinis atau pelik. Mungkin terdapat sebahagian masyarakat Islam masih lagi tidak menerima keadaan ini. Bahkan, mungkin ada yang mengganggap solat kurang sempurna jika tidak memakai telekung putih sebagaimana kebiasaan masyarakat islam.

Sebenarnya solat itu adalah mudah jika setiap wanita berpakaian dengan mamatuhi batasan aurat mengikut syariah Islam.  Aurat bagi wanita secara mudahnya ialah bahagian badan yang mesti ditutup dihadapan lelaki ajnabi yang boleh dikahwini. Batasan aurat ini juga sama dengan batasan aurat dalam solat walaupun ianya tidak dilihat oleh kaum lelaki. Aurat wanita ialah seluruh badannya kecuali muka dan dua tangan sahaja. Pakaian yang menutup aurat ialah pakaian yang menutup seluruh badannya kecuali muka dan dua tangannya sahaja.

Ini bermakna jika kaum wanita berpakaian menutup aurat sebagaimana dituntut oleh islam persoalan pakaian solat juga tidak timbul. Mereka boleh bersolat dengan hanya pakaian harian yang biasa itu sekiranya ia bersih dari kotaran dan najis! Ianya tidak lagi memerlukan pakaian kerudung solat atau telekung yang biasa di pakai untuk solat. Jika ini diamalkan, kaum wanita tidak lagi perlu kesana sini dengan membawa telekung solat yang sudah tentu menambah lagi senarai barangan yang hendak dibawa kemana-mana demi untuk menjaga solat lima waktu.

Mungkin ada yang bertanya kenapa masyarakat islam malaysia amat menitik beratkan soal telekung solat yang labuh menutup tangan dan kain yang menutup kaki sepenuhnya. Tudung solat ini menjadi satu pakaian khas untuk solat sehingga sukar bagi sesetengah wanita muslimah untuk solat tanpa pakaian ini.

Konsep pakaian ini timbul berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Ummi Salamah R.A yang telah bertanya kepada Rasulullah : “Bolehkan seorang wanita bersolat dengan hanya memakai kerudung labuh sahaja tanpa kain?” Rasulullah menjawab : “Boleh, jika kerudung itu labuh melindungi kakinya”. (Riwayat Abu Daud)

Para ulamak menyebut jika kerudung atau tudung itu labuh sehingga melindungi kaki atau jika wanita itu memakai kain yang menutupi kakinya, solat itu sah. Seseorang muslimah itu tidak perlu lagi memakai stokin. Kerudung yang dimaksud dalam hadis di atas ialah pakaian harian bagi masyarakat Arab yang fesyennya ada yang singkat dan ada juga yang labuh. Bahagian atas tudung sudah menepati syarat menutup aurat kerana telah menutupi kepala, rambut dan tangan. Cuma yang menjadi persoalan adalah kaki. samada perlu memakai stokin atau tidak. Jika kerudung itu singkat sehingga menampakkan kakinya maka wanita itu perlu memakai stokin untuk menutup auratnya. jika ia memakai kain lain menutup seluruh kakinya tidak perlu lagi memakai stokin. Pakaian inilah yang menjadi rujukan bagi tudung solat dalam masyarkat kita. Tetapi ia tidak bermakna pakaian lain tidak boleh digunakan untuk solat.

Hadis diatas juga adalah merupakan dalil atau hujah menunjukkan bahawa kaki perempuan juga adalah aurat yang perlu sentiasa ditutup dari pandangan lelaki dan juga semasa solat. Hal ini disepakati oleh ulamak mazhab  Syafie, Maliki dan Hanbali.

Bagaimana menentukan pakaian harian anda boleh dibawa solat? ianya amat mudah.

Pertama:  Pastikan tudung anda menutup kepala dari ubun-ubun rambut sehingga ke dagu. Tudung juga agak besar supaya tidak terselak ketika sujud ataupun ditiup angin.

Kedua: Lengan baju anda hendaklah menutup lengan dengan baik. Had tangan yang dikira bukan aurat hanyalah dari pergelangan tangan. Jika lengan baju anda telah berbutang dipergelangan tangan, ianya sudah mencukupi asalkan pergerakan dalam solat nanti lengan baju anda tidak bergerak-gerak sehingga ianya mendedahkan sebahagian lengan. Jika lengan baju anda tidak berbutang dan mudah terselak bolehlah memakai sarung lengan ‘hand socks’ kerana ia juga dikira menutup aurat.
Ketiga: pastikan kaki anda tertutup dan terlindung. Cara yang paling mudah ialah dengan memakai stokin.

Sekarang anda sudah dikira menutup aurat dan boleh melaksanakan solat dengan pakaian anda. Tidak perlu lagi membawa telekung solat kemana-mana anda pergi. Anda boleh solat dimana sahaja dengan pakaian harian anda. Pilihlan fesyen pakaian yang hendak dipakai cuma pastikan bahawa ianya menutup aurat dan boleh dibawa untuk bersolat. Anda tidak perlu lagi risau dengan telekung solat yang busuk dan hapak di masjid dan surau. Malah anda tidak perlu membawa beg yang mengisi tudung solat. Ianya lebih ringkas dan menjimatkan masa dan yang lebih penting pahalanya bertambah kerana anda dapat solat di awal waktu dan berpeluang untuk solat berjamaah.

Insya Allah, jika fesyen pakaian seharian yang dipilih selaras dengan syariat, menutup aurat dan mesra solat, Allah akan sentiasa merahmati dan memberkati hidup anda seluruhnya.

Artikel ini disiarkan dalam Majalah Iman siri 10



No comments: