Friday, July 17, 2020

SYOK SOLAT :SOLAT ITU MUDAH

Oleh : Dr Abdullah Hamzah

Seluar saya kotor ustaz”
“saya tak selesa solat dengan seluar”
“Mungkin seluar saya terkena najis sebab tadi saya masuk tandas tadi”
“Saya rasa macam air kencing saya menitis selepas saya basuh”
“Seluar ni dah 3 hari saya pakai”

Ini adalah antara alasan yang di gunakan oleh para pelajar  ketika pihak sekolah saya dulu mewajibkan solat zohor berjemaah untuk semua pelajar. Memang susah untuk meyakinkan pelajar bahawa syarat sah solat adalah sangat mudah terutama apa yang berkaitan dengan kebersihan pakaian. Hal ini juga rupanya menjadi persoalan dikalangan guru-guru malah juga sebahagian guru agama apatah lagi masyarakat awam.

Jika kita bertanya kenapa tidak solat? Jawapan yang selalu diberikan ialah

“Baju kena cat”
“Seluar kotor, terkena minyak hitam”
 “saya buat kerja teruk tadi, badan lecun dengan peluh, Tak selesa nak solat”
“Nanti saya solat dirumah lah lebih selesa, selesai mandi dan tukar pakaian”

Masih lagi ada dikalangan masyarakat kita yang meninggalkan solat hanya dengan anggapan pakaian mereka kotor dan tidak boleh diguna untuk solat. Malah ramai juga yang tidak solat berjamaah di surau dan masjid semata-mata menganggap pakaian mereka kotor tidak boleh digunakan untuk solat.

 Kita juga masih melihat segelintir yang membawa bekalan kain pelikat guna  untuk ditukar khas untuk solat.  keadaan ini memberi gambaran bahawa solat itu rumit dan boleh menyebabkan persepsi yang salah tentang solat. Jika seluarnya betul diyakini terkena najis tidak mengapa. Tetapi jika ianya sekadar tanggapan dan kemungkinan itulah yang perlu diperhalusi. Ini kerana di bimbangi diri kita dihidapi penyakit was-was yang menjadi mainan syaitan.

Selain dari rukun solat, terdapat juga syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk menjamin solat itu sah dan diterima Allah. Syarat tersebut iaitu bersih dari hadas dan kotoran, masuk waktu solat,  menutup aurat dan mengadap kiblat.

Kebersihan yang dituntut untuk memastikan solat itu sah ialah sebagaimana berikut:

1. Bersih dari hadas kecil dan besar. Iaitu sudah berwudhuk.
2. Badan bebas dan bersih dari sebarang kotoran.
3. Pakaian tidak tarpalit dengan najis
4. Tempat solat bersih iaitu dari tempat untuk berdiri sehingga tempat sujud. Jika najis itu berada disebelah tempat solat atau berdekatan tetap sah.

Bagaimana kita hendak mengetahui sesuatu pakaian itu tidak bersih dan tidak boleh digunakan untuk solat. Jika merujuk kepada buku Fiqh al-Manhaji di dalam bab taharah, kita akan dapati bahawa apa yang dikategorikan sebagai najis ialah :        
            - Anjing dan babi
            - Arak atau alkohol
            - Bangkai
            - Darah yang mengalir
            - Nanah
            - Kencing dan najis manusia dan juga binatang
            - susu binatang yang haram di makan.

Apa yang perlu di pastikan ialah pakaian kita bersih dari apa yang tersenarai di atas sebelum kita menunaikan solat. Perkara yang kita anggap sebagai najis tetapi tidak tersenarai sebagai najis ianya dimaafkan dan pakaian yang terkena benda tersebut boleh di bawa solat seperti tanah, lumpur, lumut, minyak hitam, daki, cat dan sebagainya. Apa yang kita lihat ialah ramai di kalangan umat islam segan dan tidak mahu solat semata-mata pakaiannya terkena tanah, cat, minyak hitam, dan sebagainya.

Jika mereka datang kemasjid atau disurau pun mereka akan ditegur kerana solat dalam keadaan yang kotor. Malah  terdapat juga situasi yang lebih parah apabila mereka yang solat di bengkel atau ditempat kerja dengan pakaian kerja yang comot ditegur dengan aggapan bahawa mereka solat dalam keadaan yang kotor. Sedangkan apa yang dimaksudkan dengan kotoran yang perlu dibersihkan adalah perkara lain. Pemahaman salah inilah yang menyebabkan solat itu menjadi rumit dan susah untuk dilaksanakan dalam suasana kerja yang diceburi.

Begitu juga ramai yang menganggap  bahawa seluar yang sudah beberapa hari dipakai  di anggap kotor dan tidak boleh digunakan untuk solat sedangkan ia masih dipakai untuk bekerja.

Terdapat juga mereka yang tidak solat berjamaah di masjid atau surau dengan alasan seluar telah digunakan untuk ketandas! kemungkinan seluar mereka telah terkena najis. Apa yang saya masih ingat guru saya pernah berpesan jika kita masuk ketandas dan sudah selesai membuang air besar atau kecil renjiskan sedikit air ke seluar untuk membuang keraguan jika terlihat seluar ada bekas air hati kita akan yakin bahawa itu adalah dari renjisan kita bukannya percikan air kencing.

Sebagai panduan mungkin boleh disimpulkan bebeapa situasi yang perlu diambil perhatian:
a. Kita tidak perlu menyelidiki dengan terlampau teliti adakah pakaian kita terpalit dengan najis atau tidak.

b. Jika kita tidak melihat dengan yakin bahawa pakaian terkena  najis, keraguan yang timbul selepas itu perlu diyakini bahawa ia bukannya najis.

c. Jika pakaian anda berbau disebabkan peluh, ia boleh digunakan untuk solat kerana ia bukannya najis. Jika ingin solat di surau atau masjid anda boleh solat berjauhan sedikit dari jamaah lain atau tidak memasuki saf utama. mungkin anda solat beranda masjid atau surau tetapi masih lagi sebagai makmum. Anda masih dikira solat berjamaah tetapi pahala berada dalam saf tiada. ia lebih baik dari solat bersendirian dirumah.

d. Seorang mekanik tidak perlu menukar pakaian kerjanya yang sudah pastinya terpalit dengan kotoran minyak. Pakaiannya masih bersih dan boleh dibawa solat. tidak perlu membuang masa menukar pakaian hanya semata-mata untuk solat. Memadailah berwuduk dengan sempurna sambil membersihkan anggota wudhuk dan solatlah dengan pakaian sedia ada. Jika dibimbangan pakaian tadi mengotorkan surau anda boleh solat ditempat kerja hanya berlapikkan tikar atau kepingan kotak. Anda juga boleh solat berjamaah bersama rakan kerja. Percayalah solat anda diterima Allah.

e. Jika anda seorang buruh binaan yang bergelumang dengan simen atau cat, anda tidak perlu bersusah payah membuang masa menukar pakaian dan mandi dan pergi kemana-mana surau berdekatan untuk solat. Cukup hanya memastikan pakaian anda menutup aurat kemudian pastikan anggota wudhuk tiada sesuatu yang boleh menghalang wuduk sempurna. Selesai berwudhuk anda boleh solat ditempat anda bekerja samaada di atas tanah atau simen dan sudah semestinya mengadap kiblat.

Ya. Solat itu mudah! jadi, jangan persulitkan urusan solat. Solatlah di mana sahaja dalam waktunya. Insya Allah, Kita akan menjadi hambanya yang diredhainya.

Artikel ini disiarkan dalam majalah Iman keluaran ke 9 dengan tajuk  'Solatlah di mana Sahaja'.




No comments: