Saturday, July 25, 2020

SYOK SOLAT: Karnival Masjid dan Kempen Solat berjamaah

Oleh Dr Abdullah Hamzah

Pada hujung minggu lepas saya mengambil bahagian dalam satu karnival masjid berdekatan dengan rumah saya sempena cuti sekolah ini. Karnival Masjid ini meliputi pameran, sukaneka antara masjid, forum, konsert nasyid dan juga pelbagai program lain yang menarik. Program ini bertujuan mendekatkan masyarakat awam dengan masjid. Pihak masjid telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk para mengunjung termasuk makanan dan minuman percuma. Program karnival ini berjaya menarik ramai lapisan masyarakat golongan dewasa dan juga remaja.

Cuma ada beberapa situasi yang kelihatan janggal sepanjang karnival ini yang perlu diperbaiki. Apabila tiba waktu solat Zohor dan azan  dilaungkan ramai para pengunjung masih lagi dengan hal masing-masing, begitu juga para peniaga dan penjaga gerai. Apabila imam mengangkat takbir memulakan solat zohor berjamaah, ramai yang masih berbual-bual dan makan tanpa merasa terpanggil untuk solat berjamaah bersama para jamaah yang lain. Bila mereka akan solat? Apa yang menghalang mereka untuk sama-sama bersolat berjamaah sedang  mereka telah berada di masjid?

Inilah yang perkara yang perlu kita sama-sama ambil perhatian dalam masyarakat kita. Masih ramai lagi umat islam yang mengabaikan solat, malah mungkin masih tidak mengambil berat tentang solat berjamaah. Perkara ini bukannya berlaku di masjid ini sahaja malah banyak kali di perhatikan berlaku di mana-mana tempat pun di Malaysia ini. Ramai lagi umat islam tidak dapat memahami dan menghayati solat sebagai tanda kesyukuran dan mengagungkan Allah.

Kempen kesedaran solat berjamaah ini adalah merupakan tanggungjawab semua pihak. Ianya bukan semata-mata tanggungjawab ustaz ustazah dan juga para penceramah agama. Sebagai contoh, dalam karnival masjid seperti yang penulis hadiri, pihak penganjur dan pengurusan masjid boleh mengambil inisiatif untuk kempen kesedaran solat berjemaah dikalangan pengunjung dan juga peniaga yang terlibat ketika tibanya waktu solat. Jika hanya sekadar azan dan iqamah ramai lagi yang masih belum dapat menghayati fungsi azan dan iqamah malah buktinya masih ramai yang tidak bergerak untuk mempersiapkan diri untuk solat walaupun sudah di laungkan azan.

Antara inisiatif atau kempen lain yang juga boleh dilakukan ialah dengan memberi penerangan tentang masuk waktu solat dan seruan untuk solat berjemaah. Malah mungkin mengambil sedikit masa memberi penerangan tentang kelebihan solat berjamaah, terutama solat berjamaah di masjid sebelum atau selepas azan.  Penerangan ini bolehlah menggunakan pembesar suara utama yang digunakan untuk azan agar penerangan ini boleh didengari oleh semua pengunjung dan sesiapa sahaja yang berada di persekitaran masjid. Penerangan ini mestilah dibuat dengan suara yang jelas tidak laju agar ianya mudah difahami mesej dan penghayatannya. Hadis yang boleh dibaca dan dihuraikan secara ringkas ialah hadis yang biasa iaitu“Solat berjamaah itu lebih baik dari solat bersendirian dengan perbezaan dua puluh tujuh darjat.” (Hadis Muttafaqun alaih). Fokuskan perbandingan antara satu pahala dan bezanya dengan 27 pahala. 

Perkara kedua yang juga boleh dilakukan oleh penganjur dan pihak pengurusan masjid ialah dengan menugaskan beberapa orang ahli jawatankuasa untuk bergerak di persekitaran masjid memberi penerangan kepada pengunjung. Seterusnya menjemput mereka untuk solat berjemaah bersama-sama. Apa yang penting ialah kemesraan petugas-petugas ini sambil menguntum senyum mengambil hati para pengunjung. Elakkan nada marah dan suara yang tinggi bila diberi alasan-alasan yang kurang matang oleh pengunjung. Tidak keterlaluan jika petugas mengiring mereka ketempat wuduk sambil bercerita tentang cara mengambil wuduk secara mudah dan juga persoalan persediaan untuk solat.

Kita juga sebagai pengunjung atau orang awam yang datang ke karnival  atau pesta keramaian lain perlu mengambil berat tentang solat berjamaah. Pastikan pakaian yang dipakai adalah pakaian mesra solat yang mana terus boleh digunakan untuk solat tanpa perlu menyalinnya dahulu. Didiklah ahli keluarga agar prihatin tentang waktu solat dengan bersedia dengan wudhuk sebelum masuk waktu untuk mengelakkan kesesakan dan terlepas solat berjamaah awal bersama imam. Ringankanlah mulut kita untuk mempelawa kawan-kawan atau sesiapa yang ada berdekatan untuk sama-sama solat berjamaah agar budaya amar makruf ini menjadi amalan dalam kehidupan seharian kita.

Alangkah indahnya jika umat islam dapat menghayati solat berjamaah dalam kehidupan seharian terutama solat berjamaah di masjid sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. Rasulullah telah bersabda terdapat 7 golongan yang akan mendapat layanan istimewa VVIP di akhirat nanti, antaranya ialah sesiapa yang hati amat mencintai masjid. Imam Nawawi menghuraikannya sebagai mereka yang sentiasa melazimi solat berjamaah di masjid.

Langkah Masjid ditempat saya menganjurkan karnival masjid adalah merupakan langkah yang bijak untuk membiasakan masyarakat dengan masjid. Malah ia adalah satu pendekatan baru mengembalikan masjid sebagai satu pusat komuniti sebagaimana fungsi masjid di zaman Rasulullah. Kita semua perlu memberi sokongan yang padu terhadap usaha ini dengan melakukan penambahbaikan terutama dari aspek kempen solat berjamaah sepanjang program berlangsung. Insya Allah usaha-usaha ini merupakan perintis untuk menyatukan umat Islam seterusnya mengembalikan kegemilangan islam di dunia ini.

Artikel ini telah disiarkan dalam majalah Iman siri ke 11




No comments: