Monday, July 27, 2020

SUBURI JIWA: AYAT 8-9 SURAH AL-A'RAAF

Oleh: Dr Abdullah bin Hamzah

Surah al A’raf Ayat 1- 11 (muka surat 151) Tadarus selama 15 minit

AYAT PERBINCANGAN (Ayat 8-9 Surah al A’raf) Setengah jam.


وَٱلۡوَزۡنُ يَوۡمَئِذٍ ٱلۡحَقُّۚ فَمَن ثَقُلَتۡ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٨ وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَٰزِينُهُۥ فَأُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَهُم بِمَا كَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يَظۡلِمُونَ ٩


Mafhumnya:  Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.(8) Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).(9) Surah al A’raf.

 



PENGAJARAN

1. Ayat ini membincangkan tentang keadilan Allah Taala di Akhirat nanti. Allah Taala dengan sifatnya yang maha tahu telah mengetahui nasib setiap manusia dengan segala kadar pahala dan dosa mereka semua. Namun Ia mahu menzahirkan lagi keadilannya dengan mewujudkan sesi mengaudit segala amalan berdasarkan tingkah laku manusia sepanjang hidup mereka di dunia.


2.Proses timbangan amalan di Akhirat nanti adalah benar dan pasti berlaku. Cuma kaedah ukuran atau timbangan yang diguna pakai tidak diketahui. Bagaimana berat amalan itu dikira dan diukur. Di dunia ini sesuatu yang boleh ditimbang ialah apa yang mempunyai jisim dan berat. Kewujudan graviti menentukan berat jisim sesuatu benda. Di akhirat nanti amalan atau kelakuan manusia akan ditimbang berdasarkan kaedah dan mekanisme terserah pada Allah Taala. Apa yang penting ialah ia tidak sama dengan apa yang digambarkan oleh manusia berdasarkan pengalaman hidup manusia di dunia ini.


3.Ulama berpandangan bahawa proses timbangan ini betul-betul wujud dan setiap orang akan melaluinya tanpa berkecuali. Namun ada juga yang berpandangan bahawa ‘al-mizan’ ini merupakan konsep dan falsafah sahaja yang menggambarkan keadilan Allah Taala. Apa yang disepakati ialah proses timbangan ini ingin membuktikan bahawa Allah sekali-kali tidak menzalimi sesiapa pun.


4. Proses timbangan ini merupakan kesinambungan kepada ayat 160 surah al-An’am yang menyebut bahawa setiap amalan baik akan digandakan sepuluh kali ganda manakala amalan buruk hanya dikira sebagai sekali sahaja. Timbangan ini akan mengukuhkan lagi bahawa dengan peluang yang begitu luas yang Allah berikan telah disia-siakan begitu sahaja oleh mereka yang kufur. Ini ialah bukti bahawa Allah tidak menzalimi mereka bahkan mereka yang kufur itu menzalimi diri sendiri dengan sengaja memilih untuk ingkar pada Allah.


5.Timbangan amalan adalah amat teliti dari sekecil-kecil amalan hingga sebesar-besarnya akan ditimbang. Sistem timbangan adalah amat teliti sebagaimana telitinya Allah mencipta langit dan bumi sudah pasti tiada cacat cela atau masalah teknikal yang boleh menafikan keadilan Allah.


6.Jika seseorang itu amalan kebaikannya beratnya melebihi dosanya, dia tergolong dalam golongan orang yang berjaya mendapat keredaan Allah dan akan dianugerahkan kepadanya syurga. Namun jika timbangannya menunjukkan amalan baiknya amat ringan berbanding dengan dosanya yang lebih berat, amat celakalah nasib mereka kerana tiada lagi peluang kali kedua. Mereka tergolong dalam kalangan orang yang rugi.


7. Allah menegaskan bahawa mereka yang ringan amalan baiknya ialah mereka memandang remeh ayat-ayat Allah iaitu panduan yang Allah turunkan kepada mereka. Mengabaikan panduan al Quran dan tidak mengambil pengajaran daripadanya ialah penyebab utama kerugian mereka di Akhirat nanti.


8.Yakin dan percaya kepada proses timbangan di akhirat ini ialah persoalan aqidah yang termasuk dalam komponen beriman pada hari akhirat. Penghayatan konsep timbangan amalan ini perlu diyakini dan dihayati dalam kehidupan seharian oleh setiap umat Islam agar ia dapat mempengaruhi keputusan dan tindak tanduk yang dilakukan seharian. Apa yang berlaku pada hari ini konsep kepercayaan dan keimanan pada hari Akhirat tidak dihayati dengan mendalam. Ramai umat Islam masih gagal untuk memahami dan menghayati hari Akhirat dengan setiap peristiwa dan perjalanan yang wajib dilalui. Hasilnya apa yang kita lihat pada hari ini, masih ramai umat Islam tidak berakhlak malah secara terang-terangan langgar perintah Allah tanpa segan silu.


9.Umat Islam semua perlu  memahami konsep dan falsafah meyakini hari Akhirat yang amat banyak diterangkan dalam al-Quran. Mengabaikan ayat-ayat al-Quran ialah merupakan punca kerugian di Akhirat nanti. Membaca al Quran bukan hanya sekadar untuk mendapat pahala dan berkat tetapi ia adalah untuk memahami dan menghayati pesan Allah dan petunjuknya.


 

PERBINCANGAN

1. Bincangkan konsep ‘Mizan’ atau timbangan amalan di Akhirat nanti dan bagaimana nasib mereka yang pahala dan dosanya samarata.

2. Bincangkan bagaimana cara untuk mendidik diri agar sentiasa menyedari bahawa hari Akhirat adalah hari yang amat menggerunkan di mana semua amalan dan gerak geri manusia di dunia akan disemak dengan teliti untuk menentukan nasibnya ke syurga atau neraka.

 

Artikel ini adalah merupakan bahan Program Suburi Jiwa yang dijalankan untuk semua pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG KPI). Bahan ini boleh diguna semula sebagai bahan usrah atau program lain yang sesuai. 

No comments: