Ketika saya menghadiri satu jemputan
kenduri kahwin di sebuah masjid di Pinggiran Putrajaya, azan Zohor sedang
berkumandang. Kelihatan ramai tetamu yang sedang mempersiapkan
diri untuk solat Zohor, namun masih ramai yang dilihat tidak menyahut seruan
azan yang baru sahaja dilaungkan. Tidakkah mereka tahu bahawa solat berjemaah itu pahalanya 27 kali ganda berbanding solat bersendirian? Mungkin mereka bercadang untuk
menangguhkan solat di rumah bersama-sama dengan isteri dan anak-anak atau
pakaian mereka tidak sesuai untuk solat.
Oleh sebab kesesakan di tempat wuduk,
saya terlewat dan imam telah masuk ke rakaat yang kedua. Ketika masuk ke
masjid, penulis melihat satu kumpulan kecil sedang bersedia untuk
memulakan solat jemaah secara berasingan dari jemaah utama. Penulis berhenti sekejap dan mencuit
salah seorang daripada kalangan mereka dan bertanya: “Kenapa tidak solat bersama jemaah masjid? Salah seorang daripada mereka menjawab: “Kami musafir, jadi kami hendak
buat solat jamak qasar”.
Penulis dimaklumkan bahawa mereka semua adalah rombongan pengantin lelaki dari Pantai Timur. Mereka memang diharuskan bahkan digalakkan mengambil kelonggaran (rukhsah) untuk solat secara qasar dan jamak. Sememangnya menjadi syarat solat qasar tidak boleh berimamkan dengan orang tempatan yang sembahyang sempurna dengan empat rakaat, tetapi jika ia hanya solat jamak dibolehkan untuk mengikut imam tempatan.
Kebiasaannya berlaku sedikit kekeliruan di kalangan umat Islam di Malaysia dalam hal solat jamak dan qasar. Kita masih dapat melihat ramai lagi yang tidak dapat memahami dengan jelas tentang selok belok solat jamak dan qasar ini, lebih-lebih lagi jika ia bertembung dengan solat berjemaah tempatan yang lebih besar. Banyak kali kita melihat ada jemaah kecil di masjid-masjid atau surau yang sentiasa menjadi tempat persinggahan. Mereka ingin mengambil peluang pahala melaksanakan rukhsah melakukan solat jamak dan qasar tetapi terlepas pahala berjemaah yang lebih besar.
Allah Taala Maha Pemurah dan Penyayang, begitu juga Islam adalah agama yang memberi kemudahan yang luas kepada umatnya. Jika seseorang bermusafir atau berjalan jauh melebihi dua marhalah atau 90 km sebagaimana yang disepakati di Malaysia ini, seseorang itu diberi kelonggaran untuk memendekkan solat 4 rakaat kepada 2 rakaat sahaja. Solat yang boleh dipendekkan atau diringkaskan ialah solat Zohor, Asar dan Isyak sahaja manakala solat Subuh dan Maghrib dikekalkan dua dan tiga rakaat.
Begitu juga umat Islam dibenarkan untuk menghimpunkan (jamak) solat iaitu menghimpunkan dua waktu solat dalam satu waktu. Waktu yang boleh dihimpunkan ialah solat Zohor dan Asar sama ada dilakukan dalam waktu Zohor atau Asar dan solat Maghrib dan Isyak sama ada dilakukan dalam waktu Maghrib atau Isyak. Jika ia dilakukan pada waktu pertama, dinamakan solat Jamak Taqdim dan jika dilakukan pada waktu yang kedua, dinamakan solat Jamak Ta’khir.
Kedua-dua solat jamak dan qasar ini tidak semestinya dilakukan secara bersama iaitu jamak dan juga qasar serentak. Seseorang itu boleh saja memendekkan (qasar) solat sahaja dan melakukan pada setiap waktu solat apabila tiba masanya tanpa menghimpunkannya dengan solat lain. Begitu juga seseorang itu dibenarkan untuk menghimpunkan (jamak) solat tanpa memendekkan (qasar) solat. Sudah menjadi amalan masyarakat kita ialah menggabungkan keduanya iaitu solat jamak qasar secara serentak. Jarang sekali kita jumpa mereka yang hanya memendekkan (qasar) solat sahaja atau yang menghimpunkan (jamak) solat sahaja tanpa memendekkannya (qasar). Sebenarnya, menggabungkan keduanya adalah merupakan amalan yang afdhal jika kita melakukannya secara bersendirian atau berjamaah bersama-sama musafir lain.
Tetapi keadaan ini berubah jika kita ingin melakukan solat di masjid atau surau yang mana jemaah solat yang lebih besar sedang berlangsung. Walaupun kita sedang bermusafir dan kita telah diberi kelonggaran untuk jamak dan qasar, kita perlu menimbang dan memilih jalan yang terbaik untuk melaksanakan ibadat.
Apa yang terbaik ialah seseorang itu perlu mengikut solat jemaah yang sedang berlangsung dengan solat secara sempurna tanpa memendekkan (qasar) solat tersebut. Selepas memberi salam, barulah bangun kembali untuk solat fardhu yang ingin digabungkan tersebut sama ada ia ingin melakukan secara sempurna atau qasar. Cara ini adalah lebih baik kerana seseorang itu akan mendapat pahala berjemaah yang besar bilangannya dan pada masa yang sama dapat pahala ganjaran mengamalkan rukhsah menghimpunkan (jamak) solat yang telah diberi kelonggaran oleh Allah.
Hal ini telah diperjelaskan oleh Rasulullah (s.a.w) di dalam hadisnya sebagaimana telah diceritakan oleh Ubay bin Ka’ab yang mengatakan bahawa Rasulullah (s.a.w) telah bersabda : “Solat seorang lelaki bersama lelaki lain lebih sempurna daripada solat secara bersendirian. Manakala solatnya dengan dua orang lelaki lain lebih sempurna daripada solatnya bersama seorang lelaki sahaja. Semakin ramai bilangan ahli jemaah, ianya lebih disukai oleh Allah Taala” (Hadis Riwayat Abu Daud, Nasa’ie dan Ibn Majah).
Hadis ini menerangkan kelebihan solat berjemaah dengan bilangan yang lebih ramai. Semakin ramai bilangan ahli jemaah, semakin besar pahalanya di samping kelebihan 27 pahala asas solat berjamaah. Kita perlu bijak dan prihatin dalam soal ini.
Agar lebih mudah untuk difahami, mari kita lihat contoh beberapa situasi berikut:
Situasi pertama: Johan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuala Lipis. Johan memandu kereta bersama dua orang rakan sekampungnya. Mereka berhenti untuk solat di Masjid Bandar Raub. Mereka semua telah merancang untuk solat Jamak Ta’khir iaitu solat Maghrib dalam waktu Isyak. Ketika mereka di Masjid Raub, bilal baru sahaja selesai azan Isyak. Johan dan kawan-kawannya mengambil keputusan untuk solat Isyak secara sempurna bersama jemaah masjid. Sejurus sahaja selesai solat Isyak, Johan dan dua rakannya ke bahagian belakang untuk solat Maghrib diimamkan oleh Johan.
Situasi kedua: Encik Syakir dan anaknya singgah di Masjid Gua Musang ketika kembali ke Kuala Lumpur selepas seminggu bercuti di Kota Bharu. Encik Syakir dan anaknya tidak suka melewat-lewatkan solat dan sentiasa menunaikan solat Jamak Taqdim ketika musafir. Hari ini Encik Syakir dan anaknya solat Zohor secara berjamaah dengan jemaah masjid. Usai solat Zohor, Encik Syakir dan anaknya ke bahagian belakang untuk solat Asar dua rakaat secara qasar.
Contoh dua situasi di atas adalah yang afdhal dan terbaik menjadi tuntutan kita umat Islam. Kita perlu bijak melihat situasi yang lebih menguntungkan dari segi fadhilat dan pahala. Amat tidak baik jika terdapat beberapa jemaah kecil sedang solat walhal pada masa yang sama solat jemaah yang lebih besar sedang berlangsung.
Semoga solat kita diterima oleh Allah dan
mampu menguatkan lagi hubungan kita dengan Allah Taala.