Sunday, September 13, 2020

SYOK SOLAT: SOLAT JENAZAH SEBAGAI BAKTI TERAKHIR UNTUK YANG TERSAYANG

 Oleh Dr Abdullah bin Hamzah

Beberapa tahun lepas, ketika saya mengunjungi Bandar raya Jakarta, saya mengambil kesempatan untuk menziarahi rakan bapa sahabat musafir saya di Kampung Makkasar. Beliau adalah seorang kiai atau seorang ustaz yang berpengaruh di kampungnya. Sayang sekali kami tidak berkesempatan bertemu mata dengannya kerana dia telah pulang ke rahmatullah pada tahun lepas. Tetapi apa yang menarik ialah keluarganya berkongsi kenangan dengan kami melalui sebuah foto album. Album tersebut mengabadikan detik-detik pengurusan jenazah kiai Haji Zamri dari saat mula meninggal sehinggalah berakhirnya pengebumian. Setiap aktiviti memandikan jenazah, mengkafankan, solat, para tetamu dan pengebumian, semuanya dirakam dengan rapi dan berkualiti. Alasan ibu Riffni, isteri Haji Zamri merakamkan memori tersebut sebagai kenangan dan ingatan untuk keluarga serta sahabat-sahabat handai Haji Zamri dan keluarganya.

Apa yang menarik untuk dikongsi di sini ialah beberapa gambar yang menunjukkan anak bongsu Haji Zamri yang mengimamkan solat jenazah walaupun terdapat ramai kiai yang menjadi makmum di belakangnya. Begitu juga kaum ibu yang sama-sama solat jenazah sebagai bakti terakhir untuk mendoakan kesejahteraan Allahyarham. Mengikut Isteri Allahyarham Kiai Zamri, Kawan-kawan Allahyarham yang datang telah memberitahu bahawa adalah lebih  baik jika diimamkan oleh ahli keluarga terdekat iaitu anaknya sendiri walaupun terdapat orang lain yang lebih tua dan alim. Begitu juga, kaum wanita daripada keluarga terdekat juga amat dituntut untuk melakukan solat jenazah ini. 

Jika kita perhatikan di tempat kita di Malaysia ini, keadaan ini masih lagi tidak menjadi amalan masyarakat kita. Amat jarang kita melihat solat jenazah diimamkan oleh anak sendiri. Malah jika diberi peluang pun mereka akan menolak dengan dengan pelbagai alasan. Imam sendiri pun tidak menerangkan tentang kelebihan mengimamkan solat jenazah bagi ahli keluarga terdekat dan kadangkala ia dilihat seolah rumit dan banyak perkara dan syarat yang perlu dilakukan.

Begitu juga kaum muslimat jarang diberi peluang untuk solat jenazah bersama-sama walaupun untuk ahli keluarga sendiri. Sehinggakan saya pernah terdengar kata-kata seorang ibu yang mengatakan perkara yang paling seronok ketika menunaikan ibadah umrah  ialah kerana berpeluang untuk melakukan solat jenazah kerana katanya di Malaysia dia langsung tidak mendapat peluang itu. Seringkali juga kita melihat ketika solat jenazah dilakukan, ramai yang hanya sekadar menjadi pemerhati sedangkan ganjaran bagi mereka yang solat jenazah amat besar ganjaran pahalanya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang menziarahi jenazah dan solat untuknya ia akan mendapat satu ‘qiirat’. Sesiapa yang solat dan menunggu sehingga ianya dikebumikan dia akan mendapat dua ‘qiirat’. Rasulullah s.a.w ditanya apa yang dimaksudkan dengan dua ‘qiirat’ itu. Rasulullah s.a.w menjawab: Umpama dua bukit yang besar” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menunjukkan betapa besarnya pahala mereka yang mendirikan solat jenazah dan juga sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga dikebumikan. Tetapi masih lagi ramai yang tidak mengambil peluang ini. 

Sebenarnya solat jenazah itu adalah sangat mudah. Ianya telah disyariatkan kepada umat Islam tidak mengira lelaki atau perempuan. Ianya tidak rumit kerana ia terdiri daripada 7 rukun iaitu : 1. Berdiri betul bagi mereka yang mampu. 2. Niat (hanya dengan Bahasa Melayu) 3. Takbir empat kali termasuk takbiratul ihram. 4. Membaca surah al-Fatihah selepas takbir pertama. 5. Membaca selawat kepada nabi selepas takbir ketiga (sekurang-kurangnya Allahumma salli ala Muhammad). 6. Membaca doa selepas takbir ketiga. Sekurang-kurangnya Allahummaghfir lahu war hamhu wa ‘aafihi wa’fu anhu (bagi jenazah lelaki). Allahummaghfir laha war hamha wa ‘aafiha wa’fu anha. (bagi jenazah perempuan). 7. Memberi salam selepas takbir keempat.

Pelaksanaan solat jenazah yang paling mudah boleh digambarkan sebagaimana berikut:

1. Berdiri tegak di hadapan jenazah. Jika jenazah lelaki, imam berada di bahagian kepala dan jika jenazah perempuan imam berada di pinggangnya.

2. Niat. Jenazah lelaki atau jenazah perempuan 4 takbir memadai dengan Bahasa Melayu dan tak semestinya dituturkan dengan lisan.

3. Takbir pertama

4. Membaca surah al-Fatihah.

5. Takbir kedua

6.Membaca selawat kepada Nabi. Paling ringkas dengan menyebut ‘Allahumma salli ala Muhammad’. dan boleh dibaca selawat penuh sebagaimana bacaan selawat semasa tahiyyat akhir solat.

7. Takbir ketiga.

8. Membaca doa untuk jenazah sekurang-kurangnya Allahummaghfir lahu war hamhu wa aafihi wa’fu anhu (bagi jenazah lelaki). Allahummaghfir laha war hamha wa aafiha wa’fu anha. (bagi jenazah perempuan).

9. Takbir keempat.

10. Memberi salam

 

Sebenarnya solat jenazah ini amat mudah dan senang. Cuma yang menjadi susah ialah perkara sunat lain yang dilakukan selepas solat seperti berdoa dengan doa yang panjang dan dibaca dalam Bahasa Arab. Hal ini yang menyebabkan tidak ramai yang sanggup untuk menjadi imam solat jenazah walaupun anak kepada arwah itu sendiri. Lalu diberi tanggungjawab kepada imam atau  orang lain untuk mengimamkan solat.

Bagi sesiapa yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk memimpin solat jenazah, mereka berperanan untuk mendidik dan membimbing masyarakat untuk menghayati konsep solat jenazah ini. Antara cadangan terbaik yang boleh dilakukan ialah:

Menjemput semua yang hadir untuk solat jenazah bersama-sama dengan menggunakan kata-kata yang baik sambil membaca hadis-hadis yang menerangkan kelebihan solat jenazah seterusnya menggalakkan semua lelaki yang hadir merebut peluang ini. Tidak salah untuk tunggu sekejap memberi ruang kepada mereka untuk bersedia mengambil wudhuk. Apabila melihat semua bersedia barulah solat dimulakan. Apa yang sering berlaku ialah imam langsung tidak prihatin samada jemaah sudah bersedia atau tidak, dengan langsung memulakan solat jenazah menyebabkan ramai yang tidak sempat bersedia untuk solat bersama-sama.

Memberi ruang kepada kaum perempuan untuk sama-sama menunaikan solat jenazah dengan memaklumkan lebih awal untuk mereka bersedia dengan wudhuk dan pakaian yang sesuai. Menunggu mereka bersedia di dalam saf yang tersusun dan tidak salah meminta salah seorang di kalangan wanita menyusun dan memperbetulkan saf untuk solat.

Memberi taklimat dan bimbingan yang terang dan jelas tentang pelaksanaan solat jenazah kepada hadirin adalah perlu.  Ini kerana kita khuatir jika ada di kalangan mereka yang tidak biasa atau kali pertama melakukan solat jenazah.

Penerangan bermula dari langkah pertama, niat, takbir dan bacaan di antara takbir tersebut perlu diterangkan dengan teratur dan jelas terutama selawat yang paling ringkas. Doa adalah bahagian yang susah bagi mereka yang kurang berpengalaman melakukan solat jenazah. Imam dituntut menerangkan doa jenazah yang ringkas kepada hadirin samada doa untuk jenazah lelaki atau jenazah perempuan. Tidak salah untuk mengulanginya beberapa kali agar dapat diingati oleh mereka yang baru kali pertama melakukan solat jenazah.

Apa yang penting ialah memberi peluang kepada waris lelaki paling dekat dengan jenazah untuk mengimamkan solat jenazah. Jika yang meninggal itu seorang ayah, adalah lebih baik diberi peluang kepada anaknya untuk mengimamkan solat. Berilah bimbingan dan tunjuk ajar kepadanya untuk memberi keyakinan bagi mengetuai solat jenazah.

Jika dia tidak biasa dengan solat jenazah, cukuplah dengan asas solat jenazah seperti membaca surah al Fatihah, selawat dan doa ringkas sahaja. Manakala doa selepas solat jenazah yang biasanya dibaca dalam Bahasa Arab boleh diambil alih oleh imam. Jika diterangkan dengan baik dan bimbingan yang sempurna, insyaAllah mereka tidak akan menolak peluang ini.

Anak menjadi Imam

Ini adalah di antara amalan pengurusan solat jenazah yang perlu kita terapkan dalam masyarakat kita. Tidak ramai anak-anak atau orang awam yang sanggup mengimamkan solat jenazah ibubapa mereka hanya kerana isu remeh seperti tidak berkemampuan membaca doa yang panjang. Jadi, golongan yang berilmu, termasuk para imam dan ustaz perlu memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang bersifat praktikal kepada masyarakat.

Kita tidak perlu menuding jari kepada masyarakat umum yang tidak berani ke hadapan untuk mengimamkan solat jenazah ahli keluarga. Ini kerana amalan masyarakat kita sebenarnya kurang memberi peluang kepada ahli keluarga terdekat. Di samping terdapatnya amalan-amalan tambahan yang menjadikan ramai di kalangan kita terlepas amalan-amalan yang lebih afdhal.

Jika ahli keluarga terdekat anda pulang ke rahmatullah, bersedialah untuk menguruskan jenazah termasuk mengimamkan solat jenazah. Itulah yang lebih baik kerana doa anda lebih ikhlas mengharapkan pengampunan dan rahmat daripada Allah. Jika anda sebagai imam dan ustaz, bimbinglah keluarga si mati untuk menguruskan jenazah dan mengimamkan solat. Berilah peluang untuk kaum wanita menunaikan solat dan berdoa bersama-sama. Diharapkan solat dan doa keluarga terdekat ini lebih ikhlas dan diterima oleh Allah Taala. Semoga dengan cara ini mereka akan lebih menghayati peranan sebagai hamba Allah.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri 16




No comments: