Wednesday, August 19, 2020

SYOK SOLAT : DUA RAKAAT SUNAT YANG AMAT BERNILAI

 Oleh : Dr Abdullah bin Hamzah

Satu ketika dulu, penulis telah menghadiri satu kursus di Pulau Langkawi. Kursus ini  menitikberatkan disiplin dan ketepatan masa para peserta di samping menerapkan sikap profesionalisme. Peserta juga diwajibkan untuk solat berjemaah di surau setiap waktu solat. Apa yang menjadi persoalan ialah para peserta tidak diberi peluang untuk solat sunat Subuh sepanjang kursus. Sejurus selepas azan Subuh, peserta yang bertugas sebagai bilal diperintahkan untuk terus iqamah tanpa memberi peluang kepada peserta untuk solat sunat qabliyyah Subuh. 

Situasi ini menjadi persoalan rakan-rakan peserta kerana alasan yang diberikan penganjur ialah untuk menjimatkan masa. Namun selepas solat Subuh tetap diadakan wirid  dan tazkirah tidak kurang panjangnya. Ramai rakan peserta yang telah menjadikan solat sunat Subuh ini sebagai istiqamah merasa terkilan dan kerugian yang besar kerana amalan yang bermanfaat ini dipandang remeh.

Mari kita melihat kedudukan solat sunat Subuh mengikut apa yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Mengikut apa yang diceritakan oleh Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.AW tidak mengabaikan empat rakaat sunat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum Subuh. (Hadis riwayat Bukhari). Dalam hadis yang lain, Aisyah R.A juga menceritakan bahawa tiada amalan solat sunat yang Rasulullah S.A.W amat titikberatkan melainkan solat sunat dua rakaat sebelum Subuh (Hadis Muttafaqun alaih). Aisyah R.A juga menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Dua rakaat sebelum fajar lebih bernilai dari dunia dan seluruh isinya” (Hadis Riwayat Muslim). 

Berdasarkan tiga hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A itu tadi menggambarkan betapa penting dan besarnya nilai solat sunat sebelum Subuh sehingga Rasulullah S.A.W tidak mengabaikannya. Pahala ganjaran sesiapa yang dapat menunaikan solat sunat sebelum Subuh adalah lebih bernilai dari bumi ini dan segala  yang ada di dalamnya.  Tetapi malangnya berapa ramai di kalangan kita umat Islam mengambil berat tentang hal ini. Ramai yang masih melihat bahawa harta dunia lebih bernilai dan perlu dikumpulkan sebanyak mungkin sehingga ibadat solat sunat ini terlepas begitu sahaja.

Melihat kepada besarnya ganjaran solat sunat Subuh ini sehinggakan ianya dibolehkan qadak atau ganti bagi sesiapa yang terlepas peluang untuk solat  pada waktunya. Oleh kerana tempoh solat sunat ini adalah amat pendek iaitu di antara selepas azan Subuh sehingga didirikan solat Subuh. Lebih tepat lagi ialah solat sunat ini boleh dilakukan sejurus masuk waktu solat Subuh sehingga solat solat Subuh didirikan. Jika solat Subuh telah didirikan, luputlah peluang solat sunat Subuh.

Bagi golongan wanita yang solat Subuh di rumah tidak menjadi masalah kerana mereka tidak perlu tergesa-gesa dan mempunyai ruang yang luas untuk solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh. Tetapi bagi mereka yang solat di masjid mempunyai masa yang amat terhad iaitu tempoh selepas azan sehingga solat Subuh didirikan.  Ini bergantung kepada polisi masjid dan kesepakatan para jamaah. Sesetengah masjid menetapkan 10 hingga 15 minit sebelum iqamah. Namun ini tidak bermakna solat di rumah itu lebih baik kerana kelapangan masa untuk solat sunat. Solat Subuh berjemaah di masjid adalah amat besar ganjaran pahalanya berbanding dengan solat bersendirian di rumah.

Berbalik kepada pelaksanaan solat sunat sebelum Subuh ini, mari kita lihat bagaimana Rasulullah S.A.W melaksanakannya. Diceritakan oleh Hafsah bahawa Rasulullah S.A.W apabila telah masuk waktu Subuh dan azan dikumandangkan, baginda solat dua rakaat yang ringkas. (Muttafaqun alaih). Terdapat para sahabat memerhatikan solat Rasulullah S.A.W sebagaimana  Ibnu Umar menyebut : Sebulan aku telah memerhati Rasulullah membaca dalam dua rakaat solat sunat Subuh dengan Qul ya ayyuhal kafirun (surah al-Kafirun) dan Qul huwallahu ahad (al- Ikhlas). (Hadis riwayat al-Tirmizi). 

Kita telah meneliti bagaimana Rasulullah S.A.W amat mengambil berat tentang solat sunat sebelum Subuh ini dan menunaikannya dengan keadaan yang amat ringkas sekadar membaca surah al-Fatihah dan surah al Kafirun dan al–Ikhlas. Oleh kerana ganjaran yang disediakan oleh Allah amat besar adalah amat rugi sesiapa yang terlepas solat sunat ini. 

Bagi sesiapa yang terlepas solat sunat ini boleh mengqadhaknya selepas solat fardu Subuh tetapi pahalanya tidaklah sama dengan mereka yang menunaikannya sebelum solat. Terdapat dua cara untuk mengqadak solat sunat Subuh ini. Pertama dilakukan sejurus selepas solat Subuh walaupun waktu ini waktu haram solat tetapi dibolehkan untuk solat qadhak kerana ia adalah solat yang bersebab. Keadaan  ini berdasarkan hadis Qais bin Fahd yang telah menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bertanya kepadanya tentang solat dua rakaat yang dilakukannya selepas solat Subuh. Apabila diberitahu bahawa beliau   mengqadak solat sunat Subuh Rasulullah diam dan tidak berkata apa-apa dan ini menunjukkan bahawa perbuatan menggantikan solat sunat Subuh selepas solat dibolehkan.

Namun terdapat cara yang kedua yang lebih baik iaitu mengqadakkan solat sunat ini selepas matahari naik kerana mengelakkan waktu yang haram. Cara ini disokong oleh hadis  yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyebut bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang tidak solat sunat Subuh hendaklah ia mengqadaknya selepas naik matahari” (Hadis Riwayat al-Tirmizi). Diceritakan juga  bahawa Ibnu Umar mengqadakkan solat sunat Subuh yang  terlepas pada waktu dhuha. 

Sebagai orang yang beriman, kita semua hendaklah mengambil kesempatan dan peluang keemasan menunaikan solat sunat ini sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.  Sebagai panduan, adalah amat baik jika dapat lakukan sebagaimana berikut:

1. Bersedia lebih awal ke masjid sebelum azan Subuh berkumandang dalam keadaan berwudhuk yang sempurna.

2. Selepas azan dilaungkan, lakukan solat sunat Subuh dengan ringkas dengan membaca surah al-Fatihah, surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas.

3. Jika  terlewat sampai ke masjid dan peluang solat sunat sudah tiada, tidak perlu solat sunat lagi kerana kemungkinan besar boleh mengganggu bilal untuk iqamah semata-mata ingin menghormati kita.

4. Solat sunat Subuh ini boleh diqadhakkan atau boleh dilakukan selepas naik matahari atau pada waktu dhuha nanti kerana jika ia diqadhak segera selepas solat Subuh akan menimbulkan tanda tanya kepada orang lain dan mungkin memandang serong kepada kita dengan tanggapan kita melanggar batasan waktu haram solat.

Marilah kita sama-sama berusaha merancang masa dan kehidupan kita agar dapat meraih semua kelebihan yang telah disediakan oleh Allah. Rebutlah ganjaran pahala solat sunat Subuh ini secara konsisten setiap hari sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W begitu juga dengan solat Subuh berjemaah di masjid. Ini adalah merupakan  bukti keimanan dan keyakinan kita kepada Allah Taala yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Jangan sia-siakan peluang meraih ganjaran yang lebih besar nilainya dari bumi dan seluruh isinya setiap hari. Insya Allah kita akan bahagia di akhirat nanti.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri ke 15



2 comments:

lifa said...

👍👍

Unknown said...

Alhamdulillah,ilmu yg bermanfaat