Oleh: Dr Abdullah bin Hamzah
Surah al A’raf Ayat 13- 22 (muka surat 152) Tadarus selama 15 minit
AYAT PERBINCANGAN (Ayat 16-17 Surah al A'raf) Setengah
jam.
قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ ١٧
Mafhumnya: Iblis
berkata: "Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka)
demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani)
jalanMu yang lurus(16) "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka
serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan
Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" (17). Surah al A’raaf.
PENGAJARAN
1. Allah mengimbas kembali peristiwa keengganan iblis untuk sujud hormat pada nabi Adam. Alasan yang digunakan oleh Iblis ialah bahawa kejadiannya lebih mulia dari daripada kejadian nabi Adam yang diciptakan dari tanah. Lantaran sikap iblis yang sombong dan derhaka kepada perintah Allah, Iblis telah dilaknat dan dihalau dari syurga yang hanya sesuai untuk makhluk Allah taat sahaja.
2. Sebelum dihalau dari syurga, Iblis membuat permohonan
kepada Allah agar dipanjangkan umur mereka. Permintaan iblis ini dikabulkan
oleh Allah dan Iblis dan keturunannya tidak akan mati sehingga hari kiamat.
Selepas mendapat tahu bahawa Allah telah memperkenankan permintaannya, iblis
berikrar dan berjanji di hadapan Allah untuk menyesatkan manusia.
3. Iblis menggunakan lafaz ‘aghwaytani’ yang bermaksud ‘kamu (Allah) telah membuat aku sesat dan ingkar perintah’ menunjukkan sikap iblis yang ingin meletakkan kesalahan ingkar dan derhakanya itu kepada Allah. Iblis menganggap Allah telah menetapkan bahawa dia makhluk yang ingkar. Iblis ialah makhluk Allah daripada kalangan jin yang dicipta dan diberi kebebasan untuk memilih apa yang dikehendaki. Iblis boleh memilih untuk taat atau ingkar perintah Allah. Berbeza dengan kejadian malaikat yang diciptakan sebagai makhluk yang tidak diberi pilihan oleh Allah. Malaikat diciptakan hanya untuk taat pada perintah Allah. Lantaran itu malaikat bukanlah makhluk yang diberi ganjaran pahala atau balasan dosa. Jin dan manusia ialah makhluk Allah yang bersifat ‘mukallaf’ mempunyai tanggungjawab dan juga ‘mukhayyar’ yang diberi peluang untuk memilih sendiri keputusan yang diingini sama ada ingin taat atau ingkar perintah Allah.
4. Sikap dendam dan sakit hati Iblis terhadap manusia
menyebabkan ia tekad berazam untuk menyesatkan manusia dari kehidupan sebenar
manusia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Lafaz ‘la aq’udanna’ memberi
makna menghalang. Iblis akan sedaya upaya akan menghalang manusia dari mentaati perintah Allah. Di sini dapat difahami bahawa Iblis akan memilih mereka yang
taat kepada Allah untuk dihalang dan dihasut, berbanding mereka yang sudah sedia
sesat. Sebagai contoh mudah, jika seseorang itu ragu dan was-was ketika solat
bermakna solat itu dah sempurna kerana syaitan hanya akan menghasut perkara
yang sudah sempurna. Iblis dan syaitan
tidak perlu lagi menghasut orang yang kafir agar melakukan maksiat kerana itu
kerja sia-sia. Kalau kita perhatikan, histeria dan gangguan syaitan banyak
berlaku pada orang Islam berbanding peganut agama lain.
5. Iblis dan syaitan akan berusaha sedaya upaya untuk
menyesatkan manusia agar ingkar perintah Allah. Mereka akan datang menghasut manusia
dari hadapan, belakang, kiri dan kanan. Syeikh al-Sya’rawi menyebut bahawa apa
dimaksudkan hasutan dari hadapan ialah syaitan berusaha untuk meragukan manusia
dalam aspek aqidah termasuk melibatkan keesaan dan kekuasaan Allah, hari
akhirat dan sebagainya. Apabila aqidah dan rukun iman terjejas sudah pasti akan
memberi kesan kepada tingkah laku manusia seharian.
6. Syaitan juga akan mencuba menghasut dari belakang iaitu
dengan merasa sayang terhadap apa yang akan ditinggalkan. Ia termasuk keluarga,
anak pinak dan juga harta dunia. Manusia akan dihasut untuk hidup mementingkan
keluarga dan harta kekayaan sehinggakan lupa persediaan untuk hari akhirat.
Malah lepih parah lagi sanggup melanggar perintah Allah demi keselesaan anak isteri
dan keseronokan hidup. Dari sinilah punca pecah amanah, rasuah, dan segala
macam lagi penyakit masyarakat yang sememangnya menjadi larangan keras dalam
agama.
7.Hasutan juga akan dilakukan dari kanan manusia. Lafaz ‘an
aimaanihim’ digunakan dan bukannya ‘ala aimaanihim’ memberi makna yang tersirat
yang amat tinggi. Ia tidak lagi membawa hakiki iaitu sebelah kanan manusia
begitu juga ‘an’ membawa makna bahawa syaitan tidak mempunyai kuasa penuh
terhadap manusia. Syaitan hanya mampu menggoda dan manusia masih boleh berfikir
dan membuat keputusan untuk menolaknya. Hasutan dari kanan ini bermaksud syaitan
akan berusaha menghalang manusia agar tidak melakukan ketaatan dan apa juga
perkara baik atau kebajikan yang boleh mendatangkan pahala. Usaha syaitan agar
manusia tidak melakukan amal kebaikan, jika ia tidak mampu menghalang
syaitan akan berusaha untuk kurangkan pahala dan jika kebaikan sudah dilakukan
akan dihasut lagi agar rosaknya pahala tersebut.
8.Manakala maksud hasutan dari kiri pula ialah syaitan akan
berusaha agar manusia melakukan kemungkaran dan maksiat pada Allah. Syaitan
akan berusaha agar manusia kufur pada Allah, jika tidak mampu, akan dihasut
agar melakukan dosa besar, jika tidak mampu lagi akan dihasut agar melakukan
dosa kecil. Begitu lah kerja iblis dan syaitan melaksanakan kerja tanpa jemu
dan letih demi dendam kesumatnya pada manusia.
9. Allah telah memperincikan tentang hasutan iblis dan
syaitan berusaha untuk menyesatkan manusia. Jadi manusia perlulah berhati-hati
agar tidak lagi terperangkap dengan hasutan Iblis.
PERBINCANGAN
1. Bincangkan bagaimana cara mengenal pasti hasutan iblis
dan cara menghindarinya.
No comments:
Post a Comment