Sunday, September 27, 2020

SUBURI JIWA: Pakaian dan makanan terbaik di sisi Allah

Surah al A’raf Ayat 31- 37 (muka surat 154) Tadarus selama 15 minit

AYAT PERBINCANGAN (Ayat 31 dan 32  Surah al A’raaf) Setengah jam.


۞يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمۡ عِندَ كُلِّ مَسۡجِدٖ وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ ٣١ قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِيٓ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِۚ قُلۡ هِيَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا خَالِصَةٗ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ ٣٢

Mafhumnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (31).  Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.(32) Surah al A’raaf.

 

PENGAJARAN

1. Imam al- Qurtubiy menyebut bahawa Allah menggunakan ungkapan wahai anak Adam dalam ayat ini adalah untuk menegaskan kepada semua manusia di atas muka bumi ini agar menutup aurat ketika tawaf. Walaupun pada asalnya,konteks ayat ini adalah untuk melarang masyarakat Arab yang tawaf di Masjidil Haram dalam keadaan telanjang. Lelaki melakukan tawaf pada waktu siang manakala perempuan pula pada waktu malam. Alasan mereka ialah  ibadat tawaf tidak patut dilakukan  dengan pakaian yang mereka telah gunakan untuk melakukan maksiat pada Allah.



2.  Allah memerintahkan orang Islam agar menutup aurat ketika hadir ke masjid. Umat Islam juga dianjurkan memakai pakaian yang terbaik dan yang paling cantik ketika menghadap Allah Taala. Lafaz ‘al-Ziinah’ di sini bermaksud menutup aurat dan ia juga bermaksud lebih dari itu iaitu pakaian yang cantik, bersih dan senang dipandang. Masjid ialah tempat awam di mana semua lapisan masyarakat berkumpul bersama-sama bermunajat kepada Allah. Dalam kehidupan seharian pun, manusia mempunyai yang mempunyai pakaian khas menggambarkan berdasarkan keperluan dan identiti pekerjaan. Begitu juga dengan pakaian ke masjid. Dalam adab ke masjid tidak ditetapkan jenis dan fesyen pakaian yang sesuai memadailah pakaian yang menutup aurat dan pakaian yang sopan. Walaupun begitu pakaian tersebut perlu dipastikan bersih dan tidak mempunyai bau busuk yang boleh mengganggu jemaah yang lain. Oleh itu adalah lebih baik jika ada pakaian yang khusus untuk ke masjid yang disenangi oleh para jemaah lain.


3. Di sini Allah ingin mendidik umat Islam agar prihatin dengan orang lain dengan memberi keselesaan kepada orang sekeliling dan mengelakkan agar tidak mengganggu dan menjejaskan keselesaan dan ketenangan hati mereka. Ini adalah untuk memberi keselesaan dan ketenangan ketika beribadah pada Allah Taala.


4. Allah memerintahkan orang beriman agar makan dan minum apa yang telah dihalalkan oleh Allah dan tidak melampaui batas dengan makan dan minum apa yang telah ditegah oleh Allah. Perkara yang halal adalah lebih banyak berbanding dengan perkara yang ditegah termasuklah pakaian, makanan dan minuman. Sebagai contoh semua minuman adalah halal melainkan arak dan minuman yang mengandungi alkohol sahaja. Oleh itu Allah amat murka pada mereka yang melakukan ‘israff’ iaitu melampaui batas dengan memilih untuk pakai, makan dan minum apa yang ditegah sedangkan amat banyak apa yang dihalalkan oleh Allah.


5. Usman bin Maz’uun pernah menyebut pada Rasulullah tentang keinginannya untuk mengasi dirinya agar tiada lagi nafsu terhadap wanita. Namun Rasulullah melarangnya berbuat demikian dan menyebut bahawa Islam menganjurkan puasa sebagai kaedah untuk  mengawal nafsu lelaki. Beberapa orang sahabat Rasulullah telah berbincang tentang hasrat mereka untuk tidak tidur sepanjang malam semata-mata beribadat. Mereka  juga berhasrat untuk tidak kahwin  dan berpuasa setiap hari demi meluangkan masa mengabdikan diri kepada Allah. Hasrat tersebut telah dilarang oleh Rasulullah dengan sabdanya : “Aku adalah orang yang paling bertakwa berbanding dengan kamu tetapi aku berpuasa dan juga berbuka, aku juga tidur setiap malam dan aku juga mengahwini wanita-wanita. Sesiapa yang tidak suka kepada cara hidup aku maka dia bukan daripada kalanganku”.


6. Allah juga menegaskan bahawa sesiapa yang mengharamkan perhiasan, makanan dan minuman yang telah  dihalalkan oleh Allah tiada bukti yang kukuh. Sedangkan semua perkara yang halal tersebut ialah perkara ‘tayyibbat’ iaitu perkara yang baik. Allah maha mengetahui perkara yang baik dan tidak baik. Manusia tidak boleh memandai-mandai dalam perkara halal dan haram. Perkara yang halal ini, ada yang sesuai untuk lelaki dan ada yang sesuai untuk perempuan dan semunya itu  ialah nikmat Allah kepada manusia.


7.  Rezeki dan nikmat yang Allah bagi ini sama ada yang halal atau haram adalah dari Allah. Namun sebagai muslim perlu memilih dan mencari yang halal dan mengelakkan dari rezeki yang haram. Rezeki di dunia adalah sama antara orang beriman dan tidak beriman. Kadang-kadang rezeki orang kafir lebih banyak dari orang beriman. Tetapi rezeki yang Allah sifatkan sebagai ‘khaalisah’ hanya di akhirat yang hanya dikhaskan untuk orang beriman sahaja.


8.  Allah telah menjelaskan perbezaan antara rezeki orang beriman dan mereka yang tidak beriman. Orang beriman beruntung kerana mendapat rezeki di dunia dan akhirat. Malah rezeki di akhirat adalah lebih bermakna dan bernilai tiada batasnya berbanding rezeki di dunia. Hanya mereka yang mengetahui dan memahami sahaja yang akan menghargai betapa beruntungnya menjadi orang yang beriman pada Allah.


PERBINCANGAN

1.  Bincangkan tentang budaya pakaian ke masjid dalam kalangan umat Islam dan juga persoalan makanan dan minuman halal dalam masyarakat kita.

Thursday, September 24, 2020

SYOK SOLAT : TENANGLAH.. PAHALA SOLAT BERJEMAAH MASIH ADA

Oleh : Dr Abdullah bin Hamzah

Selalu juga kita melihat, ramai orang berlari-lari masuk ke masjid jika mereka terlewat. Lebih-lebih lagi jika mereka mendengar imam hampir menghabiskan bacaan dan hampir rukuk. Kadang-kadang keadaan ini menjadi lebih teruk jika mereka datang dengan menaiki kereta. Lantaran kerana hendak mengejar solat berjamaah dan tidak mahu terlepas rakaat, mereka akan memakir kenderaan di tempat yang paling hampir dengan masjid. Sehinggakan ada yang memakirkan kenderaannya betul-betul di tangga masjid tanpa memikirkan bahawa kenderaannya itu telah menghalang laluan para jemaah yang ingin masuk ke masjid. Saya sendiri pernah berhadapan situasi  sebegini di mana usai solat Subuh berjemaah, saya dan beberapa orang jemaah bergegas keluar untuk pergi kerja. Malangnya saya dan para jemaah terpaksa mencari dan menjolok selipar di bawah kereta yang telah dipakir betul-betul di hadapan tangga masjid sehingga memijak beberapa pasang selipar para jamaah.

Keadaan ini berlaku kerana masih ramai yang kurang jelas tentang adab ke masjid sedangkan hal ini telah diterangkan  oleh Rasulullah dengan jelas. Mengejar rakaat ini tidak hanya berlaku di Malaysia sahaja. Semasa penulis belajar di negara arab dahulu penulis melihat keadaan yang lebih teruk lagi. Terdapat segelintir umat Islam yang jahil apabila mereka tiba di masjid dan imam sedang dalam keadaan rukuk,  mereka terus mengangkat takbir di pintu masjid lagi dan berjalan dalam keadaan rukuk untuk memasuki saf salat. Hal ini amat melucukan dan ia menggambarkan betapa umat Islam masih perlu banyak mempelajari sunnah Rasulullah dalam melaksanakan tuntutan ibadah seharian.

Islam adalah agama  yang penuh dengan adab dan kesantunan dalam setiap aspek termasuk dalam situasi seperti ini. Rasulullah telah memberi bimbingan dengan jelas tentang adab ke masjid sebagaimana hadis yang riwayatkan oleh Abu Hurairah R.A : “Jika anda mendengar iqamat dikumandangkan,  berjalanlah ke masjid untuk solat,  berjalan dalam keadaan tenang dan jangan tergesa-gesa. Apa yang anda sempat ikut  dari solat,  maka ikutilah, dan apa yang terlepas maka sempurnakanlah.”(HR. Al-Bukhari no. 117 dan Muslim no. 602)

Terdapat hadis lain juga menerangkan tentang adab  ke masjid iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah R.A. Beliau berkata : “Ketika kami sedang solat bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, maka tiba-tiba baginda mendengar suara beberapa orang bergegas mengejar rakaat solat. Maka setelah selesai, baginda bertanya, “Ada apa dengan kalian?” Mereka menjawab, “Kami tergesa-gesa mendatangi solat.” Baginda pun bersabda, “Janganlah kamu berbuat seperti itu. Jika kamu mendatangi solat maka datanglah dengan tenang, apa yang kalian sempat dari solat maka ikutilah, dan apa yang kalian tertinggal maka sempurnakanlah.” (HR. Al-Bukhari no. 599 dan Muslim no. 603)

Dua hadis di atas memberi penerangan dan bimbingan  dengan jelas tentang adab dan kedudukan sebenar tentang adab ke masjid untuk solat berjamaah. Ketika seseorang muslim telah keluar dari rumahnya  ke masjid untuk mengadap Penciptanya Yang Maha Agong, sudah tentu solat itu akan  dilakukan dengan penuh ketenangan dan khusyuk kepada Allah. Maka ia perlu dilakukan dengan lebih terancang dan teliti. Jika seseorang muslim itu pergi ke masjid dalam keadaan tergesa-gesa dan mengah sudah pasti ia menjejaskan kualiti ibadahnya kepada Allah. Allah Maha Mengetahui keadaan dan situasi hambaNya yang ikhlas dan bersusah payah datang solat berjamaah di masjid. Niat mereka  yang datang solat berjamaah itu sudah ditulis sebagai pahala solat berjamaah walaupun ia terlewat, tidak perlu dirisaukan lagi.

Lihatlah bagaimana Rasulullah menegur para sahabat yang seolah sedikit kecoh kerana ingin mengejar solat jamaah. Teguran yang dilakukan sejurus usai solat menggambarkan betapa pentingnya adab ini dihayati oleh setiap muslim. Hanya kerana ingin mengejar rakaat solat, banyak adab lain diabaikan, yang boleh merosak keharmonian sesama Islam. Kenapa perlu bergegas, jika Rasulullah sendiri menegaskan perlunya berada dalam keadaan tenang ketika  menghadiri solat. Namun , tidak perlu bergegas di sini tidaklah bermaksud sengaja melambat-lambat untuk solat.

Namun realiti yang kita dapat lihat ialah masih terdapat segelintir para jamaah masjid yang masih tidak menghayati dua hadis di atas. Masih ramai yang berlari-lari masuk ke masjid jika diketahui imam sudah hampir rukuk malah apa yang lebih kurang manis lagi ialah memakir kenderaan di tangga masjid atau di pintu utama masjid sehingga mengganggu laluan para jamaah yang lain. Mereka datang ke masjid untuk solat berjamaah demi meraih ganjaran besar dari Allah, tetapi pada masa yang sama mencetuskan halangan kepada para jamaah yang lain. Keadaan ini boleh menjejaskan ganjaran pahala solat jamaah yang didambakan.

Berdasarkan dua hadis tersebut boleh kita simpulkan beberapa perkara yang perlu di titik beratkan jika seseorang ke masjid untuk solat berjamaah

Pertama: Bersedia lebih awal untuk ke masjid. Sebaik-baiknya tiba di masjid sebelum masuk waktu solat atau sebelum azan berkumandang.

Kedua: Berjalanlah ke masjid dengan tenang. Jika berkenderaan janganlah memandu dengan laju. Patuhi peraturan jalan raya dan adab-adab berkenderaan. Letakkan kereta atau motosikal di tempat parkir khas yang telah disediakan. Jangan parkir kenderaan di laluan dan juga pintu masjid yang boleh menghalang orang yang keluar masuk ke masjid. 

Ketiga: Ketika sampai ke masjid  dan solat telah dimulakan, anda tidak perlu lagi  bergegas atau berlari memasuki saff solat. Memadailah berjalan dengan tenang walaupun anda mendengar imam sudah hampir habis bacaanya dan akan rukuk. Anda tidak perlulah tergesa-gesa. Apa yang telah digambarkan  oleh Nabi  melalui sabdanya bahawa pahala dan ganjaran solat adalah sama bagi mereka yang sempat dengan rakaat solat berjamaah dengan mereka yang terlepas rakaat dan kemudiannya menyempurkan solatnya bersendirian sehingga selesai. Sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Maha Mengetahui keadaan hambaNya.

Solatlah dengan penuh ketenangan kerana ia akan melahirkan rasa khusyuk kepada Allah Taala dan pastikan solat berjamaah dilaksanakan  dengan penuh beradab dan tertib tanpa berlakunya perkara-pekara yang boleh menjejaskan kemurnian solat jamaah itu sendiri. Jangan lah diibaratkan seperti pepatah melayu " Yang dikejar tidak dapat, yang dikendung keciriran". Pahala yang dikejar tidak dapat, pahala sedia ada yang hilang kerana telah menyusahkan orang lain.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri ke 18.




 

 

 

Friday, September 18, 2020

SYOK SOLAT: SOLAT TEMAN DI ALAM BARZAKH?

Oleh: Dr Abdullah Hamzah

Beberapa bulan lepas, sahabat saya telah diuji oleh Allah dengan pemergian kedua ibu bapanya dalam tempoh dua minggu. Belum pun hilang kesedihan dan terkejut dengan pemergian ayah tercinta pergi mengadap Ilahi, ibunya yang sedang sakit pula menyusul suaminya selepas dua minggu. Allah Maha Kaya dan Maha Penyayang. Jika kita amat menyayangi ibu bapa kita atau sesiapa sahaja, Allah menyayangi mereka lebih dari kita dan Dia berhak memanggilnya bila-bila masa sahaja. Kita hanya perlu bersabar dan sentiasa memohon keampunan dan rahmat untuk mereka yang telah dijemput oleh Allah. Hanya itu yang mampu saya tuturkan kepada sahabat saya sebagai penyejuk hati sebagai hamba Allah taala yang sudah tentu meredhai apa sahaja yang ditakdirkan olehNya.

Sahabat saya telah meluahkan beberapa kemusykilan yang berkaitan dengan solat untuk jenazah. Ini kerana pemergian ayah dan ibunya yang agak dekat tempoh masanya itu menimbulkan beberapa perkara yang menuntut penjelasan yang lebih jelas. Perkara tersebut ialah tentang solat hadiah atau solat teman untuk si mati. Selepas pemergian ayahnya, saudara mara terdekatnya berpesan agar melakukan solat teman atau solat hadiah untuk ayahnya pada malam pertama selepas dikebumikan. Begitu juga ketika pemergian arwah ibunya, dia juga diminta untuk melakukan solat yang sama. Ini kerana mengikut pandangan saudara mara, jika si anak tidak mampu atau tidak berkesempatan untuk melakukan solat ini, ianya boleh diwakilkan kepada orang lain untuk melakukannya dan sudah semestinya diberikan imbalan yang sewajarnya sebagai tanda terima kasih. Persoalannya ialah bukan pada duit atau upah, tetapi apa yang ingin dipastikan ialah adakah solat ini ada asasnya dan dituntut dalam syariat islam?

Saya sendiri ketika kematian anak pertama, saya dinasihatkan agar melakukan solat teman ini sebagai hadiah untuk si anak di alam kubur. Saya mengabaikannya kerana ianya tidak mempunyai asas yang kukuh dalam syariat Islam. Tetapi amalan ini masih lagi diamalkan oleh segelintir masyarakat Islam di Malaysia, malah kadangkala ia menjadi satu amalan yang tidak baik kerana ianya boleh diupah untuk orang lain melakukannya. Keadaan ini boleh menjejaskan kesucian agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah kedudukan sebenar solat teman atau solat hadiah ini? Jika kita merujuk kepada buku-buku rujukan fiqh yang masyhur, solat sunat ini tidak disebut di dalam kitab muktabar, begitu juga cara-cara melaksanakannya dan fadhilatnya turut tidak dinyatakan. Tetapi solat ini didapati ada disebut dalam sebuah kitab fiqh Mazhab Syafie yang bertajuk ‘Nihaayat al-Zain’ yang disusun oleh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi. Dalam bab solat-solat sunat, beliau menyenaraikan solat dua rakaat sebagai teman di dalam kubur (Rak’ataan lil uns fi al-qabr). Solat ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w dengan sabdanya: “Saat yang paling genting bagi si mati ialah pada malam pertama (di alam kubur). Kamu semua hendaklah melakukan sedekah untuk si mati. Jika tidak mampu, solatlah dua rakaat dengan membaca sesuatu dalam setiap rakaat”. Pengarang kitab menghuraikan bahawa setiap rakaat dibacakan sekali Surah al-Fatihah, Ayatul Kursiy, Surah al-Takasur dan sepuluh kali Surah al-Ikhlas. Selepas salam, dibaca doa: ‘Allahumma inni sollaitu hazihi al-solaata wa ta’lam maa uriid, Allahumma ab’ath tsawaabaha ila qabri fulab bin fulan’ (Ya Allah! aku telah lakukan solat ini dan Engkau telah tahu apa hajatku, Ya Allah! sampaikan pahala solat ini kepada kubur (nama si mati). Di saat itu Allah akan menghantar ke kuburnya seribu malaikat dengan setiap malaikat itu membawa cahaya dan hadiah menemaninya sehingga hari yang akan ditiup sangkakala. (dipetik dari kita Nihaayat al-Zain muka surat 105).

Walaupun amalan ini disebut secara terperinci di dalam kitab ini, kita sebagai umat Islam perlu merujuk kepada kitab yang lebih muktabar dan masyhur. Sebenarnya tidak pernah diketahui bahawa solat teman ini telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dan juga para sahabat. Apa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w berkaitan amalan yang boleh dilakukan untuk membantu mereka yang telah pergi ialah dengan mendoakan kesejahteraan buat mereka. Satu ketika selepas selesai mengebumikan jenazah, Rasulullah s.a.w berdiri di sebelah kubur dan bersabda: “Beristighfarlah untuk saudara kami ini, Mohonlah pada Allah agar ianya kuat dan tetap pendirian. Dia sekarang sedang disoal” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Hakim).

Hadis yang menjadi sandaran  di dalam kitab Nihayat al-Zain sendiri tidak mempunyai asasnya. Perawi hadis langsung tidak disebut, malah hadis ini tidak tersenarai dalam mana-mana kitab hadis. Malah ada ulama’ yang meletakkan hadis ini sebagai hadis maudhu’ atau hadis palsu berdasarkan ciri-cirinya yang mengandungi susunan pahala yang amat besar berbanding amalannya yang sangat ringkas.

Namun terdapat para ulama’ yang meletakkan solat teman ini sebagai solat sunat mutlak yang tidak memerlukan sandaran dan boleh dilakukan berdasarkan niat. Tetapi biasanya mereka yang menjadikan solat teman ini sebagai amalan akan menyandarkan kepada hadis di atas. Apatah lagi jika ianya menjadi amalan yang tidak boleh ditinggalkan dalam masyarakat dan sesiapa yang tidak melakukan solat sunat teman ini dianggap tidak sayang dan tidak kasih kepada si mati. Lebih teruk lagi ia boleh menjadi amalan yang boleh diupah dan dibayar untuk melakukannya. Inilah yang perlu dihindarkan.

Amalan solat sunat teman ini dikira sebagai tidak mempunyai asas di dalam syariat Islam kerana tidak pernah ada solat khusus dengan bacaan yang khusus bertujuan untuk membantu dan memberi rahmat kepada si mati. Malah ia dibimbangi termasuk dalam perkara bida’ah yang ditokok tambah sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Syatibiy ketika mendefinisikan amalan bid’ah. “Suatu amalan  dalam agama direka bertentangan dengan syariat meskipun amalan itu niatnya bertujuan memperlebih-lebihkan ibadah kepada Allah”. Amalan bida’ah inilah yang merosakkan agama Islam.

Apabila berlaku kematian, ianya banyak melibatkan emosi dan kesedihan kerana kehilangan orang yang tersayang.  Setiap orang akan melakukan apa sahaja demi kesejahteraan orang yang dikasihi lebih-lebih lagi yang pergi itu ialah ibu bapa. Walaupun begitu kita perlulah perihatin dengan tuntutan syariat dengan memastikan amalan –amalan yang dilakukan berkaitan dengan kematian ini selaras dengan syariat Islam sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apa yang dibimbangkan ialah amalan yang dilakukan itu tidak memberi manfaat dan faedah kepada orang yang kita sayang, lebih parah lagi ia mungkin menjadi beban yang boleh menyeksa mereka di alam kubur. Banyakkan membaca doa kesejahteraan untuk mereka yang telah pergi “Allahummaghfir lahu warhamhu wa aafihi wa’fu anhu” Inilah doa yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Sudah pasti ianya akan memberi kesejahteraan kepada orang yang kita sayangi dan cintai.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri 17




 

Sunday, September 13, 2020

SYOK SOLAT: SOLAT JENAZAH SEBAGAI BAKTI TERAKHIR UNTUK YANG TERSAYANG

 Oleh Dr Abdullah bin Hamzah

Beberapa tahun lepas, ketika saya mengunjungi Bandar raya Jakarta, saya mengambil kesempatan untuk menziarahi rakan bapa sahabat musafir saya di Kampung Makkasar. Beliau adalah seorang kiai atau seorang ustaz yang berpengaruh di kampungnya. Sayang sekali kami tidak berkesempatan bertemu mata dengannya kerana dia telah pulang ke rahmatullah pada tahun lepas. Tetapi apa yang menarik ialah keluarganya berkongsi kenangan dengan kami melalui sebuah foto album. Album tersebut mengabadikan detik-detik pengurusan jenazah kiai Haji Zamri dari saat mula meninggal sehinggalah berakhirnya pengebumian. Setiap aktiviti memandikan jenazah, mengkafankan, solat, para tetamu dan pengebumian, semuanya dirakam dengan rapi dan berkualiti. Alasan ibu Riffni, isteri Haji Zamri merakamkan memori tersebut sebagai kenangan dan ingatan untuk keluarga serta sahabat-sahabat handai Haji Zamri dan keluarganya.

Apa yang menarik untuk dikongsi di sini ialah beberapa gambar yang menunjukkan anak bongsu Haji Zamri yang mengimamkan solat jenazah walaupun terdapat ramai kiai yang menjadi makmum di belakangnya. Begitu juga kaum ibu yang sama-sama solat jenazah sebagai bakti terakhir untuk mendoakan kesejahteraan Allahyarham. Mengikut Isteri Allahyarham Kiai Zamri, Kawan-kawan Allahyarham yang datang telah memberitahu bahawa adalah lebih  baik jika diimamkan oleh ahli keluarga terdekat iaitu anaknya sendiri walaupun terdapat orang lain yang lebih tua dan alim. Begitu juga, kaum wanita daripada keluarga terdekat juga amat dituntut untuk melakukan solat jenazah ini. 

Jika kita perhatikan di tempat kita di Malaysia ini, keadaan ini masih lagi tidak menjadi amalan masyarakat kita. Amat jarang kita melihat solat jenazah diimamkan oleh anak sendiri. Malah jika diberi peluang pun mereka akan menolak dengan dengan pelbagai alasan. Imam sendiri pun tidak menerangkan tentang kelebihan mengimamkan solat jenazah bagi ahli keluarga terdekat dan kadangkala ia dilihat seolah rumit dan banyak perkara dan syarat yang perlu dilakukan.

Begitu juga kaum muslimat jarang diberi peluang untuk solat jenazah bersama-sama walaupun untuk ahli keluarga sendiri. Sehinggakan saya pernah terdengar kata-kata seorang ibu yang mengatakan perkara yang paling seronok ketika menunaikan ibadah umrah  ialah kerana berpeluang untuk melakukan solat jenazah kerana katanya di Malaysia dia langsung tidak mendapat peluang itu. Seringkali juga kita melihat ketika solat jenazah dilakukan, ramai yang hanya sekadar menjadi pemerhati sedangkan ganjaran bagi mereka yang solat jenazah amat besar ganjaran pahalanya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang menziarahi jenazah dan solat untuknya ia akan mendapat satu ‘qiirat’. Sesiapa yang solat dan menunggu sehingga ianya dikebumikan dia akan mendapat dua ‘qiirat’. Rasulullah s.a.w ditanya apa yang dimaksudkan dengan dua ‘qiirat’ itu. Rasulullah s.a.w menjawab: Umpama dua bukit yang besar” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menunjukkan betapa besarnya pahala mereka yang mendirikan solat jenazah dan juga sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga dikebumikan. Tetapi masih lagi ramai yang tidak mengambil peluang ini. 

Sebenarnya solat jenazah itu adalah sangat mudah. Ianya telah disyariatkan kepada umat Islam tidak mengira lelaki atau perempuan. Ianya tidak rumit kerana ia terdiri daripada 7 rukun iaitu : 1. Berdiri betul bagi mereka yang mampu. 2. Niat (hanya dengan Bahasa Melayu) 3. Takbir empat kali termasuk takbiratul ihram. 4. Membaca surah al-Fatihah selepas takbir pertama. 5. Membaca selawat kepada nabi selepas takbir ketiga (sekurang-kurangnya Allahumma salli ala Muhammad). 6. Membaca doa selepas takbir ketiga. Sekurang-kurangnya Allahummaghfir lahu war hamhu wa ‘aafihi wa’fu anhu (bagi jenazah lelaki). Allahummaghfir laha war hamha wa ‘aafiha wa’fu anha. (bagi jenazah perempuan). 7. Memberi salam selepas takbir keempat.

Pelaksanaan solat jenazah yang paling mudah boleh digambarkan sebagaimana berikut:

1. Berdiri tegak di hadapan jenazah. Jika jenazah lelaki, imam berada di bahagian kepala dan jika jenazah perempuan imam berada di pinggangnya.

2. Niat. Jenazah lelaki atau jenazah perempuan 4 takbir memadai dengan Bahasa Melayu dan tak semestinya dituturkan dengan lisan.

3. Takbir pertama

4. Membaca surah al-Fatihah.

5. Takbir kedua

6.Membaca selawat kepada Nabi. Paling ringkas dengan menyebut ‘Allahumma salli ala Muhammad’. dan boleh dibaca selawat penuh sebagaimana bacaan selawat semasa tahiyyat akhir solat.

7. Takbir ketiga.

8. Membaca doa untuk jenazah sekurang-kurangnya Allahummaghfir lahu war hamhu wa aafihi wa’fu anhu (bagi jenazah lelaki). Allahummaghfir laha war hamha wa aafiha wa’fu anha. (bagi jenazah perempuan).

9. Takbir keempat.

10. Memberi salam

 

Sebenarnya solat jenazah ini amat mudah dan senang. Cuma yang menjadi susah ialah perkara sunat lain yang dilakukan selepas solat seperti berdoa dengan doa yang panjang dan dibaca dalam Bahasa Arab. Hal ini yang menyebabkan tidak ramai yang sanggup untuk menjadi imam solat jenazah walaupun anak kepada arwah itu sendiri. Lalu diberi tanggungjawab kepada imam atau  orang lain untuk mengimamkan solat.

Bagi sesiapa yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk memimpin solat jenazah, mereka berperanan untuk mendidik dan membimbing masyarakat untuk menghayati konsep solat jenazah ini. Antara cadangan terbaik yang boleh dilakukan ialah:

Menjemput semua yang hadir untuk solat jenazah bersama-sama dengan menggunakan kata-kata yang baik sambil membaca hadis-hadis yang menerangkan kelebihan solat jenazah seterusnya menggalakkan semua lelaki yang hadir merebut peluang ini. Tidak salah untuk tunggu sekejap memberi ruang kepada mereka untuk bersedia mengambil wudhuk. Apabila melihat semua bersedia barulah solat dimulakan. Apa yang sering berlaku ialah imam langsung tidak prihatin samada jemaah sudah bersedia atau tidak, dengan langsung memulakan solat jenazah menyebabkan ramai yang tidak sempat bersedia untuk solat bersama-sama.

Memberi ruang kepada kaum perempuan untuk sama-sama menunaikan solat jenazah dengan memaklumkan lebih awal untuk mereka bersedia dengan wudhuk dan pakaian yang sesuai. Menunggu mereka bersedia di dalam saf yang tersusun dan tidak salah meminta salah seorang di kalangan wanita menyusun dan memperbetulkan saf untuk solat.

Memberi taklimat dan bimbingan yang terang dan jelas tentang pelaksanaan solat jenazah kepada hadirin adalah perlu.  Ini kerana kita khuatir jika ada di kalangan mereka yang tidak biasa atau kali pertama melakukan solat jenazah.

Penerangan bermula dari langkah pertama, niat, takbir dan bacaan di antara takbir tersebut perlu diterangkan dengan teratur dan jelas terutama selawat yang paling ringkas. Doa adalah bahagian yang susah bagi mereka yang kurang berpengalaman melakukan solat jenazah. Imam dituntut menerangkan doa jenazah yang ringkas kepada hadirin samada doa untuk jenazah lelaki atau jenazah perempuan. Tidak salah untuk mengulanginya beberapa kali agar dapat diingati oleh mereka yang baru kali pertama melakukan solat jenazah.

Apa yang penting ialah memberi peluang kepada waris lelaki paling dekat dengan jenazah untuk mengimamkan solat jenazah. Jika yang meninggal itu seorang ayah, adalah lebih baik diberi peluang kepada anaknya untuk mengimamkan solat. Berilah bimbingan dan tunjuk ajar kepadanya untuk memberi keyakinan bagi mengetuai solat jenazah.

Jika dia tidak biasa dengan solat jenazah, cukuplah dengan asas solat jenazah seperti membaca surah al Fatihah, selawat dan doa ringkas sahaja. Manakala doa selepas solat jenazah yang biasanya dibaca dalam Bahasa Arab boleh diambil alih oleh imam. Jika diterangkan dengan baik dan bimbingan yang sempurna, insyaAllah mereka tidak akan menolak peluang ini.

Anak menjadi Imam

Ini adalah di antara amalan pengurusan solat jenazah yang perlu kita terapkan dalam masyarakat kita. Tidak ramai anak-anak atau orang awam yang sanggup mengimamkan solat jenazah ibubapa mereka hanya kerana isu remeh seperti tidak berkemampuan membaca doa yang panjang. Jadi, golongan yang berilmu, termasuk para imam dan ustaz perlu memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang bersifat praktikal kepada masyarakat.

Kita tidak perlu menuding jari kepada masyarakat umum yang tidak berani ke hadapan untuk mengimamkan solat jenazah ahli keluarga. Ini kerana amalan masyarakat kita sebenarnya kurang memberi peluang kepada ahli keluarga terdekat. Di samping terdapatnya amalan-amalan tambahan yang menjadikan ramai di kalangan kita terlepas amalan-amalan yang lebih afdhal.

Jika ahli keluarga terdekat anda pulang ke rahmatullah, bersedialah untuk menguruskan jenazah termasuk mengimamkan solat jenazah. Itulah yang lebih baik kerana doa anda lebih ikhlas mengharapkan pengampunan dan rahmat daripada Allah. Jika anda sebagai imam dan ustaz, bimbinglah keluarga si mati untuk menguruskan jenazah dan mengimamkan solat. Berilah peluang untuk kaum wanita menunaikan solat dan berdoa bersama-sama. Diharapkan solat dan doa keluarga terdekat ini lebih ikhlas dan diterima oleh Allah Taala. Semoga dengan cara ini mereka akan lebih menghayati peranan sebagai hamba Allah.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri 16




Tuesday, September 1, 2020

SUBURI JIWA: NABI ADAM DIUJI DENGAN KELICIKAN IBLIS (Ayat 27 Surah al A’raaf)

 Oleh: Dr Abdullah Hamzah

Surah al A’raf Ayat 23- 30 (muka surat 153) Tadarus selama 15 minit

AYAT PERBINCANGAN (Ayat 27  Surah al A’raaf) Setengah jam.


يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ لَا يَفۡتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ كَمَآ أَخۡرَجَ أَبَوَيۡكُم مِّنَ ٱلۡجَنَّةِ يَنزِعُ عَنۡهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوۡءَٰتِهِمَآۚ إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمۡ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنۡ حَيۡثُ لَا تَرَوۡنَهُمۡۗ إِنَّا جَعَلۡنَا ٱلشَّيَٰطِينَ أَوۡلِيَآءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ ٢٧

Mafhumnya: Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibubapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman- Surah al A’raaf (27).

 

 

PENGAJARAN

 

1.Kisah tentang peristiwa Nabi Adam dan Iblis merupakan teladan yang amat berguna kepada manusia. Allah Taala telah menegaskan pentingnya kisah ini dengan firmanNya yang khas dengan menggunakan ungkapan ‘Wahai anak-anak Adam! Allah berpesan dengan menggunakan ungkapan wahai anak Adam untuk mengingatkan kita  bahawa semua manusia di dunia ini adalah dari keturunan Nabi Adam A.S. Nabi Adam ialah moyang kita semua.



 

2. Manusia diperingatkan kembali tentang sejarah nostalgia bagaimana moyang kita dahulu telah terperangkap dalam ‘fitnah’ daripada syaitan. Lafaz ‘la yaftinannakum’ yang bermaksud terfitnah dan fitnah di sini bermaksud ujian. Nabi Adam telah diuji dengan tipu daya syaitan. Oleh sebab Nabi Adam dan isterinya, Hawa gagal dalam ujian itu menyebabkan mereka berdua telah dihukum dan dikeluarkan dari syurga, malah ditanggalkan segala pakaian mereka dan terdedah segala aurat dan keaiban.

 

3.Menurut Sheikh Mutawalli al Sya’rawi dalam tafsirnya menyebut bahawa fitnah atau ujian ini Allah telah jalankan kepada Nabi Adam dan isterinya, Hawa adalah sebagai latihan kepada mereka sebelum menjalankan tugasnya sebagai khalifah. Tugas khalifah ialah menjadi hamba Allah dalam menunaikan perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Sebagai latihan dan ujian, Nabi Adam telah dibenarkan untuk makan apa sahaja di dalam syurga, namun terdapat satu larangan iaitu jangan mendekati sepohon pokok. Namun Iblis yang tinggi hasad dengkinya terhadap Nabi Adam yang telah dimuliakan oleh Allah melebihi dirinya, Iblis  telah bersumpah untuk menyesatkan Nabi Adam dan keturunannya dan berusaha sedaya upaya untuk menghasut Nabi Adam dan Hawa. Iblis berkali-kali berusaha mempengaruhi Nabi Adam tetapi tidak berjaya, sehinggalah dia datang kepada Nabi Adam dengan penampilan berwatak warak. Dia memberitahu Nabi Adam bahawa dia datang untuk memberi nasihat yang baik kepada Nabi Adam kerana dia telah mengetahui bahawa tujuan Nabi Adam dicipta adalah sebagai khalifah di dunia dan bukannya di syurga. Oleh itu, katanya lagi bahawa Allah melarang memakan buah tersebut kerana sesiapa yang memakan buah tersebut akan kekal berada dalam syurga selama-lamanya. Iblis dengan lembut memberitahu Nabi Adam bahawa kekal berada dalam syurga ini dekat dengan Allah dan jika dihantar ke dunia sebagai khalifah, Nabi Adam semakin jauh dengan Allah. Iblis mencadangkan agar Nabi Adam dan Hawa makan buah larangan itu bukan bermaksud derhaka kepada Allah, tetapi sebagai tanda sayang kepadaNya. Adam dan Hawa akan sentiasa berada dalam syurga dan rapat dengan Allah.

 

4.Lihatlah betapa liciknya nasihat Iblis. Nabi Adam sebagai manusia biasa terpengaruh dengan nasihat yang dilihat hanya sebagai helah demi untuk mendapat perkara baik untuk dirinya dan isteri. Di sini banyak pengajaran yang Allah mahu garapkan kepada manusia. Pertamanya, ia adalah sebagai ujian dan latihan kepada Nabi Adam bagaimana seorang khalifah perlu bijak membuat keputusan. Kedua: Kesan daripada pelanggaran pada perintah dan larangan Allah, Nabi Adam dan Hawa dihukum dan dikeluarkan dari syurga dan terbuka segala aurat dan keaibannya. Ketiga: Nabi Adam ialah manusia biasa yang terdedah kepada melakukan kesalahan dalam membuat keputusan, namun Allah menyediakan peluang kepadanya untuk insaf dan bertaubat. Setelah dihantar ke dunia, Allah mengajar Nabi Adam dan Hawa cara bertaubat, oleh sebab kekesalan dan taubatnya, Allah telah melantik Nabi Adam sebagai nabi. Perlu diingatkan bahawa manusia adalah normal jika melakukan kesilapan sehingga nabi pun tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun mengakui kesilapan dan taubat ialah cara terbaik bagi meraih kasih dan redha Allah. Tiada manusia yang tidak pernah silap atau maksum yang tidak pernah melakukan dosa. Jika ada yang mendakwa maksum atau tidak pernah mengakui kesilapannya, ini bermakna ia lebih baik daripada nabi dan itu adalah mustahil.

 

5. Allah mengingatkan lagi bahawa iblis atau syaitan daripada kalangan jin ini adalah sangat berbahaya dan perlu diawasi. Ini kerana syaitan daripada kalangan manusia mudah dilihat dan dihindari, namun jika syaitan daripada kalangan jin ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun mereka dapat melihat manusia dan berdamping bersamanya tanpa sedar. Syaitan dan jin adalah amat ramai kerana mereka tidak pernah mati semenjak diciptakan sebelum nabi Adam, bahkan Iblis yang menghasut Nabi Adam masih lagi hidup sehingga hari ini. Ayat ini juga menunjukkan bahawa manusia mampu melihat jin dalam rupa yang sebenar dan apa yang digambarkan pada hari ini sebagai syaitan dan jin ialah merupakan khayalan manusia semata-mata.

 

6. Syaitan dan jin ini hanya mampu mempengaruhi mereka yang tidak beriman dan tidak meyakini Allah Taala. Namun mereka yang hatinya beriman dan yakin kepada Allah tidak mampu diganggu gugat oleh tipu daya syaitan malahan jika tersilap langkah, mereka akan segera sedar dan bertaubat.

 

PERBINCANGAN

 

1.      Bincangkan apa yang anda tahu dan pengalaman anda berkaitan dengan hasutan syaitan.

Wednesday, August 19, 2020

SYOK SOLAT : DUA RAKAAT SUNAT YANG AMAT BERNILAI

 Oleh : Dr Abdullah bin Hamzah

Satu ketika dulu, penulis telah menghadiri satu kursus di Pulau Langkawi. Kursus ini  menitikberatkan disiplin dan ketepatan masa para peserta di samping menerapkan sikap profesionalisme. Peserta juga diwajibkan untuk solat berjemaah di surau setiap waktu solat. Apa yang menjadi persoalan ialah para peserta tidak diberi peluang untuk solat sunat Subuh sepanjang kursus. Sejurus selepas azan Subuh, peserta yang bertugas sebagai bilal diperintahkan untuk terus iqamah tanpa memberi peluang kepada peserta untuk solat sunat qabliyyah Subuh. 

Situasi ini menjadi persoalan rakan-rakan peserta kerana alasan yang diberikan penganjur ialah untuk menjimatkan masa. Namun selepas solat Subuh tetap diadakan wirid  dan tazkirah tidak kurang panjangnya. Ramai rakan peserta yang telah menjadikan solat sunat Subuh ini sebagai istiqamah merasa terkilan dan kerugian yang besar kerana amalan yang bermanfaat ini dipandang remeh.

Mari kita melihat kedudukan solat sunat Subuh mengikut apa yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Mengikut apa yang diceritakan oleh Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.AW tidak mengabaikan empat rakaat sunat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum Subuh. (Hadis riwayat Bukhari). Dalam hadis yang lain, Aisyah R.A juga menceritakan bahawa tiada amalan solat sunat yang Rasulullah S.A.W amat titikberatkan melainkan solat sunat dua rakaat sebelum Subuh (Hadis Muttafaqun alaih). Aisyah R.A juga menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Dua rakaat sebelum fajar lebih bernilai dari dunia dan seluruh isinya” (Hadis Riwayat Muslim). 

Berdasarkan tiga hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A itu tadi menggambarkan betapa penting dan besarnya nilai solat sunat sebelum Subuh sehingga Rasulullah S.A.W tidak mengabaikannya. Pahala ganjaran sesiapa yang dapat menunaikan solat sunat sebelum Subuh adalah lebih bernilai dari bumi ini dan segala  yang ada di dalamnya.  Tetapi malangnya berapa ramai di kalangan kita umat Islam mengambil berat tentang hal ini. Ramai yang masih melihat bahawa harta dunia lebih bernilai dan perlu dikumpulkan sebanyak mungkin sehingga ibadat solat sunat ini terlepas begitu sahaja.

Melihat kepada besarnya ganjaran solat sunat Subuh ini sehinggakan ianya dibolehkan qadak atau ganti bagi sesiapa yang terlepas peluang untuk solat  pada waktunya. Oleh kerana tempoh solat sunat ini adalah amat pendek iaitu di antara selepas azan Subuh sehingga didirikan solat Subuh. Lebih tepat lagi ialah solat sunat ini boleh dilakukan sejurus masuk waktu solat Subuh sehingga solat solat Subuh didirikan. Jika solat Subuh telah didirikan, luputlah peluang solat sunat Subuh.

Bagi golongan wanita yang solat Subuh di rumah tidak menjadi masalah kerana mereka tidak perlu tergesa-gesa dan mempunyai ruang yang luas untuk solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh. Tetapi bagi mereka yang solat di masjid mempunyai masa yang amat terhad iaitu tempoh selepas azan sehingga solat Subuh didirikan.  Ini bergantung kepada polisi masjid dan kesepakatan para jamaah. Sesetengah masjid menetapkan 10 hingga 15 minit sebelum iqamah. Namun ini tidak bermakna solat di rumah itu lebih baik kerana kelapangan masa untuk solat sunat. Solat Subuh berjemaah di masjid adalah amat besar ganjaran pahalanya berbanding dengan solat bersendirian di rumah.

Berbalik kepada pelaksanaan solat sunat sebelum Subuh ini, mari kita lihat bagaimana Rasulullah S.A.W melaksanakannya. Diceritakan oleh Hafsah bahawa Rasulullah S.A.W apabila telah masuk waktu Subuh dan azan dikumandangkan, baginda solat dua rakaat yang ringkas. (Muttafaqun alaih). Terdapat para sahabat memerhatikan solat Rasulullah S.A.W sebagaimana  Ibnu Umar menyebut : Sebulan aku telah memerhati Rasulullah membaca dalam dua rakaat solat sunat Subuh dengan Qul ya ayyuhal kafirun (surah al-Kafirun) dan Qul huwallahu ahad (al- Ikhlas). (Hadis riwayat al-Tirmizi). 

Kita telah meneliti bagaimana Rasulullah S.A.W amat mengambil berat tentang solat sunat sebelum Subuh ini dan menunaikannya dengan keadaan yang amat ringkas sekadar membaca surah al-Fatihah dan surah al Kafirun dan al–Ikhlas. Oleh kerana ganjaran yang disediakan oleh Allah amat besar adalah amat rugi sesiapa yang terlepas solat sunat ini. 

Bagi sesiapa yang terlepas solat sunat ini boleh mengqadhaknya selepas solat fardu Subuh tetapi pahalanya tidaklah sama dengan mereka yang menunaikannya sebelum solat. Terdapat dua cara untuk mengqadak solat sunat Subuh ini. Pertama dilakukan sejurus selepas solat Subuh walaupun waktu ini waktu haram solat tetapi dibolehkan untuk solat qadhak kerana ia adalah solat yang bersebab. Keadaan  ini berdasarkan hadis Qais bin Fahd yang telah menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bertanya kepadanya tentang solat dua rakaat yang dilakukannya selepas solat Subuh. Apabila diberitahu bahawa beliau   mengqadak solat sunat Subuh Rasulullah diam dan tidak berkata apa-apa dan ini menunjukkan bahawa perbuatan menggantikan solat sunat Subuh selepas solat dibolehkan.

Namun terdapat cara yang kedua yang lebih baik iaitu mengqadakkan solat sunat ini selepas matahari naik kerana mengelakkan waktu yang haram. Cara ini disokong oleh hadis  yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyebut bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang tidak solat sunat Subuh hendaklah ia mengqadaknya selepas naik matahari” (Hadis Riwayat al-Tirmizi). Diceritakan juga  bahawa Ibnu Umar mengqadakkan solat sunat Subuh yang  terlepas pada waktu dhuha. 

Sebagai orang yang beriman, kita semua hendaklah mengambil kesempatan dan peluang keemasan menunaikan solat sunat ini sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.  Sebagai panduan, adalah amat baik jika dapat lakukan sebagaimana berikut:

1. Bersedia lebih awal ke masjid sebelum azan Subuh berkumandang dalam keadaan berwudhuk yang sempurna.

2. Selepas azan dilaungkan, lakukan solat sunat Subuh dengan ringkas dengan membaca surah al-Fatihah, surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas.

3. Jika  terlewat sampai ke masjid dan peluang solat sunat sudah tiada, tidak perlu solat sunat lagi kerana kemungkinan besar boleh mengganggu bilal untuk iqamah semata-mata ingin menghormati kita.

4. Solat sunat Subuh ini boleh diqadhakkan atau boleh dilakukan selepas naik matahari atau pada waktu dhuha nanti kerana jika ia diqadhak segera selepas solat Subuh akan menimbulkan tanda tanya kepada orang lain dan mungkin memandang serong kepada kita dengan tanggapan kita melanggar batasan waktu haram solat.

Marilah kita sama-sama berusaha merancang masa dan kehidupan kita agar dapat meraih semua kelebihan yang telah disediakan oleh Allah. Rebutlah ganjaran pahala solat sunat Subuh ini secara konsisten setiap hari sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W begitu juga dengan solat Subuh berjemaah di masjid. Ini adalah merupakan  bukti keimanan dan keyakinan kita kepada Allah Taala yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Jangan sia-siakan peluang meraih ganjaran yang lebih besar nilainya dari bumi dan seluruh isinya setiap hari. Insya Allah kita akan bahagia di akhirat nanti.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri ke 15



Sunday, August 9, 2020

SYOK SOLAT: LUAHKAN HASRAT ANDA DALAM SOLAT!

Oleh: Dr Abdullah Hamzah

Semasa bercuti di kampung tidak lama dahulu, usai solat berjemaah Isyak di masjid, bilal mengumumkan bahawa semua jemaah dijemput ke kenduri kesyukuran dan solat hajat salah seorang penduduk kampung. Sudah menjadi budaya di kampung bila mereka mendapat sesuatu nikmat, akan diadakan kenduri kesyukuran dan solat hajat. Tuan rumah malam itu ingin melahirkan kesyukuran kerana anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Oleh kerana imam kampung uzur, saya diminta untuk memimpin solat hajat pada malam itu. Saya meminta tuan rumah dan anak-anaknya agar berada di saf pertama di belakang imam untuk solat hajat bersama-sama. Selalu terjadi, tuan rumah atau tuan empunya hajat tidak solat bersama-sama atau berada di saf paling belakang sedangkan dialah yang lebih mengetahui hajat sebenar solat hajat itu didirikan. Saya juga mengambil kesempatan  menerangkan kedudukan solat hajat dalam Islam dan sedikit tazkirah tentang adab berdoa dan memohon hajat kepada Allah Taala sebelum memimpin solat.

Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa solat hajat ini bukannya sebahagian daripada  amalan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w, apatah lagi jika ia dilakukan secara berjemaah. Tetapi apa yang disepakati ialah, orang beriman mestilah bersikap sentiasa bergantung harap kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan. Berdoa dan mengharap bantuan kepada Allah adalah merupakan ibadah dan bukti keimanan kepadaNya. Bahkan Allah berfirman dalam al-Baqarah ayat 186:  “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” 

Berdoa itu adalah memohon hajat kepada Allah dan Allah berfirman lagi, juga dalam surah al-Baqarah ayat 45 : “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat…” Di sini, Allah sendiri menyarankan kaedah berdoa dan memohon pertolongan Allah ialah dengan cara bersolat di samping bersabar.  Oleh itu solat sunat hajat adalah merupakan solat yang dikerjakan oleh seseorang yang mempunyai hajat tertentu dan ingin memohon kepada Allah agar memperkenankan hajat tersebut.

 

Solat hajat ini mempunyai asasnya sendiri berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dari Abdullah bin Abi Aufa. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah dia berwudhuk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat. Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia mengucapkan doa……” (Riwayat al-Tirmizi) . Hadis ini telah dikategorikan sebagai hadis dhaif (lemah) oleh Imam al-Tirmizi sendiri. Terdapat satu hadis lain yang juga menyokong amalan solat hajat ini iaitu daripada Abu Darda’ radhiallahu’ anh katanya: Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahupun lambat. - Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 26225.

 

Walaupun hadis yang kedua ini juga terdiri daripada kategori hadis yang lemah tetapi ia boleh menjadi sandaran dalam aspek amalan-amalan sunat. Ianya boleh diamalkan, tambahan pula terdapat ayat al-Quran sendiri menyarankan bahawa permohonan hajat dan bantuan dilakukan dengan cara bersolat.

 

Apa yang menjadi persoalannya ialah bagaimana cara solat hajat ini dilakukan kerana gambaran solat hajat ini sendiri tidak digambarkan dengan jelas pelaksanaannya. Cuma yang didapati adalah cadangan dan saranan para ulamak bagaimana cara melaksanakannya. Apabila diteliti tentang cara pelaksanaan solat hajat ini, kita dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara solat hajat:

 

1.  Solat hajat 12 rakaat dengan 6 kali salam iaitu solat dua rakaat sebanyak 6 kali. Setiap rakaatnya di baca ayat kursi dan juga Surah al-Ikhlas.

2. Solat hajat dua rakaat sahaja. Bacaan pada rakaat pertama selepas Surah al-Fatihah ialah Surah al-Kafirun sekali atau lebih seeloknya ialah dengan bilangan yang ganjil seperti 3 atau 5 atau 7 dan seterusnya. Manakala pada rakaat kedua ialah Surah al-Ikhlas selepas al-Fatihah juga dengan kadar bilangan yang ganjil.

 

Waktu  yang terbaik untuk melakukan solat hajat ini ialah pada penghujung malam atau awal pagi ketika waktu solat tahajjud kerana di situlah masanya yang paling tenang dan tidak ramai mereka yang bangun bermunajat kepada Allah. Namun begitu ia juga boleh dilaksanakan bila-bila masa yang sesuai berdasarkan keperluan seseorang terhadap hajatnya sendiri.

 

Solat hajat ini juga lebih baik dilakukan secara individu kerana setiap orang lebih menghayati hajat masing-masing dan lebih bersungguh-sungguh berdoa, merayu dan mengharap kepada Allah. Namun jika hajat yang diminta itu adalah untuk kepentingan awam atau kepentingan ramai ianya boleh dilakukan secara berjemaah. Cuma apa yang perlu diperbetulkan ialah terdapat segelintir masyarakat kita yang meminta orang lain untuk solat hajat bagi pihaknya sedangkan kadangkala tuan empunya hajat sendiri tidak solat bersama-sama.

 

Apa yang perlu diketahui oleh kita semua ialah apabila kita mempunyai hajat tertentu dengan Allah tidak semestinya kita melakukan solat hajat khas untuk memohon doa dan segala permintaan  denganNya. Ini kerana doa kita seharian juga adalah ibarat memohon hajat dan perkenan Allah dan ia boleh dilakukan setiap kali solat fardhu. Selepas solat fardhu lima waktu, kita boleh berdoa kepada Allah segala hajat yang dingini dan boleh dilakukan dalam bahasa yang difahami iaitu Bahasa Melayu. Berdoa dengan cara ini lebih kepada bermunajat, merayu dan merintih kepada Allah malah ianya lebih berkesan kerana doa itu timbul dari lubuk hati kita sendiri. Berbanding kita meminta orang lain untuk berdoa bagi pihak kita yang sudah pastinya kesungguhan memohon hajat itu berbeza jika kita sendiri yang melakukannya.

 

Begitu juga saat berdoa yang paling baik ialah ketika sujud di mana kita boleh berdoa melalui bisikan hati apa  hajat yang dingini kerana nabi telah menyebut bahawa saat yang paling rapat sesorang hambaNya dengan Allah dalam solat ialah ketika sujud. Tetapi terdapat juga pandangan yang mengatakan saat yang paling baik berdoa ialah ketika sebelum salam selepas membaca doa tahiyyat. Begitu juga ada yang mengatakan selepas salam, sujud sekali lagi selepas solat untuk berdoa dan menyebut segala hajat yang diingini. Setiap orang boleh memilih cara mana yang lebih disenangi kerana Allah sentiasa dekat dengan hambaNya setiap masa dan ketika.

 

Kita sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa berdoa dan bergantung harap kepada Allah. Sikap sentiasa bergantung kepada Allah dan suka menyatakan hajat kepadaNya adalah merupakan ibadah yang sangat dituntut. Justeru kita sebagai insan, setiap detik dan ketika mempunyai keinginan dan harapan tersendiri. Jadikan setiap solat lima waktu seharian sebagai tempat untuk kita meluahkan isi hati kita dan memohon hajat kepadaNya. Alangkah baiknya jika saat yang paling dekat dengan Allah di dalam setiap kali solat iaitu ketika sujud dijadikan sebagai tempat untuk memohon segala hajat kita. pastikan saat yang singkat itu ketika atau selepas membaca zikir waktu sujud, bisikkan di hati kita apa sahaja hajat dan keinginan kita kepada Allah tidak kira ianya hajat dunia dan juga hajat akhirat. Tetapi pastikan bisikan hati memohon hajat kepada Allah itu tidak merencatkan sifat sujud itu sendiri. Jangan sujud terlalu lama melebihi kebiasaan dan tidak melebihi kadar masa rukun-rukun solat yang lain. Mungkin setiap kali sujud dikhaskan satu hajat yang ringkas manakala hajat lain dibisikkan ketika sujud yang kedua dan begitulah seterusnya. Cara ini juga dapat mendidik diri kita untuk lebih khusyuk di dalam solat dan menambahkan sifat kebergantungan dan pengharapan kepada Allah.

 

Namun, jika kita mempunyai hajat-hajat lain yang lebih besar, boleh juga dilakukan solat hajat yang khas untuk memohon dan bermunajat kepada Allah. Ia boleh dilakukan bila-bila masa,  tetapi saat yang paling baik ialah pada penghujung malam iaitu pada waktu sahur. Jika kita mempunyai hajat yang besar lakukan solat hajat ini sendiri adalah lebih baik dari kita meminta orang lain untuk solat dan berdoa bagi pihak kita.

 

Jadikan ibadat solat sebagai tempat untuk kita meluahkan hasrat dan isi hati kita kepada Allah. Pohonlah apa yang kita inginkan, sesungguhnya hanya kepada Allah tempat kita mengadu dan padaNyalah tempat kita bergantung dan memohon segala hajat dan permintaan. Penuhilah solat anda dengan hajat dan doa. Insya Allah, pastinya Allah tidak akan mensia-siakan permohonan hambaNya yang khusyuk dan ikhlas.

 

Artikel ini telah disiarkan dalam majalah Iman siri 14