Oleh : Dr Abdullah bin Hamzah
Selalu juga kita melihat, ramai orang berlari-lari masuk ke masjid jika mereka terlewat. Lebih-lebih lagi jika mereka mendengar imam hampir menghabiskan bacaan dan hampir rukuk. Kadang-kadang keadaan ini menjadi lebih teruk jika mereka datang dengan menaiki kereta. Lantaran kerana hendak mengejar solat berjamaah dan tidak mahu terlepas rakaat, mereka akan memakir kenderaan di tempat yang paling hampir dengan masjid. Sehinggakan ada yang memakirkan kenderaannya betul-betul di tangga masjid tanpa memikirkan bahawa kenderaannya itu telah menghalang laluan para jemaah yang ingin masuk ke masjid. Saya sendiri pernah berhadapan situasi sebegini di mana usai solat Subuh berjemaah, saya dan beberapa orang jemaah bergegas keluar untuk pergi kerja. Malangnya saya dan para jemaah terpaksa mencari dan menjolok selipar di bawah kereta yang telah dipakir betul-betul di hadapan tangga masjid sehingga memijak beberapa pasang selipar para jamaah.
Keadaan ini berlaku kerana masih ramai yang
kurang jelas tentang adab ke masjid sedangkan
hal ini telah diterangkan oleh
Rasulullah dengan jelas. Mengejar rakaat ini tidak hanya berlaku di Malaysia
sahaja. Semasa penulis belajar di negara arab dahulu penulis melihat keadaan
yang lebih teruk lagi. Terdapat segelintir umat Islam yang jahil apabila mereka
tiba di masjid dan imam sedang dalam keadaan
rukuk, mereka terus mengangkat takbir di
pintu masjid lagi dan berjalan dalam keadaan rukuk untuk memasuki saf salat.
Hal ini amat melucukan dan ia menggambarkan betapa umat Islam masih perlu
banyak mempelajari sunnah Rasulullah dalam melaksanakan tuntutan ibadah
seharian.
Islam adalah agama yang penuh dengan adab
dan kesantunan dalam setiap aspek termasuk dalam
situasi seperti ini. Rasulullah telah memberi bimbingan dengan jelas tentang
adab ke masjid sebagaimana hadis yang riwayatkan oleh Abu Hurairah R.A : “Jika anda mendengar iqamat dikumandangkan, berjalanlah ke masjid untuk solat, berjalan dalam keadaan tenang dan jangan tergesa-gesa.
Apa yang anda sempat ikut dari solat, maka ikutilah, dan apa yang terlepas maka
sempurnakanlah.”(HR.
Al-Bukhari no. 117 dan Muslim no. 602)
Terdapat hadis lain juga
menerangkan tentang adab ke masjid iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah
R.A. Beliau berkata : “Ketika kami sedang solat bersama Nabi sallallahu ‘alaihi
wasallam, maka tiba-tiba baginda mendengar suara beberapa orang bergegas mengejar rakaat solat.
Maka setelah selesai, baginda bertanya, “Ada apa dengan kalian?” Mereka menjawab, “Kami
tergesa-gesa mendatangi solat.” Baginda pun bersabda, “Janganlah kamu berbuat seperti itu. Jika kamu
mendatangi solat maka datanglah dengan tenang, apa yang kalian sempat dari solat maka ikutilah, dan apa
yang kalian tertinggal maka sempurnakanlah.” (HR. Al-Bukhari no. 599 dan Muslim no. 603)
Dua hadis di atas memberi
penerangan dan bimbingan dengan jelas
tentang adab dan kedudukan sebenar tentang adab ke masjid untuk solat
berjamaah. Ketika seseorang muslim telah keluar dari rumahnya ke masjid untuk mengadap Penciptanya Yang Maha Agong, sudah tentu solat itu akan dilakukan dengan penuh ketenangan dan khusyuk
kepada Allah. Maka ia perlu dilakukan dengan lebih terancang dan teliti. Jika seseorang
muslim itu pergi ke masjid dalam keadaan tergesa-gesa dan mengah sudah pasti ia
menjejaskan kualiti ibadahnya kepada Allah. Allah Maha Mengetahui keadaan dan
situasi hambaNya yang ikhlas dan bersusah payah datang solat berjamaah di
masjid. Niat mereka yang datang solat
berjamaah itu sudah ditulis sebagai pahala solat berjamaah walaupun ia terlewat,
tidak perlu dirisaukan lagi.
Lihatlah bagaimana Rasulullah
menegur para sahabat yang seolah sedikit kecoh kerana ingin mengejar solat
jamaah. Teguran yang dilakukan sejurus usai solat menggambarkan betapa
pentingnya adab ini dihayati oleh setiap muslim. Hanya kerana ingin mengejar
rakaat solat, banyak adab lain diabaikan, yang boleh merosak keharmonian sesama
Islam. Kenapa perlu bergegas, jika Rasulullah sendiri menegaskan perlunya
berada dalam keadaan tenang ketika menghadiri solat. Namun , tidak perlu bergegas
di sini tidaklah bermaksud sengaja melambat-lambat untuk solat.
Namun realiti yang kita dapat lihat
ialah masih terdapat segelintir para jamaah masjid yang masih tidak menghayati
dua hadis di atas. Masih ramai yang berlari-lari
masuk ke masjid jika diketahui imam sudah hampir rukuk malah apa yang lebih
kurang manis lagi ialah memakir kenderaan di tangga masjid atau di pintu utama
masjid sehingga mengganggu laluan para jamaah yang lain. Mereka datang ke
masjid untuk solat berjamaah demi meraih ganjaran besar dari Allah, tetapi pada
masa yang sama mencetuskan halangan kepada para jamaah yang lain. Keadaan ini
boleh menjejaskan ganjaran pahala solat jamaah yang didambakan.
Berdasarkan dua hadis tersebut
boleh kita simpulkan beberapa perkara yang perlu di titik beratkan jika
seseorang ke masjid untuk solat berjamaah
Pertama: Bersedia lebih awal untuk ke masjid. Sebaik-baiknya tiba di masjid sebelum masuk waktu solat atau sebelum azan berkumandang.
Kedua: Berjalanlah ke masjid dengan tenang.
Jika berkenderaan janganlah memandu dengan laju. Patuhi peraturan jalan raya dan
adab-adab berkenderaan. Letakkan kereta atau motosikal di tempat parkir khas
yang telah disediakan. Jangan parkir kenderaan di laluan dan juga pintu masjid
yang boleh menghalang orang yang keluar masuk ke masjid.
Ketiga: Ketika sampai ke masjid dan solat telah dimulakan, anda tidak perlu lagi bergegas atau berlari memasuki saff solat. Memadailah berjalan dengan
tenang walaupun anda mendengar imam sudah hampir habis bacaanya dan akan rukuk. Anda tidak perlulah tergesa-gesa. Apa yang telah digambarkan oleh Nabi melalui sabdanya bahawa pahala dan ganjaran
solat adalah sama bagi mereka yang sempat dengan rakaat solat berjamaah
dengan mereka yang terlepas rakaat dan kemudiannya menyempurkan solatnya
bersendirian sehingga selesai. Sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Maha Mengetahui
keadaan hambaNya.
Solatlah dengan penuh ketenangan
kerana ia akan melahirkan rasa khusyuk kepada Allah Taala dan pastikan solat
berjamaah dilaksanakan dengan penuh
beradab dan tertib tanpa berlakunya perkara-pekara yang boleh menjejaskan
kemurnian solat jamaah itu sendiri. Jangan lah diibaratkan seperti pepatah melayu " Yang dikejar tidak dapat, yang dikendung keciriran". Pahala yang dikejar tidak dapat, pahala sedia ada yang hilang kerana telah menyusahkan orang lain.
Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri ke 18.
No comments:
Post a Comment