Friday, September 18, 2020

SYOK SOLAT: SOLAT TEMAN DI ALAM BARZAKH?

Oleh: Dr Abdullah Hamzah

Beberapa bulan lepas, sahabat saya telah diuji oleh Allah dengan pemergian kedua ibu bapanya dalam tempoh dua minggu. Belum pun hilang kesedihan dan terkejut dengan pemergian ayah tercinta pergi mengadap Ilahi, ibunya yang sedang sakit pula menyusul suaminya selepas dua minggu. Allah Maha Kaya dan Maha Penyayang. Jika kita amat menyayangi ibu bapa kita atau sesiapa sahaja, Allah menyayangi mereka lebih dari kita dan Dia berhak memanggilnya bila-bila masa sahaja. Kita hanya perlu bersabar dan sentiasa memohon keampunan dan rahmat untuk mereka yang telah dijemput oleh Allah. Hanya itu yang mampu saya tuturkan kepada sahabat saya sebagai penyejuk hati sebagai hamba Allah taala yang sudah tentu meredhai apa sahaja yang ditakdirkan olehNya.

Sahabat saya telah meluahkan beberapa kemusykilan yang berkaitan dengan solat untuk jenazah. Ini kerana pemergian ayah dan ibunya yang agak dekat tempoh masanya itu menimbulkan beberapa perkara yang menuntut penjelasan yang lebih jelas. Perkara tersebut ialah tentang solat hadiah atau solat teman untuk si mati. Selepas pemergian ayahnya, saudara mara terdekatnya berpesan agar melakukan solat teman atau solat hadiah untuk ayahnya pada malam pertama selepas dikebumikan. Begitu juga ketika pemergian arwah ibunya, dia juga diminta untuk melakukan solat yang sama. Ini kerana mengikut pandangan saudara mara, jika si anak tidak mampu atau tidak berkesempatan untuk melakukan solat ini, ianya boleh diwakilkan kepada orang lain untuk melakukannya dan sudah semestinya diberikan imbalan yang sewajarnya sebagai tanda terima kasih. Persoalannya ialah bukan pada duit atau upah, tetapi apa yang ingin dipastikan ialah adakah solat ini ada asasnya dan dituntut dalam syariat islam?

Saya sendiri ketika kematian anak pertama, saya dinasihatkan agar melakukan solat teman ini sebagai hadiah untuk si anak di alam kubur. Saya mengabaikannya kerana ianya tidak mempunyai asas yang kukuh dalam syariat Islam. Tetapi amalan ini masih lagi diamalkan oleh segelintir masyarakat Islam di Malaysia, malah kadangkala ia menjadi satu amalan yang tidak baik kerana ianya boleh diupah untuk orang lain melakukannya. Keadaan ini boleh menjejaskan kesucian agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah kedudukan sebenar solat teman atau solat hadiah ini? Jika kita merujuk kepada buku-buku rujukan fiqh yang masyhur, solat sunat ini tidak disebut di dalam kitab muktabar, begitu juga cara-cara melaksanakannya dan fadhilatnya turut tidak dinyatakan. Tetapi solat ini didapati ada disebut dalam sebuah kitab fiqh Mazhab Syafie yang bertajuk ‘Nihaayat al-Zain’ yang disusun oleh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi. Dalam bab solat-solat sunat, beliau menyenaraikan solat dua rakaat sebagai teman di dalam kubur (Rak’ataan lil uns fi al-qabr). Solat ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w dengan sabdanya: “Saat yang paling genting bagi si mati ialah pada malam pertama (di alam kubur). Kamu semua hendaklah melakukan sedekah untuk si mati. Jika tidak mampu, solatlah dua rakaat dengan membaca sesuatu dalam setiap rakaat”. Pengarang kitab menghuraikan bahawa setiap rakaat dibacakan sekali Surah al-Fatihah, Ayatul Kursiy, Surah al-Takasur dan sepuluh kali Surah al-Ikhlas. Selepas salam, dibaca doa: ‘Allahumma inni sollaitu hazihi al-solaata wa ta’lam maa uriid, Allahumma ab’ath tsawaabaha ila qabri fulab bin fulan’ (Ya Allah! aku telah lakukan solat ini dan Engkau telah tahu apa hajatku, Ya Allah! sampaikan pahala solat ini kepada kubur (nama si mati). Di saat itu Allah akan menghantar ke kuburnya seribu malaikat dengan setiap malaikat itu membawa cahaya dan hadiah menemaninya sehingga hari yang akan ditiup sangkakala. (dipetik dari kita Nihaayat al-Zain muka surat 105).

Walaupun amalan ini disebut secara terperinci di dalam kitab ini, kita sebagai umat Islam perlu merujuk kepada kitab yang lebih muktabar dan masyhur. Sebenarnya tidak pernah diketahui bahawa solat teman ini telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dan juga para sahabat. Apa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w berkaitan amalan yang boleh dilakukan untuk membantu mereka yang telah pergi ialah dengan mendoakan kesejahteraan buat mereka. Satu ketika selepas selesai mengebumikan jenazah, Rasulullah s.a.w berdiri di sebelah kubur dan bersabda: “Beristighfarlah untuk saudara kami ini, Mohonlah pada Allah agar ianya kuat dan tetap pendirian. Dia sekarang sedang disoal” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Hakim).

Hadis yang menjadi sandaran  di dalam kitab Nihayat al-Zain sendiri tidak mempunyai asasnya. Perawi hadis langsung tidak disebut, malah hadis ini tidak tersenarai dalam mana-mana kitab hadis. Malah ada ulama’ yang meletakkan hadis ini sebagai hadis maudhu’ atau hadis palsu berdasarkan ciri-cirinya yang mengandungi susunan pahala yang amat besar berbanding amalannya yang sangat ringkas.

Namun terdapat para ulama’ yang meletakkan solat teman ini sebagai solat sunat mutlak yang tidak memerlukan sandaran dan boleh dilakukan berdasarkan niat. Tetapi biasanya mereka yang menjadikan solat teman ini sebagai amalan akan menyandarkan kepada hadis di atas. Apatah lagi jika ianya menjadi amalan yang tidak boleh ditinggalkan dalam masyarakat dan sesiapa yang tidak melakukan solat sunat teman ini dianggap tidak sayang dan tidak kasih kepada si mati. Lebih teruk lagi ia boleh menjadi amalan yang boleh diupah dan dibayar untuk melakukannya. Inilah yang perlu dihindarkan.

Amalan solat sunat teman ini dikira sebagai tidak mempunyai asas di dalam syariat Islam kerana tidak pernah ada solat khusus dengan bacaan yang khusus bertujuan untuk membantu dan memberi rahmat kepada si mati. Malah ia dibimbangi termasuk dalam perkara bida’ah yang ditokok tambah sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Syatibiy ketika mendefinisikan amalan bid’ah. “Suatu amalan  dalam agama direka bertentangan dengan syariat meskipun amalan itu niatnya bertujuan memperlebih-lebihkan ibadah kepada Allah”. Amalan bida’ah inilah yang merosakkan agama Islam.

Apabila berlaku kematian, ianya banyak melibatkan emosi dan kesedihan kerana kehilangan orang yang tersayang.  Setiap orang akan melakukan apa sahaja demi kesejahteraan orang yang dikasihi lebih-lebih lagi yang pergi itu ialah ibu bapa. Walaupun begitu kita perlulah perihatin dengan tuntutan syariat dengan memastikan amalan –amalan yang dilakukan berkaitan dengan kematian ini selaras dengan syariat Islam sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apa yang dibimbangkan ialah amalan yang dilakukan itu tidak memberi manfaat dan faedah kepada orang yang kita sayang, lebih parah lagi ia mungkin menjadi beban yang boleh menyeksa mereka di alam kubur. Banyakkan membaca doa kesejahteraan untuk mereka yang telah pergi “Allahummaghfir lahu warhamhu wa aafihi wa’fu anhu” Inilah doa yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Sudah pasti ianya akan memberi kesejahteraan kepada orang yang kita sayangi dan cintai.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri 17




 

No comments: