Sunday, August 9, 2020

SYOK SOLAT: LUAHKAN HASRAT ANDA DALAM SOLAT!

Oleh: Dr Abdullah Hamzah

Semasa bercuti di kampung tidak lama dahulu, usai solat berjemaah Isyak di masjid, bilal mengumumkan bahawa semua jemaah dijemput ke kenduri kesyukuran dan solat hajat salah seorang penduduk kampung. Sudah menjadi budaya di kampung bila mereka mendapat sesuatu nikmat, akan diadakan kenduri kesyukuran dan solat hajat. Tuan rumah malam itu ingin melahirkan kesyukuran kerana anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Oleh kerana imam kampung uzur, saya diminta untuk memimpin solat hajat pada malam itu. Saya meminta tuan rumah dan anak-anaknya agar berada di saf pertama di belakang imam untuk solat hajat bersama-sama. Selalu terjadi, tuan rumah atau tuan empunya hajat tidak solat bersama-sama atau berada di saf paling belakang sedangkan dialah yang lebih mengetahui hajat sebenar solat hajat itu didirikan. Saya juga mengambil kesempatan  menerangkan kedudukan solat hajat dalam Islam dan sedikit tazkirah tentang adab berdoa dan memohon hajat kepada Allah Taala sebelum memimpin solat.

Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa solat hajat ini bukannya sebahagian daripada  amalan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w, apatah lagi jika ia dilakukan secara berjemaah. Tetapi apa yang disepakati ialah, orang beriman mestilah bersikap sentiasa bergantung harap kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan. Berdoa dan mengharap bantuan kepada Allah adalah merupakan ibadah dan bukti keimanan kepadaNya. Bahkan Allah berfirman dalam al-Baqarah ayat 186:  “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” 

Berdoa itu adalah memohon hajat kepada Allah dan Allah berfirman lagi, juga dalam surah al-Baqarah ayat 45 : “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat…” Di sini, Allah sendiri menyarankan kaedah berdoa dan memohon pertolongan Allah ialah dengan cara bersolat di samping bersabar.  Oleh itu solat sunat hajat adalah merupakan solat yang dikerjakan oleh seseorang yang mempunyai hajat tertentu dan ingin memohon kepada Allah agar memperkenankan hajat tersebut.

 

Solat hajat ini mempunyai asasnya sendiri berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dari Abdullah bin Abi Aufa. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah dia berwudhuk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat. Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia mengucapkan doa……” (Riwayat al-Tirmizi) . Hadis ini telah dikategorikan sebagai hadis dhaif (lemah) oleh Imam al-Tirmizi sendiri. Terdapat satu hadis lain yang juga menyokong amalan solat hajat ini iaitu daripada Abu Darda’ radhiallahu’ anh katanya: Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahupun lambat. - Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 26225.

 

Walaupun hadis yang kedua ini juga terdiri daripada kategori hadis yang lemah tetapi ia boleh menjadi sandaran dalam aspek amalan-amalan sunat. Ianya boleh diamalkan, tambahan pula terdapat ayat al-Quran sendiri menyarankan bahawa permohonan hajat dan bantuan dilakukan dengan cara bersolat.

 

Apa yang menjadi persoalannya ialah bagaimana cara solat hajat ini dilakukan kerana gambaran solat hajat ini sendiri tidak digambarkan dengan jelas pelaksanaannya. Cuma yang didapati adalah cadangan dan saranan para ulamak bagaimana cara melaksanakannya. Apabila diteliti tentang cara pelaksanaan solat hajat ini, kita dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara solat hajat:

 

1.  Solat hajat 12 rakaat dengan 6 kali salam iaitu solat dua rakaat sebanyak 6 kali. Setiap rakaatnya di baca ayat kursi dan juga Surah al-Ikhlas.

2. Solat hajat dua rakaat sahaja. Bacaan pada rakaat pertama selepas Surah al-Fatihah ialah Surah al-Kafirun sekali atau lebih seeloknya ialah dengan bilangan yang ganjil seperti 3 atau 5 atau 7 dan seterusnya. Manakala pada rakaat kedua ialah Surah al-Ikhlas selepas al-Fatihah juga dengan kadar bilangan yang ganjil.

 

Waktu  yang terbaik untuk melakukan solat hajat ini ialah pada penghujung malam atau awal pagi ketika waktu solat tahajjud kerana di situlah masanya yang paling tenang dan tidak ramai mereka yang bangun bermunajat kepada Allah. Namun begitu ia juga boleh dilaksanakan bila-bila masa yang sesuai berdasarkan keperluan seseorang terhadap hajatnya sendiri.

 

Solat hajat ini juga lebih baik dilakukan secara individu kerana setiap orang lebih menghayati hajat masing-masing dan lebih bersungguh-sungguh berdoa, merayu dan mengharap kepada Allah. Namun jika hajat yang diminta itu adalah untuk kepentingan awam atau kepentingan ramai ianya boleh dilakukan secara berjemaah. Cuma apa yang perlu diperbetulkan ialah terdapat segelintir masyarakat kita yang meminta orang lain untuk solat hajat bagi pihaknya sedangkan kadangkala tuan empunya hajat sendiri tidak solat bersama-sama.

 

Apa yang perlu diketahui oleh kita semua ialah apabila kita mempunyai hajat tertentu dengan Allah tidak semestinya kita melakukan solat hajat khas untuk memohon doa dan segala permintaan  denganNya. Ini kerana doa kita seharian juga adalah ibarat memohon hajat dan perkenan Allah dan ia boleh dilakukan setiap kali solat fardhu. Selepas solat fardhu lima waktu, kita boleh berdoa kepada Allah segala hajat yang dingini dan boleh dilakukan dalam bahasa yang difahami iaitu Bahasa Melayu. Berdoa dengan cara ini lebih kepada bermunajat, merayu dan merintih kepada Allah malah ianya lebih berkesan kerana doa itu timbul dari lubuk hati kita sendiri. Berbanding kita meminta orang lain untuk berdoa bagi pihak kita yang sudah pastinya kesungguhan memohon hajat itu berbeza jika kita sendiri yang melakukannya.

 

Begitu juga saat berdoa yang paling baik ialah ketika sujud di mana kita boleh berdoa melalui bisikan hati apa  hajat yang dingini kerana nabi telah menyebut bahawa saat yang paling rapat sesorang hambaNya dengan Allah dalam solat ialah ketika sujud. Tetapi terdapat juga pandangan yang mengatakan saat yang paling baik berdoa ialah ketika sebelum salam selepas membaca doa tahiyyat. Begitu juga ada yang mengatakan selepas salam, sujud sekali lagi selepas solat untuk berdoa dan menyebut segala hajat yang diingini. Setiap orang boleh memilih cara mana yang lebih disenangi kerana Allah sentiasa dekat dengan hambaNya setiap masa dan ketika.

 

Kita sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa berdoa dan bergantung harap kepada Allah. Sikap sentiasa bergantung kepada Allah dan suka menyatakan hajat kepadaNya adalah merupakan ibadah yang sangat dituntut. Justeru kita sebagai insan, setiap detik dan ketika mempunyai keinginan dan harapan tersendiri. Jadikan setiap solat lima waktu seharian sebagai tempat untuk kita meluahkan isi hati kita dan memohon hajat kepadaNya. Alangkah baiknya jika saat yang paling dekat dengan Allah di dalam setiap kali solat iaitu ketika sujud dijadikan sebagai tempat untuk memohon segala hajat kita. pastikan saat yang singkat itu ketika atau selepas membaca zikir waktu sujud, bisikkan di hati kita apa sahaja hajat dan keinginan kita kepada Allah tidak kira ianya hajat dunia dan juga hajat akhirat. Tetapi pastikan bisikan hati memohon hajat kepada Allah itu tidak merencatkan sifat sujud itu sendiri. Jangan sujud terlalu lama melebihi kebiasaan dan tidak melebihi kadar masa rukun-rukun solat yang lain. Mungkin setiap kali sujud dikhaskan satu hajat yang ringkas manakala hajat lain dibisikkan ketika sujud yang kedua dan begitulah seterusnya. Cara ini juga dapat mendidik diri kita untuk lebih khusyuk di dalam solat dan menambahkan sifat kebergantungan dan pengharapan kepada Allah.

 

Namun, jika kita mempunyai hajat-hajat lain yang lebih besar, boleh juga dilakukan solat hajat yang khas untuk memohon dan bermunajat kepada Allah. Ia boleh dilakukan bila-bila masa,  tetapi saat yang paling baik ialah pada penghujung malam iaitu pada waktu sahur. Jika kita mempunyai hajat yang besar lakukan solat hajat ini sendiri adalah lebih baik dari kita meminta orang lain untuk solat dan berdoa bagi pihak kita.

 

Jadikan ibadat solat sebagai tempat untuk kita meluahkan hasrat dan isi hati kita kepada Allah. Pohonlah apa yang kita inginkan, sesungguhnya hanya kepada Allah tempat kita mengadu dan padaNyalah tempat kita bergantung dan memohon segala hajat dan permintaan. Penuhilah solat anda dengan hajat dan doa. Insya Allah, pastinya Allah tidak akan mensia-siakan permohonan hambaNya yang khusyuk dan ikhlas.

 

Artikel ini telah disiarkan dalam majalah Iman siri 14



 

 

No comments: