Wednesday, August 19, 2020

SYOK SOLAT : DUA RAKAAT SUNAT YANG AMAT BERNILAI

 Oleh : Dr Abdullah bin Hamzah

Satu ketika dulu, penulis telah menghadiri satu kursus di Pulau Langkawi. Kursus ini  menitikberatkan disiplin dan ketepatan masa para peserta di samping menerapkan sikap profesionalisme. Peserta juga diwajibkan untuk solat berjemaah di surau setiap waktu solat. Apa yang menjadi persoalan ialah para peserta tidak diberi peluang untuk solat sunat Subuh sepanjang kursus. Sejurus selepas azan Subuh, peserta yang bertugas sebagai bilal diperintahkan untuk terus iqamah tanpa memberi peluang kepada peserta untuk solat sunat qabliyyah Subuh. 

Situasi ini menjadi persoalan rakan-rakan peserta kerana alasan yang diberikan penganjur ialah untuk menjimatkan masa. Namun selepas solat Subuh tetap diadakan wirid  dan tazkirah tidak kurang panjangnya. Ramai rakan peserta yang telah menjadikan solat sunat Subuh ini sebagai istiqamah merasa terkilan dan kerugian yang besar kerana amalan yang bermanfaat ini dipandang remeh.

Mari kita melihat kedudukan solat sunat Subuh mengikut apa yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. Mengikut apa yang diceritakan oleh Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.AW tidak mengabaikan empat rakaat sunat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum Subuh. (Hadis riwayat Bukhari). Dalam hadis yang lain, Aisyah R.A juga menceritakan bahawa tiada amalan solat sunat yang Rasulullah S.A.W amat titikberatkan melainkan solat sunat dua rakaat sebelum Subuh (Hadis Muttafaqun alaih). Aisyah R.A juga menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Dua rakaat sebelum fajar lebih bernilai dari dunia dan seluruh isinya” (Hadis Riwayat Muslim). 

Berdasarkan tiga hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A itu tadi menggambarkan betapa penting dan besarnya nilai solat sunat sebelum Subuh sehingga Rasulullah S.A.W tidak mengabaikannya. Pahala ganjaran sesiapa yang dapat menunaikan solat sunat sebelum Subuh adalah lebih bernilai dari bumi ini dan segala  yang ada di dalamnya.  Tetapi malangnya berapa ramai di kalangan kita umat Islam mengambil berat tentang hal ini. Ramai yang masih melihat bahawa harta dunia lebih bernilai dan perlu dikumpulkan sebanyak mungkin sehingga ibadat solat sunat ini terlepas begitu sahaja.

Melihat kepada besarnya ganjaran solat sunat Subuh ini sehinggakan ianya dibolehkan qadak atau ganti bagi sesiapa yang terlepas peluang untuk solat  pada waktunya. Oleh kerana tempoh solat sunat ini adalah amat pendek iaitu di antara selepas azan Subuh sehingga didirikan solat Subuh. Lebih tepat lagi ialah solat sunat ini boleh dilakukan sejurus masuk waktu solat Subuh sehingga solat solat Subuh didirikan. Jika solat Subuh telah didirikan, luputlah peluang solat sunat Subuh.

Bagi golongan wanita yang solat Subuh di rumah tidak menjadi masalah kerana mereka tidak perlu tergesa-gesa dan mempunyai ruang yang luas untuk solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh. Tetapi bagi mereka yang solat di masjid mempunyai masa yang amat terhad iaitu tempoh selepas azan sehingga solat Subuh didirikan.  Ini bergantung kepada polisi masjid dan kesepakatan para jamaah. Sesetengah masjid menetapkan 10 hingga 15 minit sebelum iqamah. Namun ini tidak bermakna solat di rumah itu lebih baik kerana kelapangan masa untuk solat sunat. Solat Subuh berjemaah di masjid adalah amat besar ganjaran pahalanya berbanding dengan solat bersendirian di rumah.

Berbalik kepada pelaksanaan solat sunat sebelum Subuh ini, mari kita lihat bagaimana Rasulullah S.A.W melaksanakannya. Diceritakan oleh Hafsah bahawa Rasulullah S.A.W apabila telah masuk waktu Subuh dan azan dikumandangkan, baginda solat dua rakaat yang ringkas. (Muttafaqun alaih). Terdapat para sahabat memerhatikan solat Rasulullah S.A.W sebagaimana  Ibnu Umar menyebut : Sebulan aku telah memerhati Rasulullah membaca dalam dua rakaat solat sunat Subuh dengan Qul ya ayyuhal kafirun (surah al-Kafirun) dan Qul huwallahu ahad (al- Ikhlas). (Hadis riwayat al-Tirmizi). 

Kita telah meneliti bagaimana Rasulullah S.A.W amat mengambil berat tentang solat sunat sebelum Subuh ini dan menunaikannya dengan keadaan yang amat ringkas sekadar membaca surah al-Fatihah dan surah al Kafirun dan al–Ikhlas. Oleh kerana ganjaran yang disediakan oleh Allah amat besar adalah amat rugi sesiapa yang terlepas solat sunat ini. 

Bagi sesiapa yang terlepas solat sunat ini boleh mengqadhaknya selepas solat fardu Subuh tetapi pahalanya tidaklah sama dengan mereka yang menunaikannya sebelum solat. Terdapat dua cara untuk mengqadak solat sunat Subuh ini. Pertama dilakukan sejurus selepas solat Subuh walaupun waktu ini waktu haram solat tetapi dibolehkan untuk solat qadhak kerana ia adalah solat yang bersebab. Keadaan  ini berdasarkan hadis Qais bin Fahd yang telah menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bertanya kepadanya tentang solat dua rakaat yang dilakukannya selepas solat Subuh. Apabila diberitahu bahawa beliau   mengqadak solat sunat Subuh Rasulullah diam dan tidak berkata apa-apa dan ini menunjukkan bahawa perbuatan menggantikan solat sunat Subuh selepas solat dibolehkan.

Namun terdapat cara yang kedua yang lebih baik iaitu mengqadakkan solat sunat ini selepas matahari naik kerana mengelakkan waktu yang haram. Cara ini disokong oleh hadis  yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyebut bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang tidak solat sunat Subuh hendaklah ia mengqadaknya selepas naik matahari” (Hadis Riwayat al-Tirmizi). Diceritakan juga  bahawa Ibnu Umar mengqadakkan solat sunat Subuh yang  terlepas pada waktu dhuha. 

Sebagai orang yang beriman, kita semua hendaklah mengambil kesempatan dan peluang keemasan menunaikan solat sunat ini sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.  Sebagai panduan, adalah amat baik jika dapat lakukan sebagaimana berikut:

1. Bersedia lebih awal ke masjid sebelum azan Subuh berkumandang dalam keadaan berwudhuk yang sempurna.

2. Selepas azan dilaungkan, lakukan solat sunat Subuh dengan ringkas dengan membaca surah al-Fatihah, surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas.

3. Jika  terlewat sampai ke masjid dan peluang solat sunat sudah tiada, tidak perlu solat sunat lagi kerana kemungkinan besar boleh mengganggu bilal untuk iqamah semata-mata ingin menghormati kita.

4. Solat sunat Subuh ini boleh diqadhakkan atau boleh dilakukan selepas naik matahari atau pada waktu dhuha nanti kerana jika ia diqadhak segera selepas solat Subuh akan menimbulkan tanda tanya kepada orang lain dan mungkin memandang serong kepada kita dengan tanggapan kita melanggar batasan waktu haram solat.

Marilah kita sama-sama berusaha merancang masa dan kehidupan kita agar dapat meraih semua kelebihan yang telah disediakan oleh Allah. Rebutlah ganjaran pahala solat sunat Subuh ini secara konsisten setiap hari sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W begitu juga dengan solat Subuh berjemaah di masjid. Ini adalah merupakan  bukti keimanan dan keyakinan kita kepada Allah Taala yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Jangan sia-siakan peluang meraih ganjaran yang lebih besar nilainya dari bumi dan seluruh isinya setiap hari. Insya Allah kita akan bahagia di akhirat nanti.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Iman siri ke 15



Sunday, August 9, 2020

SYOK SOLAT: LUAHKAN HASRAT ANDA DALAM SOLAT!

Oleh: Dr Abdullah Hamzah

Semasa bercuti di kampung tidak lama dahulu, usai solat berjemaah Isyak di masjid, bilal mengumumkan bahawa semua jemaah dijemput ke kenduri kesyukuran dan solat hajat salah seorang penduduk kampung. Sudah menjadi budaya di kampung bila mereka mendapat sesuatu nikmat, akan diadakan kenduri kesyukuran dan solat hajat. Tuan rumah malam itu ingin melahirkan kesyukuran kerana anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Oleh kerana imam kampung uzur, saya diminta untuk memimpin solat hajat pada malam itu. Saya meminta tuan rumah dan anak-anaknya agar berada di saf pertama di belakang imam untuk solat hajat bersama-sama. Selalu terjadi, tuan rumah atau tuan empunya hajat tidak solat bersama-sama atau berada di saf paling belakang sedangkan dialah yang lebih mengetahui hajat sebenar solat hajat itu didirikan. Saya juga mengambil kesempatan  menerangkan kedudukan solat hajat dalam Islam dan sedikit tazkirah tentang adab berdoa dan memohon hajat kepada Allah Taala sebelum memimpin solat.

Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa solat hajat ini bukannya sebahagian daripada  amalan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w, apatah lagi jika ia dilakukan secara berjemaah. Tetapi apa yang disepakati ialah, orang beriman mestilah bersikap sentiasa bergantung harap kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan. Berdoa dan mengharap bantuan kepada Allah adalah merupakan ibadah dan bukti keimanan kepadaNya. Bahkan Allah berfirman dalam al-Baqarah ayat 186:  “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” 

Berdoa itu adalah memohon hajat kepada Allah dan Allah berfirman lagi, juga dalam surah al-Baqarah ayat 45 : “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat…” Di sini, Allah sendiri menyarankan kaedah berdoa dan memohon pertolongan Allah ialah dengan cara bersolat di samping bersabar.  Oleh itu solat sunat hajat adalah merupakan solat yang dikerjakan oleh seseorang yang mempunyai hajat tertentu dan ingin memohon kepada Allah agar memperkenankan hajat tersebut.

 

Solat hajat ini mempunyai asasnya sendiri berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dari Abdullah bin Abi Aufa. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah dia berwudhuk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat. Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia mengucapkan doa……” (Riwayat al-Tirmizi) . Hadis ini telah dikategorikan sebagai hadis dhaif (lemah) oleh Imam al-Tirmizi sendiri. Terdapat satu hadis lain yang juga menyokong amalan solat hajat ini iaitu daripada Abu Darda’ radhiallahu’ anh katanya: Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahupun lambat. - Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 26225.

 

Walaupun hadis yang kedua ini juga terdiri daripada kategori hadis yang lemah tetapi ia boleh menjadi sandaran dalam aspek amalan-amalan sunat. Ianya boleh diamalkan, tambahan pula terdapat ayat al-Quran sendiri menyarankan bahawa permohonan hajat dan bantuan dilakukan dengan cara bersolat.

 

Apa yang menjadi persoalannya ialah bagaimana cara solat hajat ini dilakukan kerana gambaran solat hajat ini sendiri tidak digambarkan dengan jelas pelaksanaannya. Cuma yang didapati adalah cadangan dan saranan para ulamak bagaimana cara melaksanakannya. Apabila diteliti tentang cara pelaksanaan solat hajat ini, kita dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara solat hajat:

 

1.  Solat hajat 12 rakaat dengan 6 kali salam iaitu solat dua rakaat sebanyak 6 kali. Setiap rakaatnya di baca ayat kursi dan juga Surah al-Ikhlas.

2. Solat hajat dua rakaat sahaja. Bacaan pada rakaat pertama selepas Surah al-Fatihah ialah Surah al-Kafirun sekali atau lebih seeloknya ialah dengan bilangan yang ganjil seperti 3 atau 5 atau 7 dan seterusnya. Manakala pada rakaat kedua ialah Surah al-Ikhlas selepas al-Fatihah juga dengan kadar bilangan yang ganjil.

 

Waktu  yang terbaik untuk melakukan solat hajat ini ialah pada penghujung malam atau awal pagi ketika waktu solat tahajjud kerana di situlah masanya yang paling tenang dan tidak ramai mereka yang bangun bermunajat kepada Allah. Namun begitu ia juga boleh dilaksanakan bila-bila masa yang sesuai berdasarkan keperluan seseorang terhadap hajatnya sendiri.

 

Solat hajat ini juga lebih baik dilakukan secara individu kerana setiap orang lebih menghayati hajat masing-masing dan lebih bersungguh-sungguh berdoa, merayu dan mengharap kepada Allah. Namun jika hajat yang diminta itu adalah untuk kepentingan awam atau kepentingan ramai ianya boleh dilakukan secara berjemaah. Cuma apa yang perlu diperbetulkan ialah terdapat segelintir masyarakat kita yang meminta orang lain untuk solat hajat bagi pihaknya sedangkan kadangkala tuan empunya hajat sendiri tidak solat bersama-sama.

 

Apa yang perlu diketahui oleh kita semua ialah apabila kita mempunyai hajat tertentu dengan Allah tidak semestinya kita melakukan solat hajat khas untuk memohon doa dan segala permintaan  denganNya. Ini kerana doa kita seharian juga adalah ibarat memohon hajat dan perkenan Allah dan ia boleh dilakukan setiap kali solat fardhu. Selepas solat fardhu lima waktu, kita boleh berdoa kepada Allah segala hajat yang dingini dan boleh dilakukan dalam bahasa yang difahami iaitu Bahasa Melayu. Berdoa dengan cara ini lebih kepada bermunajat, merayu dan merintih kepada Allah malah ianya lebih berkesan kerana doa itu timbul dari lubuk hati kita sendiri. Berbanding kita meminta orang lain untuk berdoa bagi pihak kita yang sudah pastinya kesungguhan memohon hajat itu berbeza jika kita sendiri yang melakukannya.

 

Begitu juga saat berdoa yang paling baik ialah ketika sujud di mana kita boleh berdoa melalui bisikan hati apa  hajat yang dingini kerana nabi telah menyebut bahawa saat yang paling rapat sesorang hambaNya dengan Allah dalam solat ialah ketika sujud. Tetapi terdapat juga pandangan yang mengatakan saat yang paling baik berdoa ialah ketika sebelum salam selepas membaca doa tahiyyat. Begitu juga ada yang mengatakan selepas salam, sujud sekali lagi selepas solat untuk berdoa dan menyebut segala hajat yang diingini. Setiap orang boleh memilih cara mana yang lebih disenangi kerana Allah sentiasa dekat dengan hambaNya setiap masa dan ketika.

 

Kita sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa berdoa dan bergantung harap kepada Allah. Sikap sentiasa bergantung kepada Allah dan suka menyatakan hajat kepadaNya adalah merupakan ibadah yang sangat dituntut. Justeru kita sebagai insan, setiap detik dan ketika mempunyai keinginan dan harapan tersendiri. Jadikan setiap solat lima waktu seharian sebagai tempat untuk kita meluahkan isi hati kita dan memohon hajat kepadaNya. Alangkah baiknya jika saat yang paling dekat dengan Allah di dalam setiap kali solat iaitu ketika sujud dijadikan sebagai tempat untuk memohon segala hajat kita. pastikan saat yang singkat itu ketika atau selepas membaca zikir waktu sujud, bisikkan di hati kita apa sahaja hajat dan keinginan kita kepada Allah tidak kira ianya hajat dunia dan juga hajat akhirat. Tetapi pastikan bisikan hati memohon hajat kepada Allah itu tidak merencatkan sifat sujud itu sendiri. Jangan sujud terlalu lama melebihi kebiasaan dan tidak melebihi kadar masa rukun-rukun solat yang lain. Mungkin setiap kali sujud dikhaskan satu hajat yang ringkas manakala hajat lain dibisikkan ketika sujud yang kedua dan begitulah seterusnya. Cara ini juga dapat mendidik diri kita untuk lebih khusyuk di dalam solat dan menambahkan sifat kebergantungan dan pengharapan kepada Allah.

 

Namun, jika kita mempunyai hajat-hajat lain yang lebih besar, boleh juga dilakukan solat hajat yang khas untuk memohon dan bermunajat kepada Allah. Ia boleh dilakukan bila-bila masa,  tetapi saat yang paling baik ialah pada penghujung malam iaitu pada waktu sahur. Jika kita mempunyai hajat yang besar lakukan solat hajat ini sendiri adalah lebih baik dari kita meminta orang lain untuk solat dan berdoa bagi pihak kita.

 

Jadikan ibadat solat sebagai tempat untuk kita meluahkan hasrat dan isi hati kita kepada Allah. Pohonlah apa yang kita inginkan, sesungguhnya hanya kepada Allah tempat kita mengadu dan padaNyalah tempat kita bergantung dan memohon segala hajat dan permintaan. Penuhilah solat anda dengan hajat dan doa. Insya Allah, pastinya Allah tidak akan mensia-siakan permohonan hambaNya yang khusyuk dan ikhlas.

 

Artikel ini telah disiarkan dalam majalah Iman siri 14



 

 

Monday, August 3, 2020

SUBURI JIWA: KETEKUNAN DAN KESUNGGUHAN SYAITAN MENYESATKAN MANUSIA (AYAT 16-17 SURAH AL A'RAAF)

Oleh: Dr Abdullah bin Hamzah


Surah al A’raf Ayat 13- 22 (muka surat 152) Tadarus selama 15 minit

AYAT PERBINCANGAN (Ayat 16-17 Surah al A'raf) Setengah jam.

 

قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ ١٧ 

Mafhumnya:  Iblis berkata: "Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus(16) "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur" (17). Surah al A’raaf.

 

PENGAJARAN


1. Allah mengimbas kembali peristiwa keengganan iblis untuk sujud hormat pada nabi Adam. Alasan yang digunakan oleh Iblis ialah bahawa kejadiannya lebih mulia dari daripada kejadian nabi Adam yang diciptakan dari tanah. Lantaran sikap iblis yang sombong dan derhaka kepada perintah Allah, Iblis telah dilaknat dan dihalau dari syurga yang hanya sesuai untuk makhluk Allah taat sahaja.


2. Sebelum dihalau dari syurga, Iblis membuat permohonan kepada Allah agar dipanjangkan umur mereka. Permintaan iblis ini dikabulkan oleh Allah dan Iblis dan keturunannya tidak akan mati sehingga hari kiamat. Selepas mendapat tahu bahawa Allah telah memperkenankan permintaannya, iblis berikrar dan berjanji di hadapan Allah untuk menyesatkan manusia.


3. Iblis menggunakan lafaz ‘aghwaytani’ yang bermaksud ‘kamu (Allah) telah membuat aku sesat dan ingkar perintah’  menunjukkan sikap iblis yang ingin meletakkan kesalahan ingkar dan derhakanya itu kepada Allah. Iblis menganggap Allah telah menetapkan bahawa dia makhluk yang ingkar. Iblis ialah makhluk Allah daripada kalangan jin yang dicipta dan diberi kebebasan untuk memilih apa yang dikehendaki. Iblis boleh memilih untuk taat atau ingkar perintah Allah. Berbeza dengan kejadian malaikat yang diciptakan sebagai makhluk yang tidak diberi pilihan oleh Allah. Malaikat diciptakan hanya untuk taat pada perintah Allah. Lantaran itu malaikat bukanlah makhluk yang diberi  ganjaran pahala atau balasan dosa. Jin dan manusia ialah makhluk Allah yang bersifat ‘mukallaf’ mempunyai tanggungjawab dan juga ‘mukhayyar’ yang diberi peluang untuk memilih sendiri keputusan yang diingini sama ada ingin taat atau ingkar perintah Allah.


4. Sikap dendam dan sakit hati Iblis terhadap manusia menyebabkan ia tekad berazam untuk menyesatkan manusia dari kehidupan sebenar manusia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Lafaz ‘la aq’udanna’ memberi makna menghalang. Iblis akan sedaya upaya akan menghalang manusia dari mentaati perintah Allah. Di sini dapat difahami bahawa Iblis akan memilih mereka yang taat kepada Allah untuk dihalang dan dihasut, berbanding mereka yang sudah sedia sesat. Sebagai contoh mudah, jika seseorang itu ragu dan was-was ketika solat bermakna solat itu dah sempurna kerana syaitan hanya akan menghasut perkara yang sudah sempurna.  Iblis dan syaitan tidak perlu lagi menghasut orang yang kafir agar melakukan maksiat kerana itu kerja sia-sia. Kalau kita perhatikan, histeria dan gangguan syaitan banyak berlaku pada orang Islam berbanding peganut agama lain.


5. Iblis dan syaitan akan berusaha sedaya upaya untuk menyesatkan manusia agar ingkar perintah Allah. Mereka akan datang menghasut manusia dari hadapan, belakang, kiri dan kanan. Syeikh al-Sya’rawi menyebut bahawa apa dimaksudkan hasutan dari hadapan ialah syaitan berusaha untuk meragukan manusia dalam aspek aqidah termasuk melibatkan keesaan dan kekuasaan Allah, hari akhirat dan sebagainya. Apabila aqidah dan rukun iman terjejas sudah pasti akan memberi kesan kepada tingkah laku manusia seharian.


6. Syaitan juga akan mencuba menghasut dari belakang iaitu dengan merasa sayang terhadap apa yang akan ditinggalkan. Ia termasuk keluarga, anak pinak dan juga harta dunia. Manusia akan dihasut untuk hidup mementingkan keluarga dan harta kekayaan sehinggakan lupa persediaan untuk hari akhirat. Malah lepih parah lagi sanggup melanggar perintah Allah demi keselesaan anak isteri dan keseronokan hidup. Dari sinilah punca pecah amanah, rasuah, dan segala macam lagi penyakit masyarakat yang sememangnya menjadi larangan keras dalam agama.


7.Hasutan juga akan dilakukan dari kanan manusia. Lafaz ‘an aimaanihim’ digunakan dan bukannya ‘ala aimaanihim’ memberi makna yang tersirat yang amat tinggi. Ia tidak lagi membawa hakiki iaitu sebelah kanan manusia begitu juga ‘an’ membawa makna bahawa syaitan tidak mempunyai kuasa penuh terhadap manusia. Syaitan hanya mampu menggoda dan manusia masih boleh berfikir dan membuat keputusan untuk menolaknya. Hasutan dari kanan ini bermaksud syaitan akan berusaha menghalang manusia agar tidak melakukan ketaatan dan apa juga perkara baik atau kebajikan yang boleh mendatangkan pahala. Usaha syaitan agar manusia tidak melakukan amal kebaikan, jika ia tidak mampu menghalang syaitan akan berusaha untuk kurangkan pahala dan jika kebaikan sudah dilakukan akan dihasut lagi agar rosaknya pahala tersebut.


8.Manakala maksud hasutan dari kiri pula ialah syaitan akan berusaha agar manusia melakukan kemungkaran dan maksiat pada Allah. Syaitan akan berusaha agar manusia kufur pada Allah, jika tidak mampu, akan dihasut agar melakukan dosa besar, jika tidak mampu lagi akan dihasut agar melakukan dosa kecil. Begitu lah kerja iblis dan syaitan melaksanakan kerja tanpa jemu dan letih demi dendam kesumatnya pada manusia.


9. Allah telah memperincikan tentang hasutan iblis dan syaitan berusaha untuk menyesatkan manusia. Jadi manusia perlulah berhati-hati agar tidak lagi terperangkap dengan hasutan Iblis.


PERBINCANGAN


1. Bincangkan bagaimana cara mengenal pasti hasutan iblis dan cara menghindarinya.