Sunday, December 1, 2024

BAH MENGUJI SOLAT HAMBANYA

Banjir yang berlaku di berberapa negeri di Malaysia merupakan ujian getir bagi kepada masyarakat Islam di Malaysia terutama penduduk negeri Kelantan yang hampir separuh penduduknya terlibat dengan banjir. Banjir ini dianggap banjir terbesar pernah berlaku  dalam tempoh 40 tahun. Ribuan rumah-rumah ditenggelami air malah banyak juga rumah yang hancur runtuh tidak boleh di diami lagi. Banjir yang besar ini tidak dijangkakan dan segala  persediaan yang biasa dengan  tempohnya yang panjang melebihi seminggu. Suasana genting bermula ketika air bah yang  naik begitu cepat dengan semua sibuk menyelamatkan diri dan juga harta benda. 


Oleh kerana banjir yang mendadak dan meluas pusat pemindahan yang sedia ada tidak mencukupi. Ramai juga yang tidak sempat sampai ke pusat pemindahan hanya sempat berlindung di bukit-bukit dan tanah-tanah tinggi berdekatan. Suasana menjadi bertambah buruk apabila ramai yang terputus bekalan makanan sehingga ramai terpaksa berlapar berhari-hari lamanya sehinggalah banjir surut.

Keadaan genting sebegini mencabar mental sebagai seorang muslim dalam melaksanakan tuntutan syariah, terutama dalam pelaksanaan ibadat solat. SOLAT TETAP WAJIB DILAKSANAKAN tanpa pengecualian.

 Berdasarkan pengalaman yang diceritakan oleh mereka yang terlibat dengan banjir, persoalan solat ini memang menjadi salah satu cabaran kepada para penduduk dan juga pada penyelamat itu sendiri.  Ramai yang mengabaikan solat dengan alasan darurat. Sibuk, pakaian kotor, tiada tempat solat kerana semua tempat ditenggelami air, tiada air bersih untuk berwuduk dan sebagainya.

Ada yang mengatakan “ Allah tahu kita dalam keadaan susah  selepas ini akan qadha solat” . Ada juga yang berpandangan “Bagaimana nak solat, semua tempat ditenggelami air. Hanya dapat duduk atas kerusi,meja atau bumbung rumah sahaja.”

 Jika berada ditempat pemindahan, keadaan di sana amat padat dan suasana tidak kondusif untuk solat. Bagi yang berlindung dibukit terpaksa duduk diatas tanah atau berlantaikan tikar basah. Pakaian juga basah lecun kerana hujan yang berterusan. Keadaan ini semua menyebabkan ramai yang tidak solat.

Namun terdapat beberapa penempatan yang ada bersamanya imam dan ustaz,  solat ini amat dititik beratkan. Seorang ustaz menceritakan kepada saya bahawa ketika berlindung di bukit semua penduduk dipastikan untuk solat, malah ia dilakukan secara berjamaah walaupun dalam keadaan yang tidak sempurna. 


Dalam hal ini, kita semua sebagai seorang muslim perlu menyedari bahawa solat tetap wajib ditunaikan Cuma ia boleh dilaksanakan dalam keadaan yang sesuai dengan situasi yang di hadapi. Setiap muslim perlu bijak melihat situasi dan keadaan untuk memilih cara menunaikan solat dalam keadaan darurat. Situasi darurat memberi kelonggaran terhadap pelaksanaan solat itu sendiri.

Dalam situasi  banjir sebegini terdapat beberapa situasi darurat seperti tiada tempat sesuai untuk solat kerana semua tempat dinaiki air.  Kekalutan, kesibukan untuk urusan berpindah dan tiada tempat yang sesuai untuk solat. Dalam keadaan darurat sebegini, solat boleh ditunaikan secara jamak. Ini disepakati oleh ulamak mazhab bahawa solat jamak dalam keadaan darurat ini dibolehkan.

Ulama mengharuskan mengimpunkan solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh sakit  dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jamak bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid  dan juga disebabkan sakit.

 

Ulama mazhab Syafie mengharuskan jamak solat disebabkan hujan lebat yang menyebab basah semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan keselamatan.

 

Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan jamak solat disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan wanita yang istihadah dan seumpamanya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jamak ini. Mereka berhujah dengan hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas yang bermaksud Rasulullah telah menjamakkan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa sebarang  sebab  ketakutan atau hujan. Ditanya kepada Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.”

 

Berdasarkan pandangan-pandangan ulamak pelbagai mazhab diatas, termasuk ulamak mazhab Syafie, mereka yang terlibat dengan banjir dikira menghadapi  masyaqqah atau kesusahan yang boleh mengharuskan  jamak atau menghimpunkan solat zohor  bersama solat asar atau solat maghrib bersama solat isyak. Solat subuh tetap perlu dilaksanakan tepat pada waktunya. 

Perlu diingatkan bahawa dalam keadaan ini solat hanya boleh dijamak atau dihimpunkan bukannya dipendekkan atau diqasarkan kepada dua rakaat.  Dalil-dalil menyebut solat hanya diharuskan jamak bukannya diqasarkan berbanding dengan kemudahan pada musafir.  Solat jamak ini juga digalakkan dalam waktu pertama iaitu dalam waktu zohor dan dalam waktu maghrib sebagaimana keharusan menghimpunkan solat kerana hujan dalam waktu pertama sahaja.

 Cuma kelonggaran jamak solat dalam situasi banjir ini boleh dilakukan dimana-mana sahaja, tidak terhad dimasjid. Namun jika situasi amat genting dan tidak berkesempatan untuk solat jamak pada waktu pertama ianya diharuskan solat dalam waktu kedua dan perlu ada niat untuk menangguhkan solat pada waktu kedua.

Jika situasi air memenuhi semua kawasan dan tiada lantai atau dataran yang membolehkan ruang untuk solat. Sedangkan waktu pula sempit  dan tidak dapat lagi menangguh solat walaupun solat jamak. Seseorang boleh menggunakan kursi untuk solat sebagaimana solat orang sakit dimana sujud itu ditundukkan melebihi tahap rukuk. Namun jika paras air sudah melebihi paras kursi sebagai contoh sudah paras pinggang atau dada dan tiada tempat yang sesuai untuk solat manakala waktu pula sempit untuk mencari tempat yang sesuai, solat boleh dilaksanakan dalam keadaan berdiri. Gerakan rukuk dan sujud perlu dilakukan setakat yang mampu sehingga mencecah air.

Namun bagi mereka yang berlindung dibukit, solat boleh dilaksanakan dengan lebih mudah, jika cuaca dalam keadaan baik dan tidak ada kesukaran solat boleh dilaksanakan secara biasa dan tanpa jamak. Solat boleh dilakukan diatas tanah tanpa alas dan dengan berpakaian basah kerana ia masih tidak melanggar syarat sah solat.

Bagi mereka yang mereka yang tinggal di pusat perpindahan, tahap kesukaran mungkin berkurangan  kerana hanya tiada tempat wuduk tertutup untuk kaum wanita dan itu boleh diuruskan dengan berbincang untuk menyediakan tempat solat yang teratur.

Perlu diingatkan bahawa  kotoran yang dikira najis hanya tahi, kencing, darah, nanah, muntah dan bangkai sahaja. Selain dari itu tidak dikira najis yang boleh menjejaskan solat. Pakaian yang lama tak dicuci dan dikotori dengan selut, bau busuk adalah tidak menjejaskan solat. Tidak timbul tiada pakaian bersih untuk menunaikan solat dan juga tiada tempat yang sempurna sehingga solat boleh ditunaikan.

 Islam itu mudah. Allah dan RasulNya ingin memudahkan hamba dan pengikutnya. Apa yang penting ialah solat tetap dilaksanakan dalam waktunya. Itulah ujian Allah untuk hambanya. Semoga ujian bah ini akan mengangkat darjah iman dan taqwa kita semua kepada Allah.