Saturday, May 23, 2009
Kanak-kanak membatalkan pahala saf solat?
Jumaat minggu ini saya dan Muaz datang awal sedikit ke Masjid untuk solat jumaat bagi mendapat tempat di bahagian tepi masjid. Sudah berapa kali kami ditegur kerana solat di bahagian tengah dengan umur muaz yang dikira belum sampai tahap baligh yang dikatakan boleh merosakkan saf solat jemaah seterusnya mengurangkan pahala para jemaah. Entah darimana hukum ini diambil tak pernah pula diketahui. Setiap hari jumaat sebelum ini saya berkeras tak mahu berganjak sehinggakan AJK tertinggi sendiri datang berjumpa dan memberi teguran. Katanya kalau tak mahu berpisah dengan anak carilah tempat dihujung saf!. Malah dibuat pengungumuman lagi dengan pembesar suara bahawa kanak-kanak belum baling tak boleh berada dalam saf kerana boleh memutuskan saf! Masya Allah alangkah besarnya bidaah ini!
Setelah berbincang dengan beberapa orang ahli jemaah saya mengambil keputusan untuk tidak menimbulkan ketegangan.
“ AJK masjid sini susah nak bincang, keras kepala” sungut sorang jemaah
“ Ramai dah orang cuba tapi tak jalan” sahut yang lain
“ Ha ‘ah. Ustaz dari JAWI pun mereka tak benarkan kuliah”
Sepanjang saya menghadiri kuliah di masjid ini memang saya perhatikan ustaz-ustaz cukup berhati-hati menerangkan sesuatu pandangan yang agak baru dengan amat lembut sekali. Walaupun begitu pernah satu ketika ditanya juga soalan yang menggambarkan kedangkalan ilmu para jemaah malah AJK masjid ini.
“ sahkan solat seseorang itu jika dia tidak duduk istirahah sebelum qiam dari sujud rakaat pertama?
“ Solat sah sebab ia bukan rukun, itu hanya sunat sahaja” jawab Ustaz muda itu.
“ Tapi ada orang cakap tak sah! Macamana tu ustaz?
“ Itu orang kata, tapi kalau ikut hukum solat itu sah sebab itu bukan rukun solat yang mana kalau ditinggalkan menyebabkan solat batal” sambung ustaz lagi
“ Ya lah, tapi kenapa ada orang kata solat tak sah pulak” sambut penyoal menunjukkan rasa tak puas hati.
Berpeluh ustaz muda nak menjawab akhirnya…
“ kita kena ikut hukum bukannya kata-kata orang”
Itulah apa yang berlaku, tetapi orang macam ini walaupun mendatangkan masalah kepada masjid tetapi mereka cukup komitmen dalam hal lain. Solat jamaah tak pernah tinggal, kebersihan masjid dijaga dengan rapi. Selalu dia lah yang menyapu sampah dan membersihkan tandas, tutup lampu, kipas dan tingkap. Apa-apa pun dia adalah ahli jemaah, masalahnya mesti ditangani dengan hikmah. Saya mengambil keputusan untuk menanggauhkan pembetulan tentang saf kanak-kanak tadi sehingga tiba masanya yang sesuai.
Ya, sekarang ramai yang ingin kembali kepada agama dan ingin memberi sumbangan untuk agama islam tetapi kerana kefahaman islam yang masih kurang menyebabkan timbullah perkara sebegini.
Masih banyak perkara lain yang perlu menjadi keutamaan dalam masalah solat ini. Masjid ini berhampiran dengan sekolah rendah dan menengah. Nah berapa ramai pelajar-pelajar Islam yang tak berkesempatan untuk solat Jumaat kerana mengutamakan persekolahan. Bayangkan sekolah sesi petang bermula jam 2 sedangkan solat jumaat selesai sekitar 2.15 petang bahkan kalau ada khatib yang bersemangat jam 2.30 baru selesai.
Murid-murid sekolah ini kalau ke masjid untuk solat dihalau dengan alasan masih kecil dan merosakkan pahala solat jemaah. Dimana mereka mahu solat? Di atas lantai depan masjid, ditepi jalan? Masjid memang sesak. Jadi jalan selamat ialah tak payah datang solat sebab jam 2 pun dah masuk kelas!
Pening kepala bila kita bawa berbincang.
“tak apa menuntut ilmu wajib, mesti diutamakan”
“ Budak-budak tu masih kecil, belum baligh, Allah maafkan”
“ nanti besar nanti bolehlah mereka solat jumaat”
Ya Allah! Kenapa teruk sangat kefahaman islam kita semua. Ini pandangan mereka yang istiqamah dengan solat jemaah di masjid. Apatah lagi kalau yang tak pernah kenal dengan tangga masjid dan mereka hanya solat di ketika ada kelapangan sahaja.
Kita tidak sedar dalam diam kita telah mengenepikan perintah Rasulullah atau tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa kita telah memperkecilkan Rasulullah yang telah bersabda:
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر سنين وفرقوا بينهم في المضاجع
Suruhlah (ajarkanlah) anak-anak kamu solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan solat ketika umur mencapai sepuluh tahun. Dan pisahkan tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.
Sebenarnya dalam banyak hal dalam kehidupan seharian kita, kita berpandangan dan bertindak seolah-olah kita lebih bijak dari Rasulullah malah kita rasa lebih bijak dari Allah taala yang mencipta langit dan bumi ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam, 1st time k blog sdr. Bagus sekali, apapun saya mmpersilakan sdr jengok blog saya, silalah komen kerana ada bbrapa prkara..perlukan org yg lbih arif tentangnya.
Post a Comment