Banjir yang berlaku di berberapa negeri di Malaysia merupakan ujian getir bagi kepada masyarakat Islam di Malaysia terutama penduduk negeri Kelantan yang hampir separuh penduduknya terlibat dengan banjir. Banjir ini dianggap banjir terbesar pernah berlaku dalam tempoh 40 tahun. Ribuan rumah-rumah ditenggelami air malah banyak juga rumah yang hancur runtuh tidak boleh di diami lagi. Banjir yang besar ini tidak dijangkakan dan segala persediaan yang biasa dengan tempohnya yang panjang melebihi seminggu. Suasana genting bermula ketika air bah yang naik begitu cepat dengan semua sibuk menyelamatkan diri dan juga harta benda.
Oleh kerana banjir yang mendadak dan meluas
pusat pemindahan yang sedia ada tidak mencukupi. Ramai juga yang tidak sempat
sampai ke pusat pemindahan hanya sempat berlindung di bukit-bukit dan
tanah-tanah tinggi berdekatan. Suasana menjadi bertambah buruk apabila ramai
yang terputus bekalan makanan sehingga ramai terpaksa berlapar berhari-hari
lamanya sehinggalah banjir surut.
Keadaan genting sebegini mencabar mental
sebagai seorang muslim dalam melaksanakan tuntutan syariah, terutama dalam
pelaksanaan ibadat solat. SOLAT TETAP WAJIB DILAKSANAKAN tanpa pengecualian.
Berdasarkan pengalaman yang diceritakan oleh
mereka yang terlibat dengan banjir, persoalan solat ini memang menjadi salah
satu cabaran kepada para penduduk dan juga pada penyelamat itu sendiri. Ramai yang mengabaikan solat dengan alasan darurat.
Sibuk, pakaian kotor, tiada tempat solat kerana semua tempat ditenggelami air,
tiada air bersih untuk berwuduk dan sebagainya.
Ada yang mengatakan “ Allah tahu kita
dalam keadaan susah selepas ini akan
qadha solat” . Ada juga yang berpandangan “Bagaimana nak solat, semua
tempat ditenggelami air. Hanya dapat duduk atas kerusi,meja atau bumbung rumah
sahaja.”
Jika
berada ditempat pemindahan, keadaan di sana amat padat dan suasana tidak kondusif
untuk solat. Bagi yang berlindung dibukit terpaksa duduk diatas tanah atau berlantaikan
tikar basah. Pakaian juga basah lecun kerana hujan yang berterusan. Keadaan ini
semua menyebabkan ramai yang tidak solat.
Namun terdapat beberapa penempatan yang ada bersamanya imam dan ustaz, solat ini amat dititik beratkan. Seorang ustaz menceritakan kepada saya bahawa ketika berlindung di bukit semua penduduk dipastikan untuk solat, malah ia dilakukan secara berjamaah walaupun dalam keadaan yang tidak sempurna.
Dalam hal ini, kita semua sebagai seorang
muslim perlu menyedari bahawa solat tetap wajib ditunaikan Cuma ia boleh
dilaksanakan dalam keadaan yang sesuai dengan situasi yang di hadapi. Setiap
muslim perlu bijak melihat situasi dan keadaan untuk memilih cara menunaikan
solat dalam keadaan darurat. Situasi darurat memberi kelonggaran terhadap
pelaksanaan solat itu sendiri.
Dalam situasi banjir sebegini terdapat beberapa situasi darurat
seperti tiada tempat sesuai untuk solat kerana semua tempat dinaiki air. Kekalutan, kesibukan untuk urusan berpindah dan
tiada tempat yang sesuai untuk solat. Dalam keadaan darurat sebegini, solat
boleh ditunaikan secara jamak. Ini disepakati oleh ulamak mazhab bahawa solat
jamak dalam keadaan darurat ini dibolehkan.
Ulama mengharuskan mengimpunkan solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh sakit dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama
mazhab Maliki mengharuskan jamak bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan
hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid
dan juga disebabkan sakit.
Ulama mazhab Syafie mengharuskan jamak solat disebabkan hujan
lebat yang menyebab basah semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut
mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan keselamatan.
Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan jamak solat disebabkan salji,
kesejukan angin kencang dan wanita yang istihadah dan seumpamanya. Mazhab
Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jamak ini. Mereka berhujah dengan
hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas yang bermaksud “ Rasulullah telah menjamakkan
solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa sebarang sebab ketakutan atau hujan. Ditanya kepada Ibn Abbas
apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan
ummatnya.”
Berdasarkan
pandangan-pandangan ulamak pelbagai mazhab diatas, termasuk ulamak mazhab Syafie,
mereka yang terlibat dengan banjir dikira menghadapi masyaqqah atau kesusahan yang boleh
mengharuskan jamak atau menghimpunkan
solat zohor bersama solat asar atau solat
maghrib bersama solat isyak. Solat subuh tetap perlu dilaksanakan tepat pada
waktunya.
Perlu
diingatkan bahawa dalam keadaan ini solat hanya boleh dijamak atau dihimpunkan
bukannya dipendekkan atau diqasarkan kepada dua rakaat. Dalil-dalil menyebut solat hanya diharuskan
jamak bukannya diqasarkan berbanding dengan kemudahan pada musafir. Solat jamak ini juga digalakkan dalam waktu
pertama iaitu dalam waktu zohor dan dalam waktu maghrib sebagaimana keharusan
menghimpunkan solat kerana hujan dalam waktu pertama sahaja.
Cuma kelonggaran jamak solat dalam situasi
banjir ini boleh dilakukan dimana-mana sahaja, tidak terhad dimasjid. Namun
jika situasi amat genting dan tidak berkesempatan untuk solat jamak pada waktu
pertama ianya diharuskan solat dalam waktu kedua dan perlu ada niat untuk
menangguhkan solat pada waktu kedua.
Jika
situasi air memenuhi semua kawasan dan tiada lantai atau dataran yang
membolehkan ruang untuk solat. Sedangkan waktu pula sempit dan tidak dapat lagi menangguh solat walaupun
solat jamak. Seseorang boleh menggunakan kursi untuk solat sebagaimana solat orang
sakit dimana sujud itu ditundukkan melebihi tahap rukuk. Namun jika paras air
sudah melebihi paras kursi sebagai contoh sudah paras pinggang atau dada dan
tiada tempat yang sesuai untuk solat manakala waktu pula sempit untuk mencari
tempat yang sesuai, solat boleh dilaksanakan dalam keadaan berdiri. Gerakan
rukuk dan sujud perlu dilakukan setakat yang mampu sehingga mencecah air.
Namun
bagi mereka yang berlindung dibukit, solat boleh dilaksanakan dengan lebih
mudah, jika cuaca dalam keadaan baik dan tidak ada kesukaran solat boleh
dilaksanakan secara biasa dan tanpa jamak. Solat boleh dilakukan diatas tanah
tanpa alas dan dengan berpakaian basah kerana ia masih tidak melanggar syarat
sah solat.
Bagi
mereka yang mereka yang tinggal di pusat perpindahan, tahap kesukaran mungkin
berkurangan kerana hanya tiada tempat
wuduk tertutup untuk kaum wanita dan itu boleh diuruskan dengan berbincang
untuk menyediakan tempat solat yang teratur.
Perlu
diingatkan bahawa kotoran yang dikira
najis hanya tahi, kencing, darah, nanah, muntah dan bangkai sahaja. Selain dari
itu tidak dikira najis yang boleh menjejaskan solat. Pakaian yang lama tak
dicuci dan dikotori dengan selut, bau busuk adalah tidak menjejaskan solat.
Tidak timbul tiada pakaian bersih untuk menunaikan solat dan juga tiada tempat
yang sempurna sehingga solat boleh ditunaikan.
Islam itu mudah. Allah dan RasulNya ingin
memudahkan hamba dan pengikutnya. Apa yang penting ialah solat tetap
dilaksanakan dalam waktunya. Itulah ujian Allah untuk hambanya. Semoga ujian
bah ini akan mengangkat darjah iman dan taqwa kita semua kepada Allah.