Monday, July 27, 2009

Iblis Penderhaka petama di alam ini


-->
Malam tadi adalah merupakan perjumpaan rakan Iman kedua bagi beberapa orang pelajar sebuah kolej di sini. Saya diberi tanggungjawab untuk membimbing beberapa orang pemuda yang cintakan Islam. Insya Allah mudah mudahan mereka inilah akan menjadi benih-benih yang akan melahirkan penggerak perjuangan Islam dalam arus kemodenan ini.
Oleh kerana program rakan iman ini baru dimulakan dan belum dihayati sepenuhnya sistem perjalanannya. Ianya adalah merupakan sesi pengenalan dan penyesuaian diri. Dimulakan dengan Tadarus Al Quraan surah Al A’raf dari ayat 1 hingga 34.
Ayat yang dipetik untuk dibincangkan ialah dari ayat 10 hingga ayat 17 yang menceritakan tentang penciptaan Nabi Adam Alaihissalam selepas sekian lama malaikat, jin dan syaitan diciptakan. Allah ciptakan manusia dengan rekabentuk yang istimewa dan tersendiri. Perkataan “Sawwarnakum” membawa maksud yang luas tentang penciptaan manusia yang mempunyai bentuk hampir sama tetapi berlainan wajah dan rupa. Kelebihan penciptaan manusia ialah kepelbagaian rupa paras dan dan sifat dalaman.
Apabila Allah memerintahkan malaikat dan jin tunduk kepada Adam makhluk ciptaan terkini ini semua malaikat patuh dan sujud melainkan yang bernama Iblis. Ia engkar dan apabila ditanya kenapa dia tidak mahu sujud ia menjawab: “Aku lebih baik dari dia, Kamu telah ciptakan aku dari api sedangkan kamu ciptakan dia dari tanah”.
Terserlah sifat bangga dengan kelebihan yang ada pada dirinya berbanding dengan orang lain. Inilah salah satu petunjuk yang Allah mahu sampaikan kepada kita bahawa sesiapa yang merasa bangga dan rasa mempunyai kelebihan keatas orang lain seterusnya mempunyai kelayakan lebih dari orang lain adalah mewarisi sifat Iblis laknatullah, makhluk yang pertama engkar kepada Allah di alam maya ini. Jangan sekali-kali kita mewarisi sifat iblis ini.
Apabila Allah menghalau Iblis dari syurga, permohonan Iblis kepada Allah agar dipanjangkan umurnya dan tidak dimatikan sehinggalah pada hari kiamat. Allah mengkabulkan permintaan Iblis. Iblis berikrar dengan Allah dengan mengatakan oleh kerana Allah telah mengharamkan dia dari merasai nikmat syurga, ia akan berusaha sedaya upaya berkempen kepada manusia agar tidak bersyukur kepada Allah agar mereka juga tidak dapat merasai nikmat syurga yang Allah haramkan kepadanya. Lihatlah amat jahatnya sikap Iblis. Tapi sayangnya amat ramai dari kalangan kita yang telah menjadi pengikut Iblis.
Antara peringatan untuk ahli rakan iman untuk sebagai persediaan untuk perjumpaan minggu hadapan:
- Mendalami bab apa ertinya saya muslim dari sudut aqidah dari buku Apa ertinya saya menganut Islam oleh Dr Fathi Yakan.
- Bersedia untuk perbincangan dengan membawa dalil naqli al Quran atau hadis dalam huraian.
- Membiasakan dengan buku catatan dan mencatat perkara penting yang telah dibincangkan.
- Beristiqamah dengan bacaan Al Quraan setiap hari.
- Berusaha untuk berkempen kepada sahabat yang lain agar mengambil bahagian dalam program rakan iman.
Perjumpaan rakan iman berakhir pada jam 11.15 malam. Alhamdulillah.